Dua Puisi Rudi Mahmood


Keterujaan kepada benda baharu. Selama beberapa hari, idea "keterujaan" ini berputar-putar dalam fikiran saya setiap kali saya membaca tulisan Munshi Abdullah. Di sebalik nasihat dan kritikan Abdullah terhadap masyarakat di sekelilingnya, kita tidak boleh menafikan, dia adalah manusia yang mudah terangsang pada pembaharuan. Baharu bukan sahaja dari segi bahasa atau teknologi, tetapi juga pembentukan identiti. Melayu yang boleh membaca, Melayu yang boleh menulis, Melayu yang boleh mencetak, Melayu yang boleh melihat, dan Melayu yang boleh berfikir. Wujudkah pada abad kesembilan belas Melayu yang sedemikian moden adanya? Barangkali tidak; Abdullah sendiri bukan Melayu! Namun naratif Melayu baharu itu akan terus ditolak sehingga ke awal abad kedua puluh, terutama sekali dalam novel-novel terbaik 1920an. Adakah keterujaan ini terhenti selepas kemerdekaan? 

Barangkali ya. Buka mana-mana sajak awal T. Alias Taib, Latiff Mohidin, Muhammad Haji Salleh, dan Baha Zain, dan satu perkataan akan mewarnai emosi mereka: kedukaan. Dari segi apa? Untuk Alias dan Baha, kehilangan identiti diri di tengah pembangunan kota. Untuk Latiff, kemusnahan alam. Untuk Muhammad, kehilangan jati diri. Tetapi bukankah masalah ini juga adalah masalah penyair Indonesia pada zaman itu? Ya, tetapi masing-masing memilih jalan keluar berbeza. Kedukaan penyair Malaysia ialah kedukaan Si Tenggang yang selamanya tidak boleh pulang ke kampung. Kedukaan penyair Indonesia ialah kedukaan seorang anak kecil yang tertinggal di pondok bas bersama mainan kapal kertasnya. 

Atau dalam kata mudah: penyair Malaysia menulis puisi untuk lari dari puisi; penyair Indonesia menulis puisi untuk lari ke dalam puisi. Pukul rata? Mungkin ya. Tetapi ia menarik untuk difikirkan.

Sekarang kita datang kepada Rudi Mahmood. Nama yang kita jarang dengar, tetapi reputasinya sebagai penyair veteran tidak diragui. Ibarat kelasi yang sudah banyak makam garam laut. Bukan itu sahaja, Kelantan memang mempunyai tradisi penulisan puisi yang hebat. Rosli K. Matari, Moechtar Awang, dan Rahimidin Zahari. Semua Kelantan. Saya jarang membaca puisi Rudi Mahmood, malah saya tidak tahu jika dia ada kumpulan puisinya sendiri. Tetapi saya sangat teruja apabila menemui dua puisi ini dalam sebuah antologi puisi terbaik Malaysia.

Hujan dan Kapal pun Berangkat

Dan kapal pun berangkat
hujan jadi titik kasar yang cemas
dari hitungan seorang kelasi muda
dan entah kali yang ke berapa
wap pelabuhan tengah malam tertinggal;
sepi jadi pengundang yang baik
ketika perempuan itu menghimpun titik-titik
dan titik-titik jadi butir-butiran hujan
menggelungsur di antara serimbun rambut.

Hujan dan kapal pun berangkat
lembut pasir pelabuhan
meninggalkan cakaran kaki si perindu
malam jadi dinding yang gagah
di antara mereka penemuan itu menjelma
ketika air mata perempuan
melamari tafsir seorang lelaki
kamar sekaligus jadi ruang tak berwarna
hujan menghamil duka dan memberat.

Kilat memberi segaris warna malam
membuka pandangan tertutup di depan
remang-remangan bukan jadi rahsia
bila seorang ibu; air mata yang dibekalkan
sering memberi kedewasaan seorang lelaki
atau kelasi muda yang belajar menentang
ombak
mula mengira usia di atas perjalanan detik.

