Catatan Ringkas Tentang 86

Edouard Leve
 
Saya menulis 86 dan Soneta Roda Basikal dalam jarak waktu yang sangat dekat. Jadi susah nak kata mana satu novel keempat dan mana satu novel kelima. Apa saya tulis sering kali menggambarkan buku apa saya sedang baca pada waktu itu kerana saya hanya boleh menulis novel ketika saya sedang membaca novel orang lain. Ia seolah-olah saya hanya boleh berfikir apabila saya berfikir melalui fikiran orang lain. Soneta Roda Basikal adalah homage saya kepada Marcel Proust dan betapa pentingnya Proust memberi kesan kepada hidup saya secara peribadi. Ada ramai penulis yang boleh memberi kesan dan pengaruh kepada penulisan kita, tetapi tidak ramai penulis yang boleh mengubah cara kita berfikir dan cara kita memandang diri kita dan orang lain. 86 ditulis ketika saya sedang membaca Edouard Leve Works dan kumpulan cerpen mikro Amelia Gray. Patutkah sebuah novel mempunyai cerita? Patutkah sebuah novel mempunyai naratif? Patutkah sebuah novel berkelakuan seperti sebuah novel? Edouard Leve mengatakan tidak, secara tidak langsung, kepada semua soalan ini apabila dia menulis Works. Yang kita dapat hanya siri kenyataan, pengakuan, cetusan imej, dan cetusan idea untuk sebuah "karya." Cetusan demi cetusan; catatan demi catatan. Ibarat kamera yang tidak berhenti mengerdipkan mata lensa secara rambang. Saya pernah menunjukkan buku Leve kepada Ridhwan Saidi dan kami bersembang panjang di sebuah kafe di Petaling Street tentang cara-cara menulis sebuah novel yang bukan sebuah novel. Sekarang dia adalah penerbit kepada novel 86.
 
    

Comments

Popular Posts