Percakapan Dalam Kamar Sapardi
1. Kebelakangan ini saya banyak berfikir tentang objek dan percakapan di antara objek. Kafka dalam perbulannya dengan Gustav Janouch menjelaskan perbezaan muzik dan puisi:
"Muzik mencipta kepuasan yang baru, halus, lebih rumit, dan sudah tentu lebih bahaya... Tapi puisi memperjelaskan kepuasan liar ini melalui penyucian dan secara intelektual sehingga ia lebih bersifat manusia. Muzik menggandakan kehidupan sensual; sementara puisi mendisplinkan dan mengangkat darjatnya."
2. Kafka dan Janouch juga banyak berjalan apabila mereka berbual. Berjalan mengisi ruang kerana ruang bukan sesuatu yang diberi, ia hanya boleh ditemui dalam suatu perjalanan. Kita mengenal sebuah kota bukan dengan melihatnya di atas peta GPS; kita mengenali sebuah kota dengan berjalan di dalamnya. Kita melihat sempadan kota itu berkembang dan horizonnya terbuka tanpa batas.
3. Tristan Garcia membezakan di antara benda dan objek. Benda boleh menjadi apa-apa sahaja, termasuk objek, tetapi benda juga adalah benda yang bukan objek atau ia adalah kedua-duanya secara serentak. Sementara objek sentiasa menyandar pada objek yang lain. Objek sentiasa menjadi percakapan di antara objek.
4. Ada air di dalam dinding rumah saya. Kalau saya cuba menyentuh suis bilik bacaan, elektrik akan mengigit jari saya seolah dinding ini bukan lagi wilayah peribadi saya. Dengan menjajah sebuah ruang, ia mengubah keberadaan ruang tersebut, yang secara tidak langsung mempengaruhi hubungan saya dengan ruang itu juga.
5. Apabila objek dalam puisi Sapardi bercakap, siapakah yang bercakap? Sapardi atau objek itu sendiri?
6. Sebilah pisau di atas meja ialah sebilah pisau tidak kira berapa kali kita melihatnya atau dari sudut mana kita melihatnya atau di meja mana kita meletakkannya.
7. "siapa berbisik di seberang kabut?"
8. Kalau saya membaca Sapardi sekarang, saya tidak boleh membacanya seolah ia adalah pengalaman kali pertama; pengalaman tanpa hujan, tanpa pisau, tanpa epal, tanpa beranda, tanpa jendela, tanpa sepatu, tanpa perahu kertas, tanpa bola lampu, tanpa akuarium, tanpa ulat, tanpa rama-rama, tanpa jam, tanpa topeng, tanpa bunga plastik, dan tanpa puntung rokok. Saya sudah mendengar percakapan di sebuah kamar bernama Sapardi.
9. Dalam kitab klasik Jepun bernama Otogi-zoshi diceritakan bagaimana perabot yang dibuang daripada sebuah rumah boleh marah lalu menjelmakan diri mereka menjadi raksasa demi membalas dendam.
10. Percakapan di antara objek Sapardi tentang seseorang di sebuah kamar ialah percakapan di luar bahasa seseorang itu yang ingin mendengar percakapan dalam percakapan fikirannya, namun hanya mampu mendengar percakapan tentang percakapan seseorang itu. Ketika seseorang itu masih duduk dan menyedut asap rokok, dia tidak merasa perbezaan di antara dirinya dengan objek-objek tersebut kerana dia masih dalam proses penggunaan. Kerusi masih kerusi; rokok masih rokok. Perlahan-lahan urat belakang akan lenguh dan rokok di tangan akan semakin pendek. Dia berhenti menjadi pengguna dan kekurangan objek mula bangkit daripada tidur. Kerusi bukan lagi sekadar kerusi; rokok bukan lagi sekadar rokok. Tetapi dia tidak boleh memperkatakan kekurangan dan keanehan ini walaupun dia tahu ia ada dan wujud sebagai sesuatu yang tidak boleh diperkatakan di samping masih mempunyai keupayaan tersendiri untuk diperkatakan oleh sesuatu kata-kata yang baru dan puitis.
11. Setiap rokok yang dinyalakan dalam sebuah karya sastera akan berpindah tangan dan diulang hisap dan dinyalakan semula tanpa henti (mungkin ia bermula di mulut Chairil Anwar, kemudian melompat ke mulut Charles Bukowski, sebelum kembali ke mulut paling jantan apabila menghisap rokok iaitu mulut Albert Camus).
12. Ketika isteri saya menggerudi dinding, semut berlari meninggalkan sarang. Bunyi menjajah dan bunyi menghalau ruang kesepian.
13. Seseorang dalam puisi Sapardi terpisah daripada objek Sapardi bukan kerana dia seseorang di kalangan seseorang. Dia terpisah kerana dia bukan objek seperti mereka. Dia hanya bayang.
14. Dalam dunia Sapardi, objek harian juga membutuhkan perhatian; ia juga ingin menjadi suatu objek renungan.
15. "Sebuah bola lampu ingin memejamkan dirinya. Ia merasa berada/ di tengah hutan. I bising mendengar hingar-bingar/ kawanan binatang buas itu. Ia tiba-tiba merasa asing/ dan tak diperhatikan."
16. Tetapi bukankah bola lampu ini berfikir bukan lagi seperti bola lampu? Bukankah ia sudah diajar kata "harimau," "gajah," "babi hutan," dan "kera"? Ia merasa asing di tengah kebisingan kerana ia tidak lagi mendengar dengan telinganya sendiri.
17. Bagi orang beragama yang mempercayai kewujudan roh, konsep materialisme sering dipandang negatif kerana dia takut membayangkan dirinya sebagai seseorang yang mencintai kebendaan. Dia tidak mahu menjadi jam yang dipakainya atau kereta mewah yang dipandunya setiap hari ke pejabat. Dia harus terpisah dengan setiap benda kerana dalam dirinya punya roh dengan darjat kejadian lebih tinggi. Tetapi pemisahan antara diri dan objek berlaku dalam diri orang itu sendiri melalui pemikiran konseptual. Ia bukan salah kilang, tuan tanah, pedagang, pemborong, agen pemasaran, atau media sosial. Dia yang mencipta sempadan antara fikirannya dengan alam kebendaan. Padahal jam adalah jam; kereta adalah kereta. Ia tidak perlu menjadi simbol kepada sesuatu.
18. Sekali lagi saya teringat perbualan Kafka bersama sahabatnya Janouch. Menurut Kafka, "Bagi saya muzik ialah seperti lautan... Ia membuat saya lemah, kagum, terpesona, malah takut, saya takut dengan keluasannya yang tidak berpenghujung. Saya memang tidak boleh menjadi kelasi."
19. Percakapan juga tidak berpenghujung, terutama sekali percakapan yang tersembunyi di antara dua percakapan dalam diam.
20."ia semakin mirip pembuatnya kerana sedang menahan kata-kata"

Comments