Kelas Penulisan W. G. Sebald


W. G. Sebald menjalankan bengkel penulisan fiksyen terakhir beliau pada tahun 2001 di University of East Anglia. Kata-kata mutiara di bawah merupakan kutipan daripada pelajar-pelajar kelas tersebut. Mereka menggambarkan Sebald sebagai guru berjiwa melankolik, seperti watak-watak dalam novelnya, namun Sebald juga pandai bergurau dan sangat berbudi bahasa. Sebald meninggal dunia dalam kemalangan tiga hari selepas bengkel itu. 

* * *

"Fiksyen harus ada kehadiran yang lutsinar pada sesuatu tempat dalam karya, seperti hantu, seperti kuasa yang maha tahu. Ia menjadikan fiksyen realiti yang berbeza."

* * *

"Penulisan ialah meneroka benda yang tidak pernah diketahui. Kalau tidak, proses ini hanya sia-sia."

* * *     

"Tulis tentang benda yang kabur tapi jangan kabur penulisan anda."

* * *

"Agak sukar nak menulis benda baharu mengenai Napoleon, namun cerita mengenai pengikut-pengikutnya adalah perkara lain."

* * *

"Anda tidak boleh menyalahkan kelemahan dalam teks kepada keterbatasan seorang watak. Sebagai contoh, 'dia tak tahu latar itu, maka dia tidak boleh menggambarkannya.' atau 'dia mabuk, maka dia tidak tahu benda itu atau benda ini.'"

* * *

"Anda mesti meletakkan setiap benda dalam ruang waktu dan tempat yang betul melainkan anda ada sebab untuk tidak melakukannya. Pengarang muda selalu tidak sabar untuk menggerakkan cerita di atas landasan, tanpa mempedulikan apa yang ada di kiri kanan landasan."

* * *

"Meteorologi bukan benda remeh dalam cerita. Jangan pandang cuaca dengan sebelah mata."

* * *

"Yang membezakan sebuah karya ialah rasa tempat. Anda mesti ada sebab bagus kalau anda tidak mahu menggambarkan tempat."

* * *

"Perincian penting memberikan nyawa kepada situasi yang kelihatan biasa. Anda mesti teliti membuat pemerhatian."

* * *

"Baca buku yang tidak ada kaitan dengan sastera."

* * *

"Anda mesti menyuruh orang gaji bekerja untuk anda. Anda tidak boleh membuat semua kerja sendiri. Maksudnya, anda patut tanya orang lain untuk maklumat, dan curi tanpa belas kasihan apa mereka berikan."

* * *

"Saya hanya boleh menggalakkan anda untuk mencuri sebanyak mungkin. Tak ada orang akan perasan pun." 

* * *

"Jangan takut untuk memasukkan quotation aneh dan menarik ke dalam karya anda. Ia memperkayakan prosa anda. Quotation adalah ibarat yeast atau ramuan tambahan dalam masakan." 

* * *

"Kalau anda perhatikan betul-betul, semua penulis ada masalah. Dan itu patut memberikan anda harapan. Dan semakin bagus anda mengenal pasti masalah ini, semakin mudah untuk anda mengelaknya."

* * *

"Setiap ayat yang berdiri sendiri harus mempunyai makna."   

* * *

"Elak ayat yang hanya berfungsi untuk menyediakan ayat seterusnya."

* * *

"Banyak perkara akan selesai dengan sendirinya kalau ia dibiarkan di dalam laci meja."


  

Comments

Popular Posts