Novel yang Tercipta dari Usus Seorang Pengarang


Antara Shahnon Ahmad, A. Samad Said, dan Anwar Ridhwan, saya masih rasa Shahnon ialah novelis yang sebenar, malah novelis terbaik kita pernah ada. Kalau dari segi teknikal (dialog, susunan plot, perincian latar dll) Shahnon memang kelihatan amatur, seperti budak baru nak belajar pukul bulu tangkis dengan raket. Samad dan Anwar akan menang mudah dalam dua set permainan. Tetapi bagaimana dengan visi seorang novelis? Bagaimana dengan garapan waktu? Bagaimana dengan kekuatan gaya bahasa? Ketika pengarang lain pada zamannya hanya menggunakan novel sebagai alat untuk bercerita, Shahnon mencipta novel daripada peluh imaginasinya sendiri. 

Isteri saya pulang dari Jogja hari ini dengan beberapa buah buku puisi dan sebuah novel yang saya sangka ialah kumpulan puisi. Museum Masa Kecil oleh Avianti Armand; buku ini mempunyai konsep yang menarik, tentang memori masa kecil, tapi secara keseluruhan suara Avianti masih terlalu sayup, masih terlalu sepi untuk kita mengerti. Buku Latihan Tidur oleh Joko Pinurbo; bukan buku favorit Jokpin, tapi bacalah mana-mana sajak pun, kehadiran Jokpin sangat jelas, sesuatu yang saya tercari-cari setiap kali membaca Avianti. Cuaca Buruk Sebuah Buku Puisi oleh Ibe S. Palogai; belum mula membaca; minta Ainunl beli sebab judulnya. Lubang dari Separuh Langit oleh Afrizal Malna; sangat bahasa Afrizal dengan objek-objek Afrizal (bantal, tiang listrik, dll), tapi ia bukan sebuah novel, Afrizal terlalu asyik dan seronok bermain dengan simbol sehingga kita yang membacanya tersumbat tekak dan terbatuk-batuk keluar garpu, sabun, serigala, dan gaun pesta para malaikat. 

Namun kata-kata Afrizal di pengenalan novel itu sungguh gila dan mengesankan: "Novel untuk saya adalah dunia di mana manusia seperti memiliki kesempatan untuk masuk ke dalam ususnya dan meledakkan dengkulnya menjelang tidur."

Saya percaya Afrizal dari dulu lagi sudah berenang jauh ke dalam ususnya. Dia bukan setakat tidur di situ, dia membina istana dengan tujuh lapisan tembok memori. Kebanyakan pembaca Afrizal hanya berpeluang berdiri di seberang sungai, melihat dengan kagum bangunan aneh dan ajaib ini. Kalau  ada yang agak serius, mereka mungkin akan lepas sampai ke lapisan kedua dan ketiga. Selebihnya itu terlalu rumit sehingga ia menjadi penjara dan rumah buat Afrizal sendiri.   

Sebenarnya pengakuan Afrizal itu lebih persis dengan kerja seorang penyair. Namun apabila kita fikir tentang Shahnon atau Kafka atau Bernhard atau Knausgaard, kita boleh nampak bagaimana sesetengah novelis selesa berumah tangga di dalam usus. Mereka ingin mati dan bangkit semula dalam sebuah novel. Kita bukalah mana-mana buku Shahnon, kita akan menemui seorang Shahnon Ahmad di situ. Tetapi apa yang berlaku kepada novel Malaysia selepas Shahnon sudah tidak ada? Cuba anda selak baju, letak tangan pada perut. Ada dengar tak suara sesiapa berdengkur dengan nyenyak? 

Comments

Popular Posts