Sebelum Istanbul, Selepas Istanbul
Istanbul mencetuskan saya untuk membaca kembali Orhan Pamuk kerana sudah empat tahun saya tidak menyentuh mana-mana daripada bukunya. Saya tidak pernah habis membaca Snow dan The Black Book. Membaca Orhan, sebelum ini, terlalu banyak mengingatkan saya pada Dostoyevsky sehingga imaginasi saya tidak boleh nak membezakan antara St Petersburg dan Istanbul. Kali ini saya melihat, merasai, dan berjalan sendiri di kota