1980

Katakan Saja Kau Sebetulnya Lampu di Tengah Pelabuhan Itu
(cerita buat melah)

katakan saja
yang datang dari lapisan kabut itu
adalah sunyi, aku ingin pulang
sebelum pelayaran ini menghukum kembali
cinta yang terasing di sini
seperti doa yang kupasangkan di laut
kau sebetulnya rindu dari kapalku
waktu mendekati lampu-lampu kecil
di tanah daratan

tidak kubawakan apa
sekalipun unggunan angin atau kulit siput
dari selat teduh; yang ada
hanya jeritan sekian lama
mengepung atau memanggil wajah
tanah kelahiran ini,
maka pada suatu hari kulihat
aku pulang semula
dengan akal tradisi
kenangkan juga
sebelum aku tua di sini
menahan keletihan sebelum berangkat
meninggalkan purnama di langit
ingin lagi kudengari
suaramu memanggil rindu
mengurung ke dalam doa
katakan saja
doa si tanggang ini
lebih sukar dari masalah
ketika lampu-lampu itu menikam
kulit air dan membocorkan sunyi,
di pelabuhan ini
kau seperti mendekatkan aku
kepada nyanyian perempuan
di suatu mimpi.

kau akan mendengar suara tajam
dari tengah lautan
yang terkurung antara ribut
ketika si tanggang yang terhukum
oleh syair dan gurindam ibu
kau akan menjerit
mengatakan tentang duka
sepanjang aku di sini
kataka saja
sebaik aku tiba
kau sebetulnya lampu
di tengah pelabuhan itu.

1983

Walt Whitman pernah kata, "Bukti seorang penyair ialah negara itu menyerap sepenuh dirinya sebagaimana dia menyerap negara itu sepenuhnya." Tetapi negara ialah konsep yang sangat longgar dan setiap orang mempunyai tafsiran sendiri apa yang dia faham sebagai sebuah negara. Cuba kita lihat puisi Rudi Mahamood, adakah dia sedang bercakap tentang sebuah negara? Lebih kepada kedukaan dan keterasingan dalam diri. Ia mengingatkan saya kepada puisi Rahimidin Zahari "Di Dermaga Terbuka." Puisi Rahimidin lebih ringkas dan imejnya lebih ambiguous. Sementara puisi Rudi ialah panggilan rindu. Dia pulang tanpa membawa apa-apa kecuali "jeritan sekian lama."

Kedua-dua puisi ini boleh menjadi plot kepada sebuah cerita. "Hujan dan Kapal pun Berangkat" sebagai permulaan kepada sebuah pengembaraan; dan "Katakan Saja Kau Sebetulnya Lampu di Tengah Pelabuhan Itu" sebagai pengakhiran dan pelayaran pulang ke tanah kampung. Tetapi suasana dalam kedua-dua puisi ini sama. Ketika kelasi itu meninggalkan pelabuhan, dia masih dalam keraguan tentang siapa yang ditinggalkan di belakang, dan apa cabaran yang menantinya di hadapan.

Barangkali ketika Munshi Abdullah berlayar ke Kelantan dan Terengganu, dia tidak pernah sangka tempat ini akan melahirkan ramai sekali penyair bahasa Melayu yang berbakat. Abdullah hanya sempat tengok lanun dan perang saudara di antara raja-raja Melayu. Namun 100 tahun lebih selepas pelayaran Abdullah, para penyair kita masih mencari siapakah diri mereka di negara ini. Adakah mereka rakyat bertanggungjawab yang rasa terasing dalam negaranya sendiri?

Atau adakah mereka Si Tanggang penderhaka yang masih belum menemui jalan pulang?
 

Comments

qalbu said…
Terima kasih apresiasi sajak untuk penulis naif yg kebetulan suka menulis sajak
fadzil yusof said…
Perenggan dua terakhir itu begitu baik mendarat di fikiran...terima kasih

Popular Posts