Masih Membaca Autofiksyen


Sergio Pitol

Saya memilih buku mengikut naluri, selain mempertimbangkan nama pengarang, judul, dan rekaan sampul depan. Entah kenapa kebelakangan ini saya banyak memilih buku autofiksyen iaitu tulisan yang meminjam secara langsung daripada kehidupan seorang pengarang.  Lebih kurang empat bulan lepas saya kembali membaca Gerald Murnane yang saya tinggalkan selepas membaca novelnya Inland. Saya sedar ketika membaca prosa pendeknya hubungan rapat antara fiksyen Murnane dengan kehidupan peribadinya. Kita tahu Murnane tidak pernah mengembara luar dari Australia, dia minat perlumbaan kuda, dan dia jarang sekali menonton wayang. Fakta-fakta ini akan muncul semula dalam tulisan prosanya. Adakah tulisan Murnane sebuah autobiografi? Mungkin ya, mungkin tidak. Murnane bukan seorang Karl Ove Knausgaard yang ingin menenggelamkan kita dalam realiti kehidupan harian. Murnane tidak mencipta ruang supaya imaginasi pembacanya boleh merewang ke mana-mana (malah dia memang tidak gemar fiksyen yang mencipta imej semata-mata seolah kita sedang menonton filem). Murnane ingin mengkaji hubungan antara ruang, atau hubungan antara imej, seperti mana ia terbentuk dalam ruang minda seorang penulis. 

Saya fikir pendekatan Murnane sangat berbeza dengan pendekatan Sergio Pitol. Saya baru mula membaca The Art of Flight dan hati saya rasa bebas seolah ada kapal terbang baru meninggalkan landasan setelah begitu lama terperangkap dalam hujan. Hanya seorang pencinta sastera dunia akan menulis buku begini. Tulisan Pitol mengingatkan saya kepada pengalaman kali pertama membaca novel Enrique Vila-Matas (mereka pernah bersahabat ketika Pitol masih hidup, barangkali ibarat hubungan guru dan anak murid). Seperti Murnane, kita menemui unsur autobiografi dalam tulisan Pitol, terutama hal-hal berkaitan pengembaraan luar negara serta rakan-rakan penulis yang ditemui. Tetapi Pitol tidak membataskan dirinya pada ruang minda penulis. Dia langsung melihat dunia dan menurutnya dalam "semua benda terdapat semua benda." Saya kongsikan bahagian kecil daripada bukunya The Art of Flight:

"We, I would venture to guests, are the books we have read, the paintings we have seen, the music we have heard and forgotten, the streets we have walked. We are our childhood, our family, some frieds, a few loves, more than a few disappointments. A sum reduced by infinite subtractions. We are shaped by different times, hobbies, and creeds."  

Saya masih bersependapat dengan Borges bahawa "semua tulisan adalah autobiografi." Ia bukan soal karya itu jujur atau benar. Yang penting ialah sejauh mana ia merapatkan jarak antara bahasa dan kehidupan. Antara mata yang melihat dan minda yang membaca maksudnya. 

    

Comments

Mieza S said…
sy rasa banyak buku bahasa inggeris yang seronok dibaca. tapi sayang, sy tak faham bahasa inggeris. ruginya

Popular Posts