Mendewakan Gergasi



John Banville dalam eseinya berjudul "Survivors of Joyce" mengatakan bahawa ada dua jenis seniman: pertama, seniman yang kita boleh pelajari sesuatu daripada karyanya (dia bagi contoh Beethoven dan Henry James), kedua seniman yang tertutup dan akan sentiasa kekal misteri karya mereka (dia bagi contoh Mozart dan James Joyce). Argumen Banville berakar daripada prinsipnya tentang kesenian:

"To repeat: great art, I am convinced, does not 'reveal' itself to us, does not open outward to our needs; on the contrary, it is great precisely because it is closed against us."

Tertutup bagi Banville bukanlah bermaksud karya itu tidak boleh ditafsir, tetapi baginya karya agung sentiasa melangkaui kebolehan kita untuk mentafsir apatah lagi memahaminya. Contoh utama Banville adalah novel Ulysses karangan James Joyce. Sepuluh tahun lalu (ketika saya masih seorang pengikut tegar Harold Bloom) mungkin pemikiran sebegini akan mengagumkan saya kerana ia mewujudkan mitos gergasi dalam dunia kesusasteraan. Mula-mula apabila ia turun ke tengah gelanggang kita akan terpana mendengar ia mengaum dengan gema suara yang barangkali sudah berusia beratus tahun. Kemudian sayap sisiknya dikembangkan dan taringnya memancar kilauan mentari. Mata kita menjadi buta dengan kegemilangan tubuhnya. 

Tetapi sampai bila kita sanggup duduk di bangku penonton kalau setiap kali gergasi sama sahaja yang dibebaskan daripada sangkar? Entah-entah anjing laut di dalam akuarium atau monyet di dalam kereta badut sama seronok dengan persembahan epik gergasi tadi. Orang lama seperti Banville, Harold Bloom, dan Maurice Blanchot apabila mereka bercakap tentang karya sastera, mereka menggambarkan seolah-olah ia adalah objek kaku yang tidak bernyawa. Ya, menatap gereja atau tugu memang ada waktunya mengagumkan, tetapi ia terhenti di situ. Kalau boleh saya tidak mahu melihat sahaja, saya nak jadikan tugu itu pedang laser atau perisai untuk melawan naga berkepala tujuh.

Saya nak seni menjadi suatu permainan.

Di esei lain berjudul "The Personae of Summer" Banville kata dia sering ketawa apabila dia terdengar novelis bercakap tentang watak yang mengambil alih tugas pengarang untuk menentukan takdirnya. Banville merasakan novelis sebegitu mengambil fiksyen terlalu serius seolah-olah watak adalah manusia sebenar. Tetapi bagi saya Banville juga melakukan dosa sama. Dia mengambil sastera terlalu serius dengan meletakkan novel James Joyce ke tingkat keramat. Ulysses memang sebuah novel yang kompleks tetapi ia masih sebuah novel yang menggunakan mekanisme-mekanisme tertentu dalam tradisi penulisan novel. Sudah tentu, ada mekanisme yang Joyce patuhi dan ada mekanisme yang Joyce langgar terus untuk mencipta pengalaman naratif yang berbeza kepada pembacanya. Cuba kita bandingkan novel Ulysses dengan novel Marcel Proust In Search of Lost Time. Kalau nak cakap tentang tertutup, novel Proust pun bukan mudah untuk difahami oleh kebanyakan orang, malah jarang ada orang membacanya secara lengkap. Tetapi daripada buku pertama lagi, iaitu Swan's Way, Proust sudah mengajar kita terlalu banyak tentang memori, cinta, usia, agama, kepura-puraan masyarakat, keindahan alam dan hal-hal kecil di sekeliling kita. Sebuah novel agung seperti ini, termasuklah Ulysses, tidak akan pernah selesai dibaca, bukan kerana ia tertutup atau tidak boleh difahami, tetapi kerana ia terlalu kaya dengan keindahan dan pengajaran hidup. 

Sebesar mana pun sebuah novel, akhirnnya ia masih sebuah permainan fiksyen dengan peraturan-peraturan tertentu. Hanya kerana kita tidak faham semua peraturannya, itu tidak bermaksud kita tidak boleh terhibur dan meraih sedikit sebanyak pengajaran ia boleh berikan. 
          

Comments

Popular Posts