Paul Auster Suka Berjalan Kaki
Saya masih rasa City of Glass ialah novel terbaik Paul Auster. Novel epiknya 4321 pun tidak boleh lawan. City of Glass mempunyai premis yang menarik dan naratifnya padat. Auster tidak membazirkan kata dengan anekdot dan latar belakang watak yang berjela-jela (ini masalah utama saya dengan kebanyakan novel Auster). Lebih penting daripada itu, buat saya, City of Glass ialah novel berjalan kaki yang hebat.
Nah, sebuah novel boleh menjadi karya berjalan kaki tanpa menyedari ia adalah sebuah karya berjalan kaki. Sebagai contoh, novel Ms. Dalloway karangan Virginia Woolf. Saya tidak fikir Woolf berniat untuk tulis sebuah tentang berjalan kaki di London. Dia cuma ingin menceritakan pengalaman satu hari Ms. Dalloway. Ini berbeza dengan novel Robert Walser, novel Sergio Chejfec, atau novel Teju Cole. Mereka menulis dengan kesedaran bahawa watak mereka ialah pejalan kaki. Saya fikir situasi Paul Auster sama dengan Virginia Woolf; dia tidak bercadang untuk menulis novel berjalan kaki. Namun Quinn memang suka berjalan di New York, dan ini merupakan kaedahnya untuk mengintip pergerakan Stillman. Sewaktu Quinn mengintip Stillman, dia secara tidak langsung telah memetakan kota New York, dan Quinn melukisnya di dalam sebuah buku nota merah. Peta kota New York menjadi cermin kepada peta dalam minda Quinn sendiri.
Dalam sebuah wawancara, Paul Auster mengakui dia ada masalah menyesuaikan diri dengan ruang sesuatu tempat. Malah sampai sekarang pun dia masih sesat di Manhattan.
"Jadi bagi saya keseronokan berjalan di tengah kota ialah perasan tidak tahu di mana saya berada dalam sesuatu masa. Saya dan George Oppen pernah sembang tentang Cabeza de Vaca, seorang penjajah Sepanyol suatu masa dulu. Ini sekitar 1510, 1520, tak lama selepas kedatangan Columbus. Sepanyol masa itu ada pangkalan, mungkin di Florida, saya tak pasti. Cabeza tengah berlayar menuju ke Florida, tapi tiba-tiba kapalnya terkandas, dan dia terpesong ke laluan lain. Dan yang selamat hanya dia, dan dua orang lagi (seorang hamba kulit hitam, dan seorang lelaki asli Amerika). Dan mereka berjalan merentas benua ini. Cabeza ialah orang kulit putih Eropah pertama yang menjejak kaki di Amerika. Cabeza tak tahu pun di mana dia berada. Dia terus berjalan ke arah barat. Dia tulis sebuah buku berjudul The Journeys, atau The Adventurers, lebih kurang macam itulah."
Itulah berjalan kaki buat Auster: sesat tanpa hala tuju di tengah tempat asing. Walaupun kita sudah tinggal seumur hidup di sebuah kota, kita tidak akan betul-betul mengenalinya selagi kita tidak berjalan dan sesat.
Comments