Seperti Batu di Dasar Kali


Hidup adalah fragmen kerana emosi kita terlalu rapuh untuk mengikat waktu. Saya masih ingat pengalaman tahun lalu di Solo. Walaupun saya sekejap sahaja singgah kota itu, dan walaupun Solo berjiran dengan Yogyakarta, saya masih dapat rasa betapa sepi dan perlahannya waktu berputar. Tidak hairanlah kalau Solo boleh melahirkan seorang penyair bernama Kriapur (dan kenapa Afrizal, seorang penyair Jakarta, tidak mungkin lahir dari kota ini). Kriapur menulis tentang keinginannya untuk menjadi seperti "batu di dasar kali" ketika dunia di sekelilingnya sedang sibuk. Kalau Kriapur seorang penyair Amerika Latin, saya kira dia akan aman hidup bersama penduduk Montevideo. Menurut Andres Neuman dalam buku terbarunya berjudul How to Travel Without Seeing, Montevideo bukan sahaja kota yang peramah kepada tetamu, tetapi juga perlahan menanggapi waktu. Sikap ini boleh ditemui dalam tulisan pengarang Uruguay, Juan Carlos Onetti misalnya. Neuman menulis catatan kembaranya secara fragmen, serta ringkas, dan seperti kebanyakan pengarang Argentina, melihat dunia dengan sebelah kaki di negara sendiri, dan sebelah lagi melangkah jauh ke Eropah. Suara Neuman tidak terlalu kritikal di setiap negara Amerika Latin dia singgah, tetapi pada masa sama dia juga tidak terlalu humor dan sinikal seperti Bolano. Barangkali orang Argentina tidak pandai bergurau. Tulisan fragmen Neuman akan mengingatkan kita kepada novel Valeria Luiselli, Jenny Offill, dan EnriqueVila-Matas. Bahasa semakin ringkas dan padat. Sementara angka-angka waktu semakin gugur daripada ingatan.    


Comments

Popular Posts