Menulis Dengan Lebih Matang


Nasihat orang lain datang dan pergi dalam hidup seorang penulis. Tidak semuanya boleh pakai pun kerana setiap penulis mengasah kata-kata dengan batu pengalaman yang berbeza. Tetapi pasti ada juga nasihat yang berbekas dalam dirinya. Lebih-lebih lagi nasihat yang didengari atau dibaca ketika dia masih baru sedang belajar mengenal cara penanya melangkah dari baris ke baris (untuk seorang novelis, dari halaman ke halaman). Saya sendiri paling ingat nasihat Jane Smiley tentang siapakah seorang novelis:

"A novel has an author. The desire to write a novel is the single required prerequisite for writing a novel. It is the only thing that overcomes all the handicaps - perfectionism, low self-esteem, depression, alcoholism, disease of all kinds, immense riches, economic hardship, deadly enemies, the resistance of relatives and friends, laziness, retarded professional development, the regular responsibilities of adulthood, even imprisonment (Sir Thomas Malory, for example, wrote the romance/protonovel Le Morte d' Arthur while imprisoned during War of the Roses). While the desire to write a novel does not guarantee that the resulting novel will be a good one, or, if it is, that the author will produce a string of good ones, it is the only way to begin."

Mujur novelis bukan pemain bola sepak. Kalau tidak, Henry James atau Tolstoy terpaksa gantung "but" mereka awal ketika pertengahan umur. Kalau tidak, dunia sastera akan dipenuhi dengan pengarang-pengarang muda seperti Chairil Anwar dan Rimbaud. Mujur. Susah nak bayangkan seorang pengarang muda menulis Bukan Pasarmalam atau Death In Venice atau Heart of Darkness. Ada cerita yang hanya mampu dibentuk lewat usia dan pengalaman.

Tetapi adakah usia menjanjikan penulisan yang matang?

Soalan ini agak lucu kerana kita tidak tahu apakah yang dikatakan penulisan matang. Kita ambil contoh A. Samad Said. Ya, siapa berani pertikaikan kematangan usia dan darjah kebijaksanaan A. Samad Said pada usia sekarang berbanding ketika beliau masih menulis Salina. Tetapi kalau tiba-tiba A. Samad Said kembali menulis novel, belum tentu ia akan sebagus Salina atau Hujan Pagi. Entah-entah lebih teruk. Tidak mungkin sebuah novel boleh ditulis oleh pengarang yang sudah tenggelam dalam mitos legendanya sendiri.

Saya buka laman sesawang akhbar "The Guardian" semalam dan saya temui wawancara bersama Julian Barnes. Siapa sangka ya orang tua ini ialah seorang penyokong tegar pasukan bola sepak Leicester City. Sudah dekat 40 tahun semenjak kali pertama Barnes menerbitkan novel pertamanya. Dia telah menerbitkan 13 buah novel dalam tempoh itu. Barnes, bersama Salman Rushdie, Kazuo Ishiguro. Martin Amis, dan Ian McEwan (mereka digelar "Big Five") masih aktif menulis dan masih aktif mengeluarkan buku baru. Tidak ramai yang berani bersara seperti Philip Roth. Peter Handke baru menang Hadiah Nobel, padahal dia pun sudah lama tidak aktif menerbitkan novel. Adakah beliau dinilai berdasarkan pencapaian karya lama atau semasa? Saya masih ingat ketika J. M. G. Clezio menang Hadiah Nobel pada 2008, Penguin ulang cetak karya-karya awalnya. Saya beli banyak juga kerana realisme dan eksperimen Clezio kena dengan selera saya. Tetapi daripada tiga buku beliau yang saya beli, tidak ada satu yang boleh dianggap " karya matang".  Malah tidak ada sesiapa membaca Clezio lagi.    

"Yang perpendirian: lebih baik tidak menulis
daripada memperkosa kebenaran, kemajuan"  

Ini ditulis oleh Chairil Anwar. Dia adalah contoh sebilangan kecil penyair yang pada usia sangat muda sudah menunjukkan genius dan "kematangan" luar biasa dalam menyusun kata-kata. Tetapi betulkah sajak-sajak awal Chairil itu, termasuk "Aku", boleh dikira matang? Atau ia sekadar ledakkan api amarah seorang anak muda? Hasan Aspahani mempunyai pemerhatian yang menarik dalam buku berjudul Chairil. Dia membandingkan sajak "Aku" dan dengan sajak lewat Chairil iaitu "Cemara Menderai Sampai Jauh".  

"Jika pada sajak "Aku" kita terpesona pada isi, pada apa yang disampaikan penyair; yaitu keinginan untuk melawan, menggelorakan semangat hidup, keinginan untuk bergerak seakan hidup itu abadi, maka pada sajak "Cemara" kita justru bertemu perasaan yang amat jamak, kepasrahan pada hidup yang rapuh."

Saya sendiri selalu rasa "Cemara" ialah antara puisi terbaik Chairil. Malah ia memberi gambaran, kalau Chairil hidup lebih lama, puisi-puisinya akan lebih padat dan kaya dengan renungan hidup. Tetapi tanpa puisi "Aku", fenomena seorang Chairil Anwar itu tidak akan lahir. Ada waktunya seorang penulis perlu menjadi kurang ajar dan pemberontak untuk dia dikenali, sebelum akhirnya dia dapat dibaca dan diterima sebagai seorang manusia seni yang matang.
  

Comments

Popular Posts