Kesumat: Perbualan Bersama Johan Radzi
Malaysia menerbitkan beratus buah cerpen setiap tahun dan kebanyakkannya akan hilang apabila tidak dibukukan, malah kalau menjadi buku pun, masih belum ada jaminan ia akan dibeli apatah lagi dibaca. Cerpen ialah genre paling kerap ditulis, namun ia genre paling kurang dibaca (selain drama pentas). Nak baca satu sajak, ya, sekali nafas boleh selesai; novel memang panjang, tetapi pembaca sudah menanti kepuasan pembacaan apabila sampai ke halaman terakhir. Cerpen? Nak kata bahasanya puitis seperti puisi, tidak; nak kata ceritanya memuaskan seperti novel, pun tidak. Padahal cerpen boleh memberikan kedua-dua pengalaman itu secara serentak di tangan penulis yang betul.
Kali ini saya sengaja nak menjemput cerpenis berkongsi pengalaman mereka kerana kita jarang membaca proses kreatif sebuah cerpen. Kebetulan penulis baru kita yang berbakat memang rata-ratanya cerpenis, dan Johan Radzi merupakan salah seorang daripada mereka. Dia baru sahaja menerbitkan kumpulan cerpen berjudul Tinju & Peluru daripada Roman Buku. Saya akan turunkan terlebih dahulu petikkan daripada cerpen Johan berjudul "Kesumat."
* * *
Sidek berkhayal lagi. Matanya terkatup. Dia mengenang semula luka dan derita yang terpaksa ditanggung semenjak tujuh tahun lepas. Dari kehilangan dan kematian, sengsara menggilirnya seperti tiada belas kasihan. Tikaman yang mengguris sukmanya tidak pernah pulih. Ia kekal sebagai parut, sebagai satu peringatan jelas bahawa kejadian-kejadian yang menimpa akan menghukum jiwa selama mana dia bernafas atas bumi ini.
Dia melihat jam - dua suku pagi - dan Datuk Yazid masih berdegil. Masa sedang berlalu. Dia tahu dia tidak boleh tunggu terlalu lama di kawasan perumahan golongan bangsawan itu sendiri adalah satu kejanggalan. Sepuluh minit sebelum ini pun dia mengesan mata-mata tidak enak memandang, seperti sedang memberitahu, "Orang miskin dilarang wujud di kawasan ini."
Ah, musibat!
Sidek melangkah dari keretanya dan memijak rokok yang berbaki. Lawi ayamnya disarung di sisi pinggang. Tekadnya membulat. Dia sudah menanti lama, tujuh tahun lamanya. Dia tidak sanggup menanti lima atau sepuluh minit lagi. Nak atau tidak, dia harus bertindak sekarang.
* * *
AZRIQ: Selalunya apabila diminta memberi penjelasan kepada karya, ada penulis akan bersembunyi di bawah tapak kasut Roland Barthes. Pengarang sudah mati kononnya. Tetapi selepas dipijak mati pun, aku percaya ada sisa memori, idea, dan roh yang ditinggalkan si penulis dalam karyanya. Agaknya apa pembaca akan temui apabila mereka membaca "Kesumat"?
JOHAN: "Kesumat" ialah cerpen pertama yang aku hasilkan. Aku menulisnya sebab nak menang sayembara anjuran Roman Buku dan dapatkan wang untuk melancong ke Bali. Aku mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan cerpen ini dan aku tahu ia akan masuk senarai pendek. Dalam "Kesumat" aku banyak cuba bereksperimen dengan kaedah-kaedah aku kutip daripada buku dan filem. Aku cuba menulis secara bukan linear dan memasukkan kerangka budaya Malaysia tahun 80an. Mungkin memang itu tujuannya pun di mana aku nak mencari suara Malaysia dan sampaikan ia dalam bentuk cerita. Waktu itu aku masih terpesona dengan filem "Bunohan" maka senjata utamanya ialah lawi ayam. Orang yang membaca "Kesumat" akan menemui Johan Radzi yang masih muda, masih nak bereksperimen, dan tekad untuk bercerita kepada pembaca. Aku tidak rasa ini cerpen terbaik aku, tetapi ia antara paling lega aku menulis dan barangkali aku tidak dapat menulis dengan mood seperti ini lagi.
A: "Lawi ayam yang diasah sejak pagi tadi berkilat memantulkan lampu jalan." Ini antara ayat menarik kau lukiskan lawi ayam. Apa kepentingannya pada cerpen kau?
J: Aku tertarik dengan lawi ayam kerana ia senjata yang kecil tetapi penuh berbisa. Saiz kecilnya menjadikan ia mudah disembunyikan. Banyak samseng di Malaysia, Thailand, Borneo, dan Indonesia yang memakai senjata ini dalam operasi mereka. Lawi ayam melambangkan dendam Sidek. Cahaya yang terpantul pada bilahnya adalah keghairahan dendam. Sewaktu Sidek gagal mengelar musuhnya malam itu, senjata itu dibiarkan di meja. Itu tanda dia tidak mahu dikuasai oleh dendamnya lagi.
A: Boleh kata majoriti penulis Malaysia datang daripada golongan kelas menengah. Tidak banyak cerita ditulis dari dunia kelas bawahan atau atasan. Dendam Sidek aku kira dendam orang kampung terhadap orang politik yang korup. Adakah kau rasa ini satu tanggungjawab sebagai penulis atau kau sebenarnya bersimpati dengan mereka yang tertindas?
J: Barangkali intipati kepengarangan di Malaysia pun sangat menengah sifatnya. Golongan bawahan jarang menulis kerana sibuk dengan kepayahan hidup, sementara golongan atasan jarang menulis kerana sibuk dengan kemewahan mereka. Barangkali mereka jarang luangkan masa untuk hal-hal renungan dan kontemplatif yang biasanya dilakukan oleh kelas menengah kerana mereka punya masa lenggang. Tetapi aku tertarik jika suatu masa nanti golongan imigran juga menulis karya Malaysia. Semasa aku menulis "Kesumat" aku menyangkutkan idealisme yang tinggi kepada sastera. Aku nak mempersembahkan medan pertarungan kelas dengan kesan yang mendalam terhadap individu-individu yang terlibat, terutama sekali anak yang belum dewasa. Aku pernah dibesarkan di desa dan aku melihat bagaimana kawan-kawan aku terlibat dengan gejala sosial. Jadi ini sedikit sebanyak berkaitan dengan tugas seorang pengarang - atau tugas aku secara khusus - untuk menyampaikan suara mereka yang terbungkam. Tetapi kita tidak perlu rigid sangat. Sensitiviti pengarang berfungsi dengan cara masing-masing.
A: Kalau Hemingway baca cerpen ini agaknya apa dia akan kata?
J: Mungkin orang tua itu akan mengamuk kerana tidak ada perempuan Sepanyol atau Itali yang seksi. Atau rum atau bir atau wain paling sedap Eropah pernah hidangkan.
A: Kalau Faisal Tehrani macam mana? Akan kecewa tak kalau dia kata cerpen ini belum cukup ilmu atau kritikan sosialnya?
J: Barangkali aku tidak akan peduli pun kerana karya-karya yang terlalu sarat dengan kritikan sosial akan memendapkan cerita. Persuratan Baru selalu gagal dalam bercerita. Terlalu ghairah berkhutbah dan melaung dan berseru dan mengepal tinju ke udara.
A: Setakat ini ada penyesalan tak apabila menulis cerpen?
J: Belum lagi.
Comments