Catatan Ringkas Tentang Esei

 
 
Seperti biasa, setiap kali saya selesai dengan sebuah manuskrip, saya akan termenung berhari-hari dan melihat kembali apa saya telah tulis. Kali ini situasinya sedikit berbeza kerana manuskrip terbaru saya adalah sebuah kumpulan esei. Sudah lama sebenarnya kawan-kawan mencadangkan supaya saya kumpul semua tulisan di blog dan media bercetak untuk diterbitkan dalam bentuk buku. Saya hampir melakukannya beberapa tahun lepas bersama Aidil Khalid, tetapi mujur saya membatalkannya di saat akhir. Waktu itu sebahagian besar daripada esei saya masih terlalu mentah dan saya sendiri belum ada visi jelas tentang bagaimana sebuah buku esei patut dirancang dan disusun.
 
Malaysia tidak ada tradisi penulisan esei, malah sebahagian besar daripada penulis dan pembaca kita masih belum mengerti apa yang dikatakan sebuah esei. Adakah karangan sebuah esei? Adakah artikel sebuah esei? Adakah rencana sebuah esei? Adakah surat sebuah esei? Adakah kritikan sebuah esei? Jawapannya: ya dan tidak untuk semua itu. Bukan bentuk prosa yang menentukan sesuatu tulisan itu ialah esei atau tidak. Esei boleh bercerita; esei boleh berfalsafah; esei boleh bergosip; esei boleh berpolemik. Esei boleh menjadi apa-apa sahaja kita inginkan.
 
Yang penting: sebuah esei harus mengandungi percakapan idea.
 
Esei adalah perbualan fikiran antara pembaca dan penulis. Ia bukan dewan kuliah dan sudah tentu ia bukan laporan berita. Kita bukan mencari idea dalam sebuah esei, sebaliknya kita mencari perbualan tentang sesuatu idea.
 
Justeru apa yang dikatakan idea untuk sebuah esei? Seperti saya telah sebut, esei boleh menjadi apa-apa sahaja kita inginkan. Virginia Woolf menulis esei tentang pengalaman keluar ke London untuk membeli sebatang pensil. William Hazlitt menulis esei tentang tinju dan pakar penimbang bola. George Orwell menulis esei tentang katak dan pengalaman dibuli di sekolah. Roland Barthes menulis esei tentang pengalaman menonton filem di panggung. Charles Lamb menulis esei tentang telinganya.
 
Semenjak tahun 2008 saya lebih banyak menulis esei berbanding cerpen dan novel. Blog ini telah menjadi semacam gim untuk saya membuat latihan menulis prosa. Tanpa pengalaman menulis dan membaca esei, tidak akan ada D. U. B. L. I. N. dan tidak akan ada Boneka Rusia Guido. Esei adalah lastik yang saya sentiasa simpan di dalam laci meja.
 
 

Comments

Saya selalu singgah di sini, membaca dan mengikuti tulisan Saudara Azriq, dan di setiap kali itu saya tak pernah tahu apa yang sebenarnya saudara maksudkan. Mungkin itulah yang mengikat saya untuk kembali berkali-kali lagi, seperti orang yang dahaga diberikan seteguk air cuma; tak puas.

Tapi barangkali orang yang dahaga itu juga boleh mati, kalau deguk-deguk airnya makin lama makin sedikit yang diberi.

(Ya. Semua orang juga akan mati, tinggal tunggu waktu dan masa saja.)
Md Fariq Khir said…
Saya berminat nak belajar menulis esei. Bagaimana ya mahu mula? Maksud saya dengan apa atau siapa atau bagaimana untuk saya belajar menulis esei dengan betul?
Wan Nor Azriq said…
Baca esei, baca sebanyak mungkin esei
Wan A. Rafar said…
Arief Budiman menulis sebuah Esai tentang Esai, katanya: Pada suatu esai, yang utama bukanlah pokok persoalannya, tetapi cara pengarang mengemukakan persoalannya. Dengan lain perkataan, apa yang utama pada sebuah esai ialah bayangan kepribadian dari pengarang - yang simpatik dan menarik.

Popular Posts