Dua Minggu Di Melaka
Bukan tempoh yang singkat. Memilih untuk mengurungkan diri di dalam sebuah rumah semata-mata untuk menulis novel ialah seperti menutup pintu kepada suara-suara kehidupan yang datang berkunjung. Sebahagian daripada suara itu, secara tidak langsung, berkaitan juga dengan diri saya (masalah politik negara, naik turun harga petrol, kepulangan adik-beradik ke kampung); dan sebahagian lagi adalah suara-suara yang membutuhkan perhatian walaupun sekarang bukan waktunya untuk saya mendengar (kematian seorang penulis, serangan pengganas di Eropah, filem fiksyen sains terbaru di pawagam). Ada semacam ironi kepada kerja dan penyembunyian saya di rumah ini: saya menukangi kata-kata untuk mencipta dunia asing dan ganjil kepada pembaca, di samping itu saya membelakangkan diri kepada kehidupan sebenar.
Meja kerja saya terletak di ruang tamu. Saya berasa agak malu menyepahkan ruang ini dengan buku-buku dan kertas catatan saya kerana rumah itu memang sangat bersih dan lapang. Ia seolah-olah saya sedang menceroboh masuk ke ruang peribadi seseorang. Apabila Azrin Fauzi datang melawat saya di Melaka, dia tanya, adakah saya bekerja dalam persekitaran begini dan saya kata ya. Saya perlu melihat buku, saya perlu melihat kertas seperti seorang pelukis perlu melihat botol-botol warna di bawah kakinya. Tetapi Azrin kata dia tidak boleh menulis dalam persekitaran begitu. Dan saya faham maksudnya. Ada ketika persekitaran boleh mengganggu proses penulisan, justeru kenapa sesetengah pengarang seperti Auster dan Roth harus keluar dari rumah mereka. Tetapi masalah ini jarang berlaku kepada saya dan saya boleh menulis dalam apa-apa persekitaran. Jadi kita kembali semula ke Melaka. Meja kerja saya menghadap pintu masuk rumah, dan kawasan sekitarnya sedikit berbukit, maka pada siang hari saya boleh dengar dan nampak kenderaan naik turun tanpa henti. Suasana ini langsung tidak menghalang kerja saya kerana saya menulis untuk mencipta sebuah dunia asing daripada kehidupan sebenar, dan dunia itu sangat jelas dalam fikiran saya. Cabaran terbesar saya bukan untuk membayangkan dunia itu, tetapi menterjemahkan dunia itu ke dalam bahasa dan imej yang boleh digarap oleh pembaca.
Saya kira ini bertentangan dengan kaedah kerja seorang pengarang realistik seperti Karl Ove Knausgaard. Dalam kebanyakkan wawancaranya, dia selalu kata yang dia menulis mengikut gerak hati. Berfikir membina jarak dengan hidup, sementara emosi merapatkan jarak tersebut. Ya, kalau anda menulis sebuah novel setebal enam jilid, dan bergantung hampir seratus peratus pada memori, sudah tentu emosi adalah segala-galanya. Namun satu hal yang kebanyakkan orang salah faham apabila mereka membaca My Struggle ialah mereka sangka dengan membaca keenam-enam jilid ini, mereka menemui potret lengkap seorang lelaki Norway bernama Karl Ove Knausgaard. Saya percaya ia adalah di sebaliknya. Dengan menulis novel, Knausgaard tidak mencipta sebuah potret, tetapi dia menghapuskan atau menghilangkan potret itu sama sekali.
Dalam perbualannya dengan pengarang Kanada, Sheila Heti, Knausgaard memberi contoh tulisan Gustave Flaubert untuk membezakan antara penciptaan fiksyen dan kehidupan. Di satu bahagian kita ada Flaubert yang menulis novel Madame Bovary; di satu bahagian lagi kita ada Flaubert yang menulis surat. Bagi Knausgaard, suara Flaubert dalam surat-suratnya sangat kaya dengan kehidupan (malah ada waktunya agak melucahkan). Tetapi dalam Madame Bovary, ia bukan lagi sekadar suara kehidupan, tetapi penjernihan suara itu "menjadi kristal" yang lebih padat dan indah. Knausgaard mengakui dia pernah cuba menjadi pengarang yang mencipta kristal - pengarang yang mencipta fiksyen - tetapi fiksyen tidak cukup menampung suara kehidupan yang membanjiri fikirannya.
Ketika berada di Melaka, saya dengar ada seorang pengarang mapan kita telah dipanggil masuk ke makhamah untuk mempertahankan buku-bukunya yang diharamkan. Saya juga dengar pengarang mapan ini merungut apabila tidak ada penulis lain datang memberikan sokongan kepadanya. Selain itu, ketika berada di Melaka, saya menemui penulis dan penggiat seni lokal yang selesa dan berbahagia membangunkan komuniti mereka sendiri jauh daripada kesibukkan dan permainan politik di Kuala Lumpur. Jadi kita ada satu pihak yang ingin berada di tengah gelombang masyarakat, dan kita ada satu pihak yang ingin berada di luar lingkaran gelombang itu. Rasanya di lingkaran mana pun kita pijak, apabila kita membaca sastera, lingkaran itu akan terputus kerana sastera tidak mempunyai pusat graviti. Ia berada di mana-mana dan pada bila-bila masa kita memerlukannya.
Comments