Novel Terbaik 2018
Nampaknya saya terlambat lagi untuk mengemukakan bacaan novel terbaik saya dalam satu tahun. Kalau ikutnya, saya boleh sahaja abaikan senarai ini. Tidak ada sesiapa pernah memaksa saya. Senarai bacaan novel bukannya laporan belanjawawan di Dewan Rakyat. Ia tidak akan mengubah ekonomi negara. Melainkan memberi kepuasan, dan peringatan, kepada diri saya, ke mana saya telah pergi, apa saya telah temui, dan ke mana pula saya ingin menjelajah pada tahun ini.
Saya kira, pada zaman sekarang, membaca novel bukanlah suatu keperluan. Jangan kata pembaca, golongan seniman pun belum tentu minat membaca novel. Ketika memandu Grab tahun lepas, Noh Salleh masuk ke dalam kereta saya di pintu ketibaan KLIA2. Terkejut? Memang! Bukan setiap hari dapat kutip seorang penyanyi. Dalam perjalanan menuju ke Ampang, kami sempat berbual sekejap. Rupa-rupanya vokalis kumpulan Hujan ini tidak minat membaca novel. Malah lirik lagu "Di Kala Bulan Bermain Biola" bukan dia yang tulis. Ini mengingatkan saya kepada pengarang Amerika, Wendel Berry, yang pernah menulis esei tentang keengganan untuk membeli sebuah komputer. Daripada membayar pihak yang "merogol" alam sekitar, Berry lebih rela menggunakan pen dan kertas. Eseinya disiarkan dalam majalah Harper dan Berry menerima surat kutukan daripada beberapa orang pembaca. Saya bukan nak menyamakan semangat alam sekitar Berry dengan penolakan novel oleh Noh. Cuma nak tunjuk bahawa lebih mudah untuk katakan tidak tidak pada teknologi yang sudah dianggap kuno (buku), berbanding pada teknologi yang masih dianggap penting dan bermakna (komputer).
10. The Flemish House oleh Georges Simenon
Sebahagian daripada novel dalam senarai saya ini sangat kuat pembangunan latarnya. Gerald Murnane pernah kata, semasa dia membaca novel Thomas Hardy, dia akan terfikir apa yang menanti di sebalik bukit atau lembah yang si novelis telah lukiskan? Tidak ada dunia yang boleh dilukis dengan lengkap oleh seorang pengarang. Pasti ada ruang kosong yang akan ditinggalkan juga untuk pembaca. Novel Georges Simenon masuk ke senarai ini bukan sebab misterinya (dari segi itu, ia agak membosankan), tetapi cara pengarang menggunakan latar rumah, bar, dan pelabuhan untuk membangunkan cerita. Ini juga dibantu oleh bahasa maskulin Simenon dan sikap Inspektor Maigret yang gemar berjalan, memerhati, sambil mengendap perbualan orang. Barangkali setiap tahun saya akan baca satu novel Simenon. Entah bilalah akan selesai membaca semua kes penyiasatan Maigret!
9. Zeroville oleh Steve Erickson
Di permulaan novel The Art of Flight, narator Sergio Pitol kehilangan kaca mata ketika berada di Venice. Namun ini tidak menghalangnya daripada keluar berjalan: "I walked among shadows. I could and could not see, I caught fragments of a shifting reality; the feeling of being trapped between light and dark grew increasingly more pronounced as a fine, trembling drizzle gradually created the chiaroscuro in which I was moving."
Kali pertama narator Pitol berjalan di Venice ialah sama seperti kali pertama kita membaca sebuah novel. Mata kita kabur. Dunianya belum jelas. Dari halaman ke halaman, kita meraba-raba mencari sumber cahaya dan warna. Tempat itu tidak semestinya tempat yang terlalu asing. Novel Aci Patmabi, misalnta, menggunakan latar Pulau Pinang yang saya sudah sangat biasa berjalan. Tetapi Azmi Merican masih mampu menimbulkan rasa keterasingan melalui pengalaman subjektif watak-wataknya. Barangkali ini yang Freud maksudkan dengan uncanny. Keanehan atau keterasingan apabila berada dalam situasi yang misteri.
Novel Steve Erickson Zeroville menggunakan unsur uncanny ini dengan sangat berkesan melalui pembahagian bab yang pendek-pendek belaka. Kita mengikuti petualangan seorang pecandu filem bernama Vikar di Hollywood. Kepalanya botak, pada satu bahagian terdapat tatu Elizabeth Taylor, dan pada bahagian satu lagi terdapat tatu Montgomery Clift. Novel ini memang untuk orang minat filem kerana Vikar sentiasa menonton filem di panggung. Setiap bab pendek novel ini mempunyai kesan berhantu seolah-olah ia adalah filem yang boleh berdiri sendiri. Separuh kedua Zeroville saya rasa agak meleret naratifnya, terutama sekali apabila Vikar tidak berada di Hollywood. Erickson sudah tentu tidak akan membiarkan protagonisnya merewang tanpa hala-tuju. Tetapi perasaan merewang, dan keluar masuk panggung wayang, semasa separuh pertama novel, ialah pengalaman yang paling berbekas di ingatan saya.
