Binatang: Gladiator atau Bidak di atas Meja?

Seekor "gajah putih" yang dibawa dari Burma

Antara semua cerpen Roberto Bolano, Alejandro Zambra paling tidak suka cerpennya berjudul "Buba" kerana ia menunjukkan Bolano bukan seorang peminat bola sepak yang tulen. Memang betul pun. Tidak ada babak bola sepak atau pemain bola sepak dalam mana-mana novel Bolano. Hobi yang lebih dekat dengan jiwa Bolano ialah sejarah Perang Dunia Kedua dan permainan meja bertema perang. Kalau tidak salah saya, Bolano juga layan permainan komputer Age of Empires. Saya tidak hairan kalau dia juga main Red Alert dan Civilization. Bolano sendiri bukanlah pengarang yang fizikal walaupun dia boleh menulis babak aksi apabila perlu (terutama sekali bahagian kemuncak dalam novel The Savage Detectives). Hidup ini ialah suatu permainan tanpa garisan akhir. Maka tugas pengarang ialah menggariskan sempadan dan memberikan bentuk kepada permainan tersebut. 

Walaupun ia bermakna seorang pengarang hanya melihat kehidupan dan sejarah dari jarak yang jauh dan terpisah. 

Semenjak beberapa bulan ini, saya banyak terdedah kepada teks dan dokumen sejarah. Saya membaca kajian-kajian akademik yang mungkin saya sendiri tidak akan sentuh, kalau bukan kerana tuntutan kerja. Tanpa saya sedar, atau inginkan, sejarah mula meresap masuk ke dalam tulisan saya. Minat utama saya ialah sejarah Tanah Melayu pada abad kesembilan belas, terutama sekali sejarah di negeri-negeri selat seperti Melaka dan Singapura. Kajian saya mengenai kehidupan Munshi Abdullah membawa saya kepada sejarah percetakan dan peranan tukang penyalin manuskrip yang dilupakan sama sekali sumbangan mereka. Saya fikir seorang novelis boleh mengkaji sejarah tanpa perlu ada keinginan untuk menulis sebuah novel sejarah. Sejarah bukan sekadar pertumpahan darah di dalam istana, atau pertempuran sengit di medan perang. Sejarah juga melibatkan kisah golongan hamba, lukisan di atas selembar peta, laporan cuaca, senarai barang dagangan di sebuah pelabuhan, jadual perjalanan kereta api, poskad, surat cinta, lukisan, syair, dan nasib binatang-binatang di rimba. 

Saya fikir belum ada sesiapa membuat kajian mengenai kehadiran binatang dalam teks Hikayat Abdullah. Saya bukanlah nak kata Munshi Abdullah seorang aktivis bumi hijau. Tetapi beliau mempunyai mata yang simpati terhadap binatang. Cuba kita lihat babak ini dalam bab berjudul 'Darihal Tuan Raffles:'

"Syahdan maka adalah pada tiap2 hari dibawa orang berjenis2 binatang dan hulat yang belum pernah kulihat, se'umur pun baharulah kulihat. Dan lagi pula, datanglah hadiah daripada Raja Sambas, dua ekor mawas yang dinamai oleh orang putih 'orang hutang' dan datang anak anak harimau dan beruang dan berjenis2 binatang daripada segenap negeri. Maka diberilah oleh Tuan Raffles memakai seluar dan baju dan cepiau, rupanya seperti seorang kanak2 yaitu dilepaskan sahaja ia berjalan2. Maka adapun mawas itu kulihat tabi'atnya seperti akan2 manusia, maka bersalahan ia tiada tau berkata2 sahaja. Maka apabila ia hendak buang air, larilah ia ke tempatnya. Dan lagi, datanglah ia ke tempat aku menulis dekat2 meja itu dengan diamnya, tiada tau menakal seperti monyet kera yang lain. Maka diambilnya kalam perlahan2, dilihatnya, maka kataku: 'Letakkan lekas!" Maka dengan segeranya diletakkannya. Adapun binatang itu perutnya besar. Maka waktu2 ia duduk itu, mengeranglah ia seperti orang sakit. Maka aku bertanya: 'Apa sakit?' Maka dipegangnya perutnya. Maka adalah seolah2 ia mengerti bahasa kita rasanya, tetapi mustahil adanya. Adapun yaitu sepasang, yaitu seekor jantan seekor betina. Maka adalah empat lima bulan lamanya di Melaka, maka pada suatu malam matilah yang betina itu. Maka kulihat daripada ketika itu jantannya itu pun kelakuannya seperti orang dukacita adanya. Maka ada enam tujuh hari demikian itu jantannya itu pun matilah. Maka insaflah hatiku sebab melihatkan hal demikian itu. Sedangkan binatang lagi sekian ia berkasih2han laki bini, istimewa pula kita ini manusia ini. Bahwa mengambil 'ibaratlah daripada binatang itu." 

Kalau kita lihat dalam mana-mana peribahasa atau pantun Melayu, binatang bukanlah objek yang mandiri. Binatang sentiasa menjadi cerminan pengajaran atau kayu ukuran yang membezakan manusia berbudi dengan manusia tidak berbudi. Ambil contoh, perkataan "monyet," dan senaraikan peribahasa berkaitan dengannya:

  • Berjual pisang kepada monyet = Berjual dengan memberi hutang
  • Jangan memberi bunga kepada monyet = Memberi sesuatu yang baik hendaklah pada tempatnya
  • Pantas tangan seperti beruk = Kecekapan mencuri barang orang
  • Kera kena belacan = Sangat gelisah 


Di sini kita dapat melihat sifat seekor monyet/kera hanya lanjutan daripada pemikiran seorang subjek yang melihatnya. Ia seolah-olah keberadaan seekor monyet terikat dengan makna yang diberikan oleh manusia. 

Di Johor, ketika pemerintahan Maharaja Abu Bakar, Frank Swettenham melihat bagaimana sebuah temasya diadakan untuk orang ramai di mana seekor harimau dan seekor kerbau dilepaskan ke dalam gelanggang. Pasti ramai orang sangka harimau itu akan menerkam mangsanya. Tetapi sebaliknya ia berlari sekeliling gelanggang, hendak melepaskan diri. Gerakan harimau itu ditafsirkan oleh kerbau sebagai ancaman, maka ia pun berlari menghunus tanduknya lalu menikam tubuh harimau itu sebelum mencampaknya ke udara, dan kemudian menanduk tubuh harimau ke tanah. Memang lunyai. Swettenham membuat tafsiran sendiri kejadian berdarah yang berlaku di depan matanya:

"I ascribe that rather astonishing result to the fact that the tiger's home was in the jungle, far from men and their haunts, whereas the buffalo was a tame beast accustomed to human beings. Therefore, when stripes found himself in a pen, surrounded by moving and shouting people, he disregarded the buffalo and sought only to get away. The buffalo, being at home and at his ease, recognized in the tiger a dangerous enemy, and proceeded to deal with him." 

Comments

Popular Posts