Novel Kedua: The Other Side

lukisan Alfred Kubin

lukisan Alfred Kubin



Sastera telah melahirkan banyak tempat imaginasi. Di saat ini tempat imaginasi paling terkenal barangkali adalah Westeros. Saya percaya peminat tegar Westeros akan merasa lebih intim dengan dunia tersebut berbanding dunia Middle-earth. Tolkien membahagikan secara jelas sempadan moraliti antara baik dan jahat; antara hero dan musuh; antara manusia dan raksasa; antara kebebasan dan tirani. Sementara dalam dunia George R. R. Martin sempadan ini sangat kabur, malah ia terbuka luas untuk diisi dan ditafsirkan oleh pembaca. Watak yang pada mulanya kelihatan jahat melalui tindakan dan perbualannya, boleh mendedahkan sisi kemanusiaan apabila kita memahami konteks dan sejarah silamnya.

Dua hari lepas saya mengadakan syarahan ringkas mengenai novel autobiografi Karl Ove Knausgaard. Antara persoalan saya bangkitkan dalam syarahan itu: apakah yang mendorong Knausgaard untuk menulis novel ini? Saya menyandarkan argumen saya pada pendapat Sigmund Frued mengenai gejala melankolia di mana seseorang itu mengalami kesedihan dan rasa benci pada diri sendiri. Penulisan menjadi semacam pengakuan ego seorang pengarang dengan dunia. Ibarat seorang mangsa jenayah yang terpaksa bercakap di kandang saksi. Lalu pengarang itu akan ada kecenderungan untuk mendramakan situasinya sebagai mangsa. Bagi saya itu antara kelemahan fiksyen berbentuk autobiografi atau psikologi dalaman: ia membataskan pengalaman kita pada minda seorang manusia.

Maka ada waktunya, apabila saya membaca novel, saya ingin melihat kanvas yang lebih luas. Saya ingin melihat dunia dalam sebuah fiksyen. Ia tidak semestinya terlalu imaginatif dan fantasi seperti Westeros atau Arkham. Gerald Murnane, W. G. Sebald, Robert Walser, dan Teju Cole saya rasa antara pengarang fiksyen yang tahu bagaimana untuk membina hubungan antara alam dengan kanvas dalam sebuah teks. Mereka bukan sahaja membuka mata kita kepada bentuk dan ruang dalam sesuatu tempat, tetapi mereka juga membingkaikan persepsi dan pengalaman tersebut menjadi naratif dan aliran bahasa. Ini contoh pengarang realistik yang tahu bagaimana untuk menggunakan latar secara maksimum. Kemudian kita ada pengarang yang memetakan dunia dari alam mimpi. Dan antara semua pengarang jenis ini, Alfred Kubin yang paling terabai dan dilupakan sumbangannya.

Alfred Kubin merupakan pengarang Austria dari abad kedua puluh yang lebih dikenali melalui lukisan-lukisannya yang mengerikan. Kubin hanya menulis satu novel, judulnya The Other Side. Saya meletakkan novel ini sebagai salah satu teks penting dalam tradisi penulisan cerekawala kerana ia merupakan perintis kepada tulisan berbentuk metropolis yang kemudian dikembangkan oleh pengarang new weird seperti China Mieville dan Jeff VanderMeer.

Di sini Kubin memperkenalkan sebuah kota imaginasi bernama Perla yang merupakan ibu kota Kerajaan Mimpi di tengah negara China. Penduduknya lebih kurang dua puluh ribu orang. Perla sentiasa gelap dan suram kerana matahari dan bintang tidak pernah kelihatan di langitnya. Pengasas kota ini bernama Klaus Petra dan di peringkat awal novel, dia merupakan figura misteri yang sentiasa tersembunyi di dalam istananya. Kita menemui dan mengembara kota ini melalui sudut pandang watak seorang penghuni yang baru sampai ke kota itu. Secara umumnya Perla ada empat bahagian. Pertama, disebut kawasan The Train Station di mana terletaknya bangunan pentadbiran dan pejabat pos. Kedua, kawasan Garden City yang suram dan menjadi tempat tinggal golongan kaya. Seterusnya kita ada Long Street berhampiran sungai, tempat tinggal golongan kelas menengah dan kedai-kedai dibuka. Keempat disebut kawasan French di mana kita boleh bayangkan sebagai gubuk dan longkang kaum buruh pelbagai bangsa.

Sebagai novel yang lebih mengutamakan aspek pembangunan dunia berbanding pembangunan cerita, naratifnya bergerak secara episod. Kita yang pada mulanya berasa jijik dan asing dengan kota itu, akan perlahan-lahan menyesuaikan diri sehingga kita berfikir dan berkelakuan seperti penduduk Perla. Salah satu episod saya ingat daripada novel ini ialah sewaktu Perla dicerobohi oleh binatang liar. Ular masuk ke dalam paip dan kalau selak selimut katil akan jumpa ular di bawahnya. Amaran kepada pembaca yang belum pernah sampai ke Perla: kalau anda mengalami kemurungan atau baru kehilangan seorang tersayang, saya nasihatkan jangan melawat kota ini. Ia akan memerangkap anda dan anda akan jatuh ke dalam kegelapan yang tiada penghujung.
       

Comments

Popular Posts