Shahnon Ahmad Tidak Suka Karya Hamzah & ASAS 50
Shahnon Ahmad |
Kalau kita membaca sebuah buku, patutkah kita mengenali pengarangnya? Jawapan saya, tidak. Lebih baik tidak. Jangan cari suaranya di Twitter, jangan suka mana-mana gambarnya di IG, jangan tegur kalau anda tersempaknya di kaunter tiket GSC. Pengarang tidak boleh dipercayai! Maaf, saya berlebihan pula. Sebagai manusia, ya, kita boleh tegur, kita boleh ajak minum, dan mungkin boleh datang rumah minta duit dan kuih raya. Tetapi apakah kemungkinan anda akan temui diri sebenar seorang pengarang? Barangkali tidak, apatah lagi kalau dia sangat berpengalaman menulis. Ingat Darth Sidious/ Palpatine dalam dunia Star Wars? Pada mulanya semua orang sangka dia hanya politikus yang pandai senyum dan berbudi bahasa. Tetapi di sebalik wajah tenang itu tersembunyi wajah merekah seorang mahaguru Sith. Kita sangka penulis adalah mahaguru Jedi yang mampu memukau fikiran kita dengan permainan kata-kata. Tetapi, in reality, mereka adalah Sith Lord. Kalau anda tidak percaya cakap saya, cubalah jadi ahli mana-mana persatuan penulis di negara ini.
Tadi saya kata jangan kejar seorang pengarang, jadi kenapa pula saya nak gali dan kongsi pendapat Shahnon Ahmad dari tahun 1965? Pertama, sebab Shahnon sudah meninggal dunia, dan saya tidak pernah mengenalinya secara peribadi. Fikiran saya hanya melihat Shahnon sebagai bayang-bayang pada dinding gua. Selepas ini kalau ada 100 buku biografi tentang Shahnon Ahmad, kita masih tidak dapat menghidupkannya kembali dari kubur. Yang tinggal hanya karya dan bayang-bayang kehidupan peribadi seorang pengarang. Pada malam 30 September, Shahnon Ahmad memberikan ceramah di Alor Setar untuk acara Malam Cerpenis Utara. Kita harus ingat, ini bukan Shahnon-SHIT atau Shahnon-Sastera-Islam. Waktu ini dia hanya dikenali sebagai Shahnon yang menulis novel Rentong. Selesai ceramah, penonton di situ mula bertanya kepada sasterawan muda kita. Peristiwa malam itu dilaporkan oleh wartawan Berita Harian bernama Y. Hussin yang saya akan kutip dan turunkan di bawah.
* * *
Seorang hadirin mengemukakan pertanyaan: "Apakah tanggapan saudara terhadap cerpen-cerpen Hamzah?"
Shahnon bangun lambat-lambat dengan senyuman lebar. "Hamzah hidup lama sebagai seorang cerpenis," kata Shahnon. "18 tahun lamanya. Tetapi hasilnya tidak setimpal dengan kelanjutan usianya dalam menulis."
Menurut Shahnon karya-karya Hamzah hambar, tidak ada kekuatan. "Ini mungkin kerana dia terlalu mementingkan motif dari segi-segi lain penulisan cerpen," kata Shahnon.
Novelis ini kemudiannya memberitahu bahawa Hamzah pantang dikritik karyanya.
"Apakah fikiran saudara tentang kecaman Hamzah terhadap saudara?" pertanyaan berlanjutan.
Shahnon tenang lagi. "Saya anggap sepi," katanya. Diterangkannya bahawa pendapat Hamzah tidak semestinya pendapat umum. Mungkin ada orang tidak menyetujui pendapatnya "Dan begitu juga dengan pendapat saya," kata Shahnon Ahmad. "Jadi apa nak dihiraukan sangat?"
Pertanyaan berpindah kepada: "Apakah tidak baiknya cerpen-cerpen Angkatan 50? Haruskah mereka dikecam habis-habisan sekarang?"
Shahnon Ahmad mengesat dahinya dua tiga kali. Dia tercegat beberapa detik sebelum menjawab: "Cerpen-cerpen pengarang Angkatan 50 bagus pada zamannya. Tetapi untuk waktu ini ketinggalan sedikit kerana mereka terlalu mementingkan tujuan.
Shahnon menjelaskan bahawa kerana kepentingan tujuan itu, maka watak-wataknya menjadi lemah. Bahasanya mendayu-dayu. "Walau bagaimana pun tidaklah harus kita angkatan ini bangun mempersalahkan mereka... Kita harus menghormati mereka sebagai peneroka cerpen-cerpen Melayu moden," katanya.
Masalah seks dalam sastera ditimbulkan oleh seorang peserta. "Mengapakah hasil-hasil karya yang tidak disisipkan dengan peristiwa seks tidak menarik minat pembaca," peserta itu bertanya.
Shahnon tersenyum. "Siapa kata?" dia bertanya.
Pada pendapat Shahnon unsur seks tidak perlu ada untuk menarik minat pembaca. Ada ciri-ciri lain yang boleh memikat. Dikemukakan karya-karya Nora sebagai contoh.
"Karya-karya Nora tidak ada seks, bahasanya agak kesat, tapi kerana kejayaannya mengolah dan menyusun plot dengan bahasa yang bersahaja, karya-karya itu menarik minat," kata Shahnon.
"Mereka yang menganggap seks sebagai daya penarik ialah orang-orang muda yang belum mengerti tentang seks," sambung penulis Debu Merah ini.
* * *
Adakah tahun-tahun kemudian Shahnon mengubah pendiriannya? Mungkin ya, mungkin tidak. Pengarang pun manusia. Keghairahan pada zaman muda barangkali terpadam apabila tangan dan mata makin termengah-mengah hendak mencapai ufuk senja. Namun saya percaya Shahnon Ahmad dari dulu lagi ialah novelis yang berani melawan, atau berani "melanggar," bak kata kritikus Mana Sikana. Selepas 1965, keberanian itu juga yang terus menolaknya ke depan untuk menghasilkan antara novel-novel terbaik di negara ini. Siapa kata pengarang dulu tidak liar dan angkuh melawan?
Comments