Semalam Di Chile



Antara semua novel Roberto Bolano, By Night in Chile ialah novel beliau yang paling Chile (sesuai dengan judulnya). Tidak ada Mexico, Arturo Belano dan apa-apa pembunuhan kejam. Malah disebabkan novel ini sangat bersih dan mendatar nadanya, ia novel pertama seseorang patut baca jika dia belum pernah masuk dan merasai dunia multiverse Bolano. 

Pencerita novel ini ialah seorang paderi bernama Sebastian Urrutia Lacroix yang kemudian menjadi penyair di Chile. Sebastian bermula sebagai pembaca, kemudian berkenalan dan berguru dengan lelaki yang dikatakan pengkritik sastera terbaik Chile, malah merupakan sahabat kepada Pablo Neruda. Pada mulanya, saya membaca novel sebagai pengakuan panjang (ia hanya satu bab panjang dari mula hingga habis) seorang paderi; kemudian saya sedar, ia bukan sebuah novel pengampunan, melainkan kebosanan. 

Kebosanan akibat penindasan, kebosanan akibat kedangkalan pemikiran, kebosanan akibat kesunyian menjadi seorang berbangsa Chile.  

Saya selalu rasa monolog panjang bukan kekuatan Bolano sebagai novelis. Beliau tidak mempunyai kemarahan bertenaga seperti Thomas Bernhard, mahupun kegeniusan bermain satira seperti Jose Saramago. Apa yang memandu fiksyen Bolano ialah kegilaan pada sastera dan darah panas orang muda. Kalau dalam dunia Charles Dickens, pembaca sentiasa kanak-kanak; maka dalam dunia Bolano, pembaca sentiasa remaja. Membaca Bolano adalah seperti mendengar gosip sastera yang panjang dan tidak berkesudahan. Sebab itu unsur esei dan monolog tidak boleh masuk dalam gaya kepengarangan Bolano. Esei memerlukan renungan panjang (dan ada waktunya pemikiran intelektual); bandingankan novel Bolano dengan novel Sergio Pitol dan W. G. Sebald; sementara monolog memerlukan kuasa retorik; waktu perlu diperlahankan. Tetapi sebagai anak murid Jack Kerouac dan Jorge Luis Borges, Bolano tidak ada masa untuk bermain retorik. Naratif perlu bergerak cepat dan bertenaga. 

Justeru antara bahagian menarik dalam By Night In Chile ialah apabila Sebastian menyimpang daripada leteran dan monolog panjangnya. Terdapat satu babak dia mengembara di Eropah bertemu rakan paderi dan minat mereka pada burung falcon.

"Then I took a train and travelled to Namur in Belgium, where Fr Charles, curate of Our Lady of the Woods, had a falcon called Ronnie, and Fr Charles and I became good friends, we would often go cycling together through the woods surrounding the town, each with a basket full of picnic provisions and, without fail, a bottle of wine, and one afternoon Fr Charles even heard mu confession on the bank of a small river that flowed into a big river, on the grass, surrounded by wildflowers and tall oak tress, but I did not mention Fr Antonio or his falcon Rodrigo, whom I had lost on that crsytal-clear, irrevocable night. And then I took the train and said goodbye to the splendid Fr Charles and set out for Saint Quentin in France, where I was welcomed by Fr Paul, at the church of St Peter and St Paul, a little jewel of Gothic architecture." 

Kembara Eropah Sebastian mirip juga dengan kembara Bolano sendiri; dan seperti Bolano, Sebastain kemudian pulang ke Chile yang sudah digulingkan kerajaan. Nada novel ini bertukar menjadi lebih serius dan gelap. Kemuncak plot, serta sentuhan genius pengarang, berlaku apabila Sebastian dipanggil untuk mengajar ilmu dan sejarah Marxisme kepada General Pinochet serta barisan pucuk pimpanannya. Itu antara ciri-ciri sebuah novel berkesan di mana kita dibawa melalui pelbagai pengalaman, sama ada secara halus, berperingkat, atau pertukaran nada penceritaan yang mendadak dan berbekas.            

Comments

Popular Posts