Novel Ketiga: House of Leaves (Bahagian Pertama)
Saya mengambi masa lama untuk menyelesaikan senarai novel terbaik saya pada tahun lepas kerana tiga novel terakhir ini adalah antara novel paling mencabar saya pernah baca. Saya tidak mahu menggunakan perkataan "susah" kerana saya dapat tahu pengkritik Barat, seperti Scott Esposito, sudah mengecam penggunaannya sebagai klise dan terlalu umum apabila ingin melabelkan sebuah teks sastera. Betul juga. Selain terlalu umum, "susah" juga terlalu subjektif, kerana apa yang susah untuk pembaca A, mungkin kacang sahaja untuk pembaca B. Tetapi kita tahu memang ada karya yang majoriti pembaca akan melabelkan sebagai berat, terlalu eksperimental, terlalu tebal, terlalu mendalam, terlalu berlapis-lapis, dan ya, terlalu susah. Kita tahu karya-karya yang dimaksudkan: Infinite Jest, War and Peace, Ulysses, Don Quixote, Gravity Rainbow, 2666, Moby Dick dan sebagainya.
Reaksi paling tidak matang yang boleh diberikan oleh seorang pembaca (dan juga penulis) ialah kita patut menolak tulisan susah dan mencari tulisan yang lebih mudah dihadam. Kita patut membaca Hemingway, Harper Lee, Raymond Carver, Kawabata, atau Arundhati Roy kerana tulisan mereka jelas dan sampai terus kepada pembaca. Saya kira pembaca ini masih belum dapat membezakan antara transformasi pembacaan dan penghalusan pembacaan. Ada buku yang memang terbatas sempadan fiksyennya selain mempunyai struktur naratif yang mudah dan konvensional. Kita membaca Kawabata, misalnya, bukan untuk mengubah cara kita berfikir tentang sebuah novel, tetapi untuk memperhaluskan sensualiti dan pengalaman hidup yang sedia ada dalam diri kita. Kemudian kita ada buku yang lebih luas sempadan fiksyen, malah kadang-kadang buku ini mencapai apa yang disebut oleh David Winters sebagai infinite fiction. Buku jenis ini bukan ingin memaksa kita untuk memerah otak atau meneguk 100 Plus di setiap sepuluh halaman; ia sebaliknya ingin mencabar dan mengajak kita berjalan lebih jauh daripada sempadan pengalaman yang kita sudah biasa rasai. Buku jenis ini ingin terlebih dahulu mengubah kita sebagai pembaca, sebelum ia mengubah pengalaman dan tanggapan kita terhadap kehidupan.
Jadi kalau Infinite Jest dan 2666 sangat kaya dengan pengalaman baru, adakah semua orang patut membacanya? Sudah tentu tidak. Ini yang kebanyakan pembaca tidak faham: tidak ada sesiapa pun ingin memaksa anda untuk membaca sebuah novel yang berat. Malah lebih baik jangan mula membaca kalau anda belum bersedia. Ia sama seperti persediaan untuk pergi kembara. Tidak ada sesiapa ingin memaksa anda untuk pergi mengembara di Timur Tengah atau Amerika Latin. Lagipun buat apa kembara sejauh itu kalau anda masih membawa rumah di kampung bersama di atas bahu?
* * *
Baik, House of Leaves (HOL), karangan Mark Z. Danielewski. Berat, memang sangat berat, walaupun ceritanya hanya berlaku di dalam sebuah rumah. Sebelum ini saya membuat resensi terhadap novel rumah puaka Adam Nevill berjudul No One Gets Out Alive. Seperti novel itu, HOL ialah sebuah novel rumah puaka; bezanya HOL bukan sekadar rumah puaka; ia juga sebuah rumah memori, rumah bahasa, dan rumah fiksyen. Henry James pernah menyebut fiksyen ialah rumah dengan banyak jendela. Sekarang songsangkan imej tersebut. Bayangkan sebuah rumah, tetapi rumah tanpa jendela. Tidak ada cahaya yang masuk; hanya kegelapan. Itulah dunia dalaman HOL.
Ketika saya menerbitkan ulasan novel Saat Omar, Rebel, di blog ini, ada seorang pembaca menegur yang tulisan saya terlalu pendek. Kemudian saya teringat akan Sufian Abas yang memang suka resensi dan kritikan pendek seperti yang selalu dibuat oleh Roberto Bolano. Jadi untuk tahun 2016 saya ingin membuat pendekatan berbeza. Kalau selama ini resensi saya pendek dan ringkas, saya ingin berubah kepada perbincangan yang lebih terperinci, mendalam, dan ya, panjang. Ini sebenarnya kaedah klasik kerana saya akan membawa pembaca melalui bab ke bab, dan kalau perlu, halaman ke halaman. Adakah ia akan membosankan? Entah, saya tidak tahu, sebab itu saya ingin mencubanya. Saya teringat kuliah-kuliah sastera yang pernah dibuat oleh Nabokov dan Borges. Mungkin percubaan ini boleh dianggap sebagai kuliah, dan bukan resensi buku. Terserah. Saya ingin mula dengan HOL.
* * *
"This is not for you"
Kita menemui ungkapan ini di halaman terawal sebelum bahagian pengenalan. Adakah ini amaran awal kepada pembaca supaya jangan menggeledah dan mengkaji The Navidson Record? Aneh, kalau bukan untuk kita, untuk siapa lagi barang-barang terbuang dalam novel ini harus diberikan? Kita simpan dahulu soalan itu dan terus masuk kepada pengenalan Johny Truant pada tahun 1998.
Secara ringkasnya The Navidson Record ini ialah dokumentari aneh tentang "kegelapan" yang kewujudannya masih dipertikaikan. Seorang lelaki tua buta bernama Zampino telah membuat kajian terperinci tentang video yang entah ada atau tidak ini, dan semua sisa kerjanya ditemui oleh Johny selepas orang tua itu mati. Kaedah kerja Zampino memang kaos kerana dia membuat catatan pada apa-apa benda yang boleh ditulis dan ditampal. Hasilnya ialah timbunan sampah yang Johny terpaksa angkut balik ke rumahnya.
Jadi awal-awal lagi kita sudah boleh nampak permainan ala Borges di sini: mayat ditemui dan bersama mayat itu ialah bangkai teks yang harus dicantum-cantumkan semula. Tetapi Johny bukan seorang Pierre Mernard. Dia hanya lelaki biasa yang menghadapi masalah tidur:
"I'm so tired. Sleep's been stalking me for too long to remember. Inevitable I suppose. Sadly though, I'm not looking forward to the prospect. I enjoyed sleeping. In fact I slept all the time. That was before my friend Lude woke me up at three in the morning and asked me to come over to his place. Who knows, if I hadn't heard the phone ring, would everything be different now? I think about that a lot."
Johny seakan-akan sudah mati sebelum dia menemui kerja Zampino, dan deringan telefon Lude ialah panggilan keluar dari alam mimpi (atau maut). Tetapi setelah dia mula meneliti barang-barang Zampino, dia tidak pula menjadi semakin celik; sebaliknya pembacaan teks Zampino menjadikan dia lebih khayal dan bermimpi. Kita boleh tafsirkan masalah Johny sebagai suatu simptom kelelahan membaca. Dia membaca bukan untuk hidup; dia membaca kerana dia ingin mati.
Selesai pengenalan. Kini pengarang membawa kita terus ke dalam kajian Zampino tentang The Navidson Record.
(sambung ke bahagian kedua)
Comments