Puisi Prosa: Inflasi
Inflasi
Oleh Carol Rumens
Aku berdiri di perbatasan dunia yang aku ditakdirkan menjadi bayang-bayang. Aku tertanya-tanya jika ini sahaja yang menantiku.
Kabus beransur hilang dan aku berjalan menghampiri tanah yang sedang mengelus bibir air. Aku merenung diriku di dalamnya dan kelihatan bayang kelabu yang suram. Aku memperbetulkan rambutku, aku menyisir bahagian yang paling terdedah kulit kepalaku.
Ketika aku mendongak seorang juragan penambang sedang menantiku di tengah air yang cetek. Kalau dulu mungkin aku sudah memeluknya erat dengan tubuhku. Aku akan main-main dengan hujung jariku gulungan rambut pada lehernya dan berpura-pura membaca nasib hidupnya. Sekarang hanya kebencian mengisi hatiku.
Dia tersengih sambil menghulurkan mangkuk telapak tangan.
Aku menipu aku tidak mempunyai duit kecil, walaupun dua sen. Dia tidak mengerti kata-kataku, atau pura-pura tidak mengerti. Matanya masih memandangku hina.
Aku cuba memujuknya, dia kata dia tidak menerima mata wang asing. Dia menyebut jumlah tiga angka, dan menuntut ia dibayar cek dalam mata wang sterling.
Dan rupa-rupanya juragan durjana ini tidak memandu pun hingga ke alam kubur.
1989
(terjemahan Wan Nor Azriq)
* * *
Tanpa kekangan untuk menyanyi dan patuh kepada rentak tradisi, sebuah puisi prosa bebas mencipta komedi sambil bermain dengan alegori, isu semasa, dan imaginasi pembaca. Puisi Carol Rumens juga boleh menjadi semacam gambaran kepada dilema pembaca yang masih ragu-ragu apabila mereka berhadapan dengan sebuah puisi prosa. Di manakah tempat ini? Apakah sempadannya? Ke mana ia ingin membawaku pergi? Kita sudah biasa hidup dalam inflasi kata-kata. Setiap perjalanan menghampiri kematian, memerlukan pelaburan dan keberanian menentang racun sinis masyarakat yang kita sendiri telah bina.
Comments