S. M. Zakir: Menunggu Matahari Di Taiwan

 
"Membaca sajak ada kalanya seperti menghirup bau kata-kata yang menyedarkan kesegaran kepada jiwa," tulis S. M. Zakir dalam pengenalan kepada buku kumpulan puisinya Aroma. Dalam buku itu, kita bukan sahaja menghidu aroma, tetapi merasa hangat matahari apabila kita meletakkan kata-kata Zakir di atas tapak tangan. Kini Zakir muncul dengan kumpulan puisi baru berjudul Rumah Yang Tumbuh Dari Bukit (RYTDB) dan latarnya adalah Taiwan. Nampaknya matahari yang sebelum ini berada di atas tapak tangan  telah jatuh bergolek ke dalam belukar. 

Buku ini mengandungi 35 buah sajak dan hampir kesemuanya adalah sajak tepi tingkap. Bunyi macam main-main, tetapi sebenarnya ada banyak sajak bagus dari Malaysia dan Indonesia yang mengambil suasana di tepi tingkap sebagai subjek. Misalnya, sajak Chairil Anwar 'Sebuah Kamar' yang bermula dengan: "Sebuah jendela menyerahkan kamar ini/ pada dunia. Bulan yang menyinar ke dalam/ mau lebih banyak tahu." Jendela. Kamar. Bulan. Zakir sendiri bukan asing dengan imejan sebegini. Kalau Chairil begitu simpati dengan bulan, Zakir sangat memusuhinya. Dalam dunia Zakir "bulan terlempar/ jatuh terkapar/ ada sejuta cakar di mukanya." Sungguh keras dan tanpa belas kasihan. Anehnya, apabila kita membuka RYTDB, emosi dan imejan yang brutal itu lenyap sama sekali. 

Sebagai perbandingan, kita akan lihat potongan sajak daripada Aroma dan potongan sajak daripada RYTDB. Pertama, dari Aroma iaitu sajak berjudul 'Matahari':


mungkin aku adalah api
dari lautan matahari 
yang bangkit dari rusuh
sebelah badanku menjadi ular
dan sebelah lagi badanku
menjadi serigala


Sekarang daripada RYTDB iaitu sajak berjudul 'Mata Senja':

kenderaan bergerak
bagai serangga di titi
matahari telah rebah di hujung belukar
menyelusup meninggalkan 
cahaya yang memudar


Halusinasi dan kegelisahan jiwa dalam Aroma digantikan dengan meditasi kehidupan dalam RYTDB. Zakir ingin melihat dan mentafsir dunia Taiwan di luar tingkap. Tetapi barangkali Zakir tidak sedar bahawa melihat dan merenung bukan kekuatannya sebagai seorang penyair. Zakir bukan seorang Muhammad Haji Salleh yang boleh mengupas makna daripada apa-apa objek alam. Mahupun seorang T. Alias Taib yang sentiasa melihat dunia dari sudut ironi. Zakir berfikir melalui metafora. Ibarat seorang samurai yang ingin berperang, dia memerlukan ukiran tatu "ular," "serigala," "matahari," dan wajah seorang "kekasih" pada seluruh badannya. Tanpa segala metafora ini, sajak Zakir kehilangan tenaga erotis dan aromanya. 

Zakir juga bukan seorang penyair nokturnal. Malam dan kesunyian sebuah kamar membuat Zakir duduk tidak senang sehingga dia menyeru angin untuk datang teman:


Angin menampar-nampar pintu
menutup dan membukanya
ingin menceroboh masuk
ke dalam rumah studio kecil
yang dihuni sunyi dan dingin


Bagaimana nak merenung hidup jika jiwa sentiasa memberontak untuk keluar dari kamar? Setiap kali Zakir cuba menyimpulkan sajaknya dalam RYTDB, kita dapat baca baris liriknya tersekat-sekat, dan dia tidak ada pilihan kecuali memberi kesimpulan moral tentang "kehidupan." Menurut kiraan saya, Zakir menulis kata "kehidupan" sebanyak 28 kali dalam buku ini. Ia seolah-olah Zakir tidak tahu nak buat apa dengan unsur alam yang diperhatikannya di luar tingkap.  Kecuali apabila terlintas di ruang imaginasinya matahari yang selama ini hilang daripada pandangan:


Aku mencari matahari
yang aku lihat bangkit tadinya
dari sebelah timur 
tegak berdiri di kepalaku
petang ini aku melihat
matahari hilang di hujung belukar 
aku mencarinya menyelak-nyelak
belukar di tepi bukit
tetapi tiada matahari di situ
mungkin matahari telah hanyut
dibawa arus sungai Xindiang 
yang membesar bagai laut
setelah hujan turun tanpa henti 
matahari tergelincir dan jatuh 
lemas di dalam arus sungai
sehingga aku tidak temuinya lagi 
di barat atau di timur
esok mungkin ia akan bangkit
dan aku menunggunya di timur
menyambutnya agar tidak jatuh
dan hilang lagi di hujung belukar


'Matahri Jatuh di Hujung Belukar' ialah sajak terbaik dalam RYTDB kerana inilah bentuk sajak yang paling cocok dengan jiwa kepenyairan S. M. Zakir. Semoga selepas ini matahari akan bangkit semula dan tidak lagi hilang di hujung belukar.  

Comments

Popular Posts