8. A Terrace in Rome oleh Pascal Quignard
Tentang novel erotik yang nipis ini, dan daripada penerbit kegemaran saya Wakefield Press, apa saya boleh kata? Kita tahu ia berlaku pada abad ketujuh belas mengenai obsesi seorang pemuda terhadap wanita yang dicintainya. Novel ini terbit pada tahun 2000, tetapi tekstur tulisan Quignard terasa seperti dikorek keluar dari dalam tanah. Terdapat 47 bab, dan seperti Zeroville, naratifnya bergerak cepat. Warna latar hampir tidak wujud. Segala-galanya hadir secara hitam dan putih. Kalau kita renung dengan agak lama, kita dapat menangkap bayang-bayang seorang lelaki yang cacat separuh mukanya.
7. Far Tortuga oleh Peter Matthiessen
"Melukis," menurut John Berger, "ialah rekod autobiografi tentang penemuan suatu peristiwa - dilihat, diingati, atau dibayangkan. Karya lengkap ialah percubaan untuk membangunkan peristiwa itu sendiri." Peristiwa dalam novel Peter Matthiessen Far Tortuga sangat mudah: sekumpulan kelasi pergi ke laut untuk menangkap penyu. Dari segi itu, ia mirip dengan novel Hemingway dan Melville. Tetapi perbezaan paling ketara Matthiessen dengan mereka ialah keberanian untuk bermain dengan ruang putih. Kadang-kadang Matthiessen akan membiarkan satu perkataan terapung sendiri di tengah halaman. Makna tenggelam. Kata-kata meninggalkan cengkerang. Hanya untuk dibasuh oleh lautan putih yang kosong. Far Tortuga ialah novel makan angin saya untuk 2018. Kalaulah saya boleh bacanya di tepi pantai atau di atas sebuah kapal. Asyik!
6. The Warren oleh Brian Evenson
Kalau Samuel Beckett boleh menulis sebuah novel fiksyen sains, barangkali dia akan menulis The Warren. Latar: dunia pasca-kiamat yan gersang. Watak: seorang manusia dan seorang android yang percaya dirinya ialah manusia. Babak: perbualan dan monolog dalam sebuah kamar bawah tanah. Belum cukup Beckett lagi? Cuba fikir ini: kalau manusia boleh mencipta watak kembar kepada dirinya, adakah watak itu juga seorang manusia? Brian Evenson membangkitkan persoalan ini melalui watak X yang menyimpan pelbagai memori dan personaliti dalam dirinya. Semua personaliti ini tunduk kepada seorang Aku, tetapi Aku yang berfikir ini tidak tahu Aku itu sendiri apa sebenarnya. The Warren mempunyai potensi untuk menjadi sebuah novel falsafah yang bergetah-getah urat pemikirannya. Sayang sekali, Evenson menghabiskan ceritanya dengan agak cepat sebelum kita sempat meneroka keberadaan personaliti kita dengan lebih mendalam.
5. The Art of Flight oleh Sergio Pitol
"Penulisan diperkaya oleh pembacaan," tulis Sergio Pitol. Dan novelnya, The Art of Flight, memang padat dan penuh dengan pengalaman pembacaan. Buku ini bukan sekadar himpunan kisah pengembaraan seorang pengarang di Eropah dan Mexico, ia juga mengisahkan pengembaraan seorang pembaca ke dalam sastera. Pendekatan yang dipilih oleh Pitol ialah pendekatan seorang pengarang esei. Bab-babnya juga diberi tajuk seolah kita sedang membuka sebuah kumpulan esei: "Siena Revisited," "Diary from Escudillers," "An Ars Poetica?" "Our Contemporary Chekhov," "Two Weeks with Thomas Mann." Pitol ialah orang yang kuat mengembara, dia pernah bertukar-tukar kerja semasa di Eropah. Akhirnya pengalaman ini bersilang dengan pembacaan dan penulisan. "Kembara ialah pengalaman dunia nyata," tulis Pitol, "tetapi membaca membawa saya ke dalam diri di mana jadualnya tidak membataskan saya kepada ruang, ia sebaliknya membebaskan saya untuk bergerak merentas waktu."
