Memandu Dari Ijok Ke Puncak Alam


Rutin biasa setiap kali pulang ke kampung isteri saya. Selepas makan malam atau selepas berbuka puasa, saya akan keluar memandu ke Puncak Alam. Jalannya gelap dan berbukit. Sepanjang perjalanan saya banyak bercakap dengan diri sendiri. Menyuluh lampu ke depan adalah ibarat menyuluh ke dalam terowong ingatan. Terlalu bahaya untuk kita berhenti dan mengejar bayang-bayang. Kita hanya mampu menyuluh dan menangkap apa-apa yang melintas pada cermin sisi.

Ijok adalah kampung, sementara Puncak Alam adalah kawasan perumahan baru yang masih sedang membangun. Hubungan kedua-dua tempat ini ialah ladang kelapa sawit dan tanah merah yang gersang. Lori keluar masuk tanpa henti kerana ia berdekatan dengan lebuh raya. Sepuluh tahun lagi Puncak Alam mungkin akan jadi seperti Kota Damansara atau Bangi. Populasi campuran tanpa budaya asli untuk membentuk identiti. 

Malam ini saya membawa buku kisah-kisah Berlin Robert Walser. Dari segi penulisan, Walser memang tidak boleh ajar apa-apa kepada saya. Tetapi sukar nak membayangkan pengarang yang lebih sederhana daripada Walser. Saya membaca Walser untuk menghargai hal-hal kecil di sekeliling saya. Seperti memandu seorang diri dan bercakap seorang diri di tengah malam. Pada hari bekerja kita banyak menghabiskan waktu untuk memenuhi permintaan orang lain. Kadang-kadang pada hujung minggu pun kita masih bekerja. Oleh itu, waktu yang kita ada untuk diri sendiri adalah waktu yang sangat berharga. 

Rumah Sufian Abas terletak di penghujung Puncak Alam. Kalau kita terus lagi, kita akan langgar bukit. Sangat jauh daripada Kuala Lumpur. Tetapi tempat paling selamat untuk simpan buku daripada manusia-manusia yang berjiwa rakus. 


Comments

Popular Posts