Permainan Oulipo dalam Novel Soneta Roda Basikal

Sumber: blog Azrin Fauzi

Sebelum mengenali Georges Perec, saya terlebih dahulu mengenali Raymond Queneau yang merupakan pengasas kepada gerakan sastera bernama Oulipo. Saya membaca novel Queaneu Exercise In Style dan saya sangat terpesona. Saya tidak sangka sastera boleh ditulis dengan sedemikian rupa. Satu babak yang ditulis semula berulang-ulang kali menggunakan sudut pandang dan gaya bahasa yang berbeza-beza. Saya sendiri kemudian cuba membuat cerpen seperti itu, dan saya hantar kepada Sufian Abas untuk terbit dalam sebuah zine (saya tak ingat judul).

Saya kira, tanpa saya sedar, novel Queanue menjadi permulaan kepada hubungan intim saya dengan permainan-permainan sastera Oulipo. Dalam risalah manifesto pertama Oulipo berjudul "Excercises In Potential Literature", tahun 1961, salah seorang pengasasnya iaitu Francois Le Lionnais, menyatakan semua sastera terdiri daripada "kekangan" (constraint) dan "aturan" (procedure). Matlamat Oulipo ialah meneroka potensi-potensi baru sastera dengan bantuan matematik dan komputer. Maka mereka mencipta pelbagai permainan dan kekangan teks yang aneh dan mencabar. Tujuannya bukanlah untuk menolak peraturan lama dalam sastera; tetapi mencipta peraturan baru dan lihat apakah hasil yang kita boleh dapat.     

Antara permainan Oulipo saya pernah guna dalam novel saya ialah apa mereka sebut sebagai text a demarreur atau Kick-Start. Bunyi canggih, tapi sebenarnya sangat mudah. Bayangkan anda ingin mengingati sesuatu dan anda memulakan setiap catatan anda dengan "Aku ingat... Aku ingat..." dan seterusnya. Saya menemui teknik ini daripada Georges Perec dan Georges Perec menemuinya daripada Joe Brainard. Dalam Soneta Roda Basikal, saya ubah ungkapan "Aku ingat" kepada "Aku lupa."  

Saya akan kongsikan dulu petikan daripada catatan Perec berjudul Aku Ingat:


25
Aku ingat seorang pengawas sekolah dari Corsica bernama Flack, yang bunyi "seperti German ack-ack."

26
Aku ingat 'High Life' dan 'Naja.'

27
Aku ingat menerima tandatangan Louison Bobet di Parc des Princes.

34
Aku ingat panggung wayang di Avenue de Messine. 

36
Aku ingat bandar Algiers yang merentang dari Pointe Pescade sehingga Cap Matifou. 


Sekarang petikan daripada novel saya Soneta Roda Basikal:


23/8/2002: Aku lupa di mana aku simpan buku Ian Livingstone, City of Thieves.

25/8/2002: Aku lupa kami pernah langgan majalah Reader's Digest dan Gila-Gila.

31/8/2002: Aku lupa Kedah pernah mengalahkan Singapura di Stadium Merdeka. Aku lupa tempat di mana aku duduk. Aku lupa dengan siapa aku menontonnya. Aku lupa jika memang ada perlawanan itu dan siapa yang menjaringkan gol.   

2/9/2002: Aku lupa Malaysia berada dalam gelap pada tahun 1996. 

5/9/2020: Aku lupa hari ini hari jadi aku. Aku lupa basikal roda empat yang aku dapat daripada emak dan ayah. Aku lupa aku masih tidak tahu mengayuh sampai sekarang.  


Antara sebab saya selalu meletakkan kekangan kepada naratif atau struktur novel saya ialah ia memberikan fokus. Dan ia bantu saya menyusun maklumat dan mengatur gerakan setiap watak seolah-olah saya sedang menulis di atas sebuah papan catur. 


Comments

Popular Posts