Hikayat Panglima Nikosa: Novel Gangster Sarawak





Menggariskan sejarah tanpa memahami, menyelidik, dan mengkaji setiap unsur asas yang membangunkan sejarah itu adalah masalah terbesar dalam kritikan sastera Malaysia. Kita membahagikan zaman kepada "tradisional" dan "moden" tanpa meneliti apa yang kita faham sebagai "moden" dalam konteks budaya dan masyarakat tempatan. Adakah kita hanya moden selepas kedatangan teknologi dari barat? Adakah sebelum hadirnya novel-novel terjemahan dari barat, para pengarang dan penglipur lara kita tidak mempunyai kesedaran "subjektiviti" dan kefahaman mengenai "realiti" alam di sekeliling mereka? 

Sebelum adanya "puisi" manusia Tanah Melayu sudah melakukan pemuisian (sama ada secara lisan atau bertulis); sebelum adanya "novel" dan "cerpen," manusia Tanah Melayu sudah bercerita dan membingkaikan dunia dalam kerangka naratif; sebelum adanya "seni halus" dan "seni bina," manusia Tanah Melayu sudah melukis di dinding dan membina candi dan istana. 

Maka persoalan penting di sini: adakah kita benar-benar "moden" atau ia hanya ilusi yang hadir untuk mengaburkan identiti sebenar kita sehingga kita perlahan-lahan percaya dan membenamkan tradisi sebagai sesuatu yang arkaik dan purba? 

Tujuan saya membangkitkan persoalan-persoalan ini bukan hendak memberi gambaran fantasi seolah-olah orang Melayu dahulu sudah sedia ada "kuat" dan "maju" dan tidak memerlukan apa-apa ilmu dan teknologi dari luar. Sebaliknya saya ingin mempersoalkan dan mengherdik sikap malas para sarjana kita yang mengambil ilmu seni dan falsafah dari barat secara borong seolah-olah ia tukul dan paku yang boleh dipakai sesuka hati. 

Setiap objek menyimpan memori, setiap konsep dibangunkan daripada pertentangan di antara kehadiran dan ketiadaan. Tidak ada objek yang bogel kerana tidak ada objek yang boleh lari daripada kewujudan dirinya. 

Menurut Syed Othman, Hikayat Panglima Nikosa adalah novel Melayu terawal. Apa yang menarik perhatian saya bukanlah kenyataan itu, tetapi bagaimana Syed Othman dan juga Hamzah Hamdani boleh menerima sebuah karya yang tidak melebihi 30 halaman sebagai sebuah novel. Maka saya berminat nak tahu apa kayu ukur mereka untuk sebuah novel? Lebih penting: kenapa ingin membezakan di antara hikayat dan novel? Apa yang selalu dilakukan sarjana kita ialah membandingkan novel dan hikayat dari sudut realisme seolah-olah novel jauh lebih real berbanding sebuah hikayat. Padahal kedua-duanya adalah fiksyen. Kalau "novel moden" dikatakan sangat real berbanding hikayat, justeru kenapa Hang Tuah boleh menjadi watak yang jauh lebih real dan berpengaruh berbanding Salina atau Lahuma? Masalah asas sebegini menjadi bertambah rumit apabila sarjana akan guna kayu ukur sarjana barat bagi menggariskan  sejarah novel dunia (buku Ian Watt The Rise of the Novel sebagai kiblat). 

Satu lagi penyakit besar dalam kajian para sarjana tempatan ialah kegilaan memburu tema dan pemikiran. Kalau boleh, setiap perkataan dalam sebuah teks itu sarjana kita inginkan sarungkan jubah label. Tetapi apa yang sarjana kita faham sebenarnya sebagai "pemikiran"? Bukankah "pemikiran" yang sarjana kita faham hanya "kosep-konsep moral" yang terbentuk praduga sebelum mereka berhadapan dengan sebuah teks? Ibarat tukang kunci datang untuk berkhutbah dengan sebatang pokok. Sebelum kita ingin mentafsir, kita mesti mendengar dan memahami apa yang ingin diperkatakan dan juga apa yang tidak disebut dalam sebuah teks. Sekiranya dari awal lagi kita sudah ada praduga, maka dua perkara akan berlaku: 1) kita hanya mendengar apa kita ingin dengar; 2) kita gagal menangkap rahsia dan maksud tersembunyi dalam sesuatu percakapan. Apabila saya kata percakapan, saya juga merujuk kepada penulisan, kerana apabila kita membaca kita juga sedang berbicara dengan suara dalam teks tersebut,

