Buku yang Datang Tanpa Diundang
Membeli sebuah buku ialah seperti menerima seorang tetamu ke dalam rumah. Masalahnya tetamu ini tidak akan beredar selepas menikmati makan malam dan pencuci mulut; dia akan berlegar; dia akan berbual; dia akan terus menginap di dalam rumah kita. Saya fikir setiap buku akan diberi layanan berbeza: dulu Henry James saya akan biarkan dia duduk seorang diri di sofa, saya sediakan teh dan biskut, saya menunggu dia membuka mulut, tetapi sebenarnya apabila dia mula bercakap, saya akan terus terlelap. Sekarang James saya suruh duduk di bilik belakang. Biar orang lain yang lebih seronok dan bertenaga bermain di ruang tamu.
Tetapi saya perasan ada juga buku yang datang ke dalam hidup saya tanpa diundang. Saya menemui mereka ketika menghadiri acara, atau berjalan ke stesen LRT, atau sedang minum kopi di sebuah kafe, atau pergi membeli barang dapur di pasar raya. Senario terakhir itu berlaku dengan buku Jealousy oleh Alain Robbe-Grillet terbitan Oneworld Classic. Saya nampak ia dijual secara lambak berhampiran pusat hiburan kanak-kanak. Harga: RM10. Kertasnya sudah kuning dan kasar. Saya pernah baca novel ini, tetapi prakata oleh Tom McCarthy menggoda saya untuk membelinya.
Antara penyesalan terbesar saya ialah tidak membeli buku Latiff Mohidin Sungai Mekong ketika seorang pak cik menjualnya di bawah tiang stesen LRT. Tidak tahulah dia curi atau kutip buku itu di dalam tong sampah rumah orang kaya di Bukit Tunku. Tetapi saya fikir mana-mana buku Latiff harus beredar di jalanan, bukannya dipamer di dalam kotak kaca sebuah toko besar. Patut ada tangan seekor harimau mencakar muka kita sebaik sahaja sebuah buku Latiff diselak dari halaman ke halaman.
Buku yang saya beli daripada pak cik itu ialah kritikan psikologi Hashim Awang dan koleksi makalah mengenai Shahnon Ahmad. Apa boleh buat, masa itu kegilaan saya pada kritikan tidak mengenal batas. Saya belum kenal puisi dalam erti kata sebenar. Saya terlalu sibuk berangan nak jadi seorang Mohd. Affandi Hassan yang akan ludah pada mana-mana karya Malaysia yang tidak mencapai tahap estetika agung. Sekarang buku Hashim Awang itu entah tersorok di dalam sarang tikus mana.
Fiksyen ialah rumah dengan beribu jendela. Lebih kurang begitulah tema buku Gerald Murnane yang isteri saya beli tahun lepas di Australia. Saya belum habis membacanya. Tahun lepas Murnane selalu datang berdiri di luar tingkap dan saya akan keluar berbual dengannya di depan rumah. Sekarang kalau dia datang, mungkin saya akan tutup semua langsir. Hidup saya semakin sibuk untuk menerima tetamu yang tidak diundang.
Comments