Tiga Puisi Saat Omar


Saya selalu kata penulis yang segenerasi dengan saya tidak ramai. Saat Omar ialah sebilangan kecil daripada mereka. Namanya masih belum cukup dikenali, walaupun dia telah menulis salah satu novel terbaik Malaysia iaitu Rebel. Seperti Ridhwan Saidi, Saat Omar juga melukis dan menulis puisi sebagai hobi sampingan. Saya suka humor dan nada bersahaja yang terdapat dalam tulisan-tulisan Saat, termasuk puisinya. 

* * *

ROKOK DAN PENULIS


Salahkah aku mentafsir
Kerana semua  seniman yang kukagumi
Ada rokok menyala disisi jari
Dalam setiap foto yang diambil
Ah, tak usah kau menyebut nama
Kau pun tahu siapa dia
Maka dengan itu aku pun turut merasa
Dengan merokok seperti jalang

Lihat Camus, Lihat Auden
Dan T. S. Eliot pun ketagih juga
Pada puntung yang apinya membara
Betulkah tafsiran aku ini
Bila lelaki dambakan idea
Tangannya mahu berpaut pada cahaya?

Atau silap aku yang mentafsir
Ilham itu datang dari Ilahi
Dan bukannya pada rokok yang berapi

Atau perlu aku membaca sahaja sajak mereka
Tanpa melihat gambar penulisnya. 


LAMPU MALAM


Aku dan isteriku selalu berbalah tentang lampu bilik
pada waktu malam
Aku mahu tidur dalam gelap dan dia mahu sedikit cahaya
Aku tutup semua suis lampu dan dia suka biarkan
lampu dapur terbuka
Selalu aku biarkan dia menang dan tutup semua
lampu bila dia sudahpun terlena
Kadang-kadang aku bangun tengah malam dan selak
langsir supaya cahaya dari lampu jalan boleh masuk
ke ruang tamu, di tempat kami tidur
Kadang-kadang bila dia terjaga, dia buka semula
Lampu dan tutup semua langsir.
Bila aku terjaga aku selak langsir semula

Suatu malam dia bangun dan buka semua lampu
Dia ke dapur untuk bancuh susu anak
Kali ini aku tak membantah
Tak mengapa, kerana aku sudahpun tertidur. 


AKU DAN BUKU-BUKU YANG TAK DAPAT KUHABISKAN


Aku dan buku-buku yang tak dapat kuhabiskan
Terletak meninggi atas meja
Dibeli dijualkan buku murah
Bila agaknya boleh aku habiskan semuanya?
Aku cuma baca tajuknya dan perenggan pertama
Dan mencium wangi bau kulitnya
Sesetengahnya kubeli kerana nama penulisnya
Sesetengahnya pula kerana kulit buku yang cantik
Yang lain pula kerana harga murahnya
Tapi semuanya tak sempat habis dibaca
Menyelak beberapa mukasurat cuma dan membelek
kata-kata akhirnya

Mungkin suatu hari nanti
Bila aku ada kuderat dan masa
Akan kuhabis bacakan semuanya
Dari muka pertama sampai ke ayat terakhir
Setakat ini biarlah ia tersusun dimejaku
Dengan aku berbangga memilikinya.



Comments

Popular Posts