Kesilapan Hamzah Hamdani ketika menanggapi Hikayat Panglima Nikosa ialah beliau terlalu naif dan mudah percaya dengan apa yang diperkatakan di permukaan teks. Izinkan saya memberi sedikit rumusan mengenai latar belakang karya ini. Pengarang karya ini ialah Ahmad Shawal bin Abdul Hamid yang berasal dari Sumatera. Beliau dikatakan dibawa ke Sarawak oleh James Brooke sebagai jurutulis. Menurut Margaret Brooke, Ahmad Shawal begitu popular di kalangan masyarakat berpendidikan di Kuching. Karya beliau diterbitkan pada tahun 1876 di Bukit Persinggahan pada zaman pemerintahan Charles Brooke. Reputasi Ahmad Shawal mempunyai persamaan dengan Munshi Abdullah yang juga merupakan jurutulis kepada Inggeris dan popular di kalangan masyarakat bandar. Dan ada kemungkinan besar, seperti Munshi Abdullah, Ahmad Shawal menulis karya beliau di bawah tajaan dan naungan majikannya. Sukar untuk membayangkan seorang jurutulis dari Sumatera mempunyai kebebasan mutlak untuk menulis apatah lagi mencetak manuskrip menjadi sebuah buku, tanpa ada campur tangan daripada pihak pemerintah. Oleh itu, karya ini tidaklah ditulis "untuk masyarakat petani," tetapi golongan berpendidikan, tuan-tuan tanah, dan kroni-kroni keluarga Brooke di Kuching. Latar belakang ini sewajarnya dipertimbangkan oleh Hamzah Hamdani sebelum beliau menabur bunga-bunga moraliti di pintu masuk novel Ahmad Shawal. Cuba lihat di bawah tafsiran terpesong yang dibuat oleh Hamzah Hamdani dalam kata pengantar beliau untuk Hikayat Panglima Nikosa

"Demikian pemikiran yang cuba disampaikan oleh Ahmad Shawal bin Abdul Hamid tentang usaha-usaha kegiatan pertanian yang bersistem. Pembaca dapat menanggapi sikap pengarang yang berpandangan jauh, amat mengambil perhatian terhadap faktor waktu dan kesedarannya yang mendalam sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab yang harus dilaksanakan. Berdasarkan pemikiran pengarang yang telah dihuraikan tadi, jelas memperlihatkan pemikiran pengarag sangat moden jika dibandingkan dengan zaman beliau hidup. Pengarang amat menyedari tanggungjawabnya sebagai seorang yang berpendidikan dan beliau perlu menjadi guru untuk memberikan tunjuk ajar kepada masyarakatnya yang masih mundur."

Ketika membaca pujian melambung ini, saya tidak dapat tidak membayangkan Charles Brooke merasai benda sama ketika menatap tulisan Ahmad Shawal sebagai teks yang sangat mewakili semangat "progresif" dan "saintifik" yang dibawa oleh kolonial barat kepada masyarakat Borneo yang masih tidak tahu bagaimana hendak membangunkan sistem pertanian secara sistematik. Dan sanggup ya Hamzah Hamdani melihat masyarakat zaman itu sebagai "mundur" hanya kerana mereka tidak berfikir dan berpendidikan seperti Ahmad Shawal! Ini saya kata tadi kegilaan memburu tema dan pemikiran sehingga sarjana sendiri tidak sedar tangan dan mulut mereka dikawal oleh teori pemikiran barat yang mereka seludup. Kesilapan Hamzah Hamdani berlaku pada banyak peringkat. Pertama, beliau mengandaikan suara narator dalam teks ini adalah suara Ahmad Shawal sendiri yang kononnya hadir untuk mendidik golongan petani. Malah beliau menyamakan pendapat Panglima Nikosa tentang kaedah pertanian dengan suara narator yang bercakap seolah-olah narator, Panglima Nikosa, dan Ahmad Shawal adalah orang sama. Saya tidak berminat nak kupas lebih lanjut tentang kesilapan asas itu kerana saya ingin fokus kepada struktur tersirat dan permainan kuasa sebenar yang menunjangi karya ini iaitu kisah kebangkitan seorang gangster bernama Nikosa. 

Kenapa saya kata Nikosa sebenarnya adalah gangster kampung? Kita lihat dahulu pengenalan awal karya ini. Kampung di mana Nikosa tinggal telah diserang "musuh." Mereka merompak dan membunuh orang kampung itu. Nah, kita tidak pernah tahu sepanjang kisah ini siapakah "musuh" yang dimaksudkan. Apa motif mereka? Kenapa mereka merompak? Bagaimana kalau mereka sebenarnya bertindak balas terhadap rompakan dan serangan orang lain ke atas kampung mereka? Ingat latar karya ini bukan di Melaka atau Kedah. Tidak ada isu rakyat memberontak dan membuat jenayah di kawasan seorang sultan. Yang ada hanya puak-puak dari kampung-kampung berbeza. Sekarang kita lihat apa reaksi bapa Nikosa serta orang-orang tua di kampung itu: 

"Dengarlah oleh anakanda, inilah perintah daripada orang tua-tua di dalam negeri kepada anakanda. Maka, anakanda mesti mengumpul segala orang yang bujang-bujang yang kuat-kuat tubuhnya dan segak rupanya serta besar hatinya dan berani banyaknya tiga ratus orang serta dengan cukup perbekalan tiga bulan dan hemat-hemat berjalan segera melanggar segala musuh itu yang di pinggir negeri ini supaya musuh itu mendapat kasakitan dan tiada mengacau negeri kita lagi supaya turun bertanam padi dan berkebun-kebun dengan kesenangan."

Kalau ini filem KL Gangster, kita sudah boleh membayangkan petikan di atas dilontarkan oleh King kepada Malek dan Shark supaya "melanggar" tempat Dragon dan Jai supaya perniagaan mereka boleh kembali berjalan lancar. Perintah bapa Nikosa bukan perintah seorang raja atau sultan, ia adalah perintah seorang tuan tanah yang sedang rasa tergugat sumber pendapatannya. Bukan sedikit jumlah orang diupah, tiga ratus orang, memang nak cari gaduh! Beliau siap memberi izin kepada Nikosa untuk membunuh dan memberi "kesakitan" kepada pihak musuh. Nikhosa dan kawan-kawannya juga dijanjikan gelaran "panglima" kalau mereka pulang dengan harta dan kemenangan. Dalam bahasa KL Gangster, Nikosa menjadi Abang Long Nikosa.    

Nikosa dan gangsternya tidak berhenti dengan musuh yang menyerang kampung mereka. Nikosa turut menyerang "musuh" di tempat lain yang dikatakan "berlainan bahasanya daripada bahasa Nikosa dan adatnya pun berlainan juga." Kita perlu ingat bahawa karya ini ditulis dalam bahasa Melayu untuk pembaca yang memahami bahasa Melayu di Sarawak pada zaman itu. Ia tidak ditulis dalam bahasa mana-mana etnik Sarawak. Jadi tidak mustahil "musuh" yang dimaksudkan Nikosa itu ialah etnik-etnik bukan Melayu yang berada di Sarawak. Dan kenapa Nikosa ingin menyerang mereka? Kenapa mereka juga dianggap sebagai "musuh"? Bukankah ini hanya retorik kabur pengarang untuk mewajarkan keganasan Nikosa dan gangster-gangsternya?  


Comments

Popular Posts