4. The End oleh Karl Ove Knausgaard
Dengan terbitnya terjemahan Inggeris keenam My Struggle, kita tidak dapat menafikan lagi kedudukanya sebagai salah satu novel terpenting di abad ini. Ia akan terus dibaca dan dibincangkan, seperti mana kita masih membaca Proust dan Cervantes. Justeru kenapa saya tidak meletakkan novel ini di kedudukan lebih atas? Pertama, sebab saya sudah lelah membaca Knausgaard selama lima tahun berturut-turut. Tidak ada lagi kejutan dari segi gaya bahasa atau pembangunan naratif kerana Knausgaard tidak pernah peduli tentang semua benda itu. Yang terus memikat dan menguatkan semangat saya membaca ialah kesungguhan Knausgaard untuk memerah kehidupannya ke dalam setiap buku.
The End boleh dikatakan buku paling berat dalam siri ini kerana Knausgaard secara sedar memandang penulisan dan sastera dengan serius. Keseluruhan bahagian awal menceritakan kebimbangan Knausgaard menghadapi serangan pak ciknya yang ingin menghalang buku pertama My Struggle daripada diterbitkan. The End adalah buku terakhir anda patut baca jika anda bercadang untuk mengenali penulisan Knausgaard. Tetapi ia adalah pengalaman sekali seumur hidup yang patut dilalui oleh mana-mana pencinta novel.
3. Aci Patmabi oleh Azmi Iskandar Merican
Aci Patmabi ialah novel terakhir saya baca pada 2018. Azrin Fauzi yang sungguh-sungguh menjual novel ini kepada saya, katanya ada babak orang boria bergaduh. Dan memang ada, tetapi kehebatan novel ini lebih daripada itu. Ia bukan sahaja novel terbaik tentang Pulau Pinang selepas Perangkap Hitam, ia juga salah satu novel Malaysia terpenting pada abad ini. Dari segi struktur, gaya bahasa, dan penyusunan naratif, Aci Patmabi tidak menawarkan apa-apa pembaharuan. Malah ia membawa semangat novel realisme sosial dari era kegemilangan Asas 50. Tetapi dari segi penceritaan, Azmi Iskandar Merican membuktikan dia adalah seorang novelis yang tulen. Aci Patmabi, Pakwan, Biyo, dan Naina Jambu ialah watak-watak yang hidup apabila mereka bergerak dan bercakap. Dan Azmi Merican berjaya meletakkan mereka dalam latar Pulau Pinang pada abad kesembilan belas. Ini ialah Pulau Pinang yang kita tidak pernah tahu, dan mungkin tidak akan pernah jumpa dalam mana-mana buku lain.
2. Balcony in the Forest oleh Julien Gracq
Novel perang, seperti novel sejarah, ialah sub-genre yang tersendiri. Boleh buat satu buku untuk mengkaji novel War & Peace. Pengalaman saya membaca novel perang memang terbatas, walaupun saya obses dengan sejarah era kolonial atau sejarah Perang Dunia Kedua. Tetapi novel Julien Gracq Balcony in the Forest masuk ke senarai ini kerana ia adalah novel perang paling puitis saya pernah baca. Ia juga novel perang di mana peperangan tidak berlaku, kecuali hampir penghujung buku. Sebagian besar waktu kita dihabiskan bersama Leftenan Grange yang harus mempersiapkan kubu pertahanan di sempadan Belgium. Kalau tidak bersama orang-orang bawahannya, Grange akan keluar bersiar-siar di hutan. Perasaan membaca novel ini adalah seperti baru bangun dari tidur. Pandangan kita kabur, fikiran kita masih terperangkap di alam mimpi. Kalau boleh kita ingin membiarkan masa berlalu. Barangkali angan-angan itu juga yang dirasai oleh tentera Perancis apabila Perang Dunia Kedua meletus. Mereka masih sesat di hutan ketika jentera perang musuh sudah melanggar tembok rumah mereka.
1. Reservoir 13 oleh John McGregor
Di halaman awal Reservoir 13, John McGregor meletakkan puisi Wallace Stevens: "The River is moving./ The blackbird must be flying." Pergerakan waktu (sungai) dan pandangan alam yang berubah-ubah (burung). Dua kualiti yang jarang ditemui dalam sebuah novel; dua kualiti ini juga yang menjadi tiang utama kepada Reservoir 13. Ini ialah sebuah novel tanpa watak utama dan plot sebagai tulang belakang cerita. Ia bermula dengan kehilangan seorang gadis di sebuah kampung di England. McGregor menjadikan peristiwa ini sebagai titik tengah di mana watak-watak lain di kampung itu berjalan mengelilinginya. Perspektif kita berubah-ubah, sekejap kita bersama orang kampung di gereja, sekejap kita bersama anak-anak muda di tepi bukit, sekejap kita bersama musang yang sedang melahirkan anak. Setiap bab adalah tahun yang baru. Waktu bergerak cepat dalam dunia McGregor. Kita tidak sempat ingat nama semua orang di kampung itu. Lama-kelamaan kita pun lupa akan kehilangan si gadis.
Arus terus mengalir. Burung hitam berpindah dahan. Kita menutup satu novel dan bergerak ke novel yang seterusnya.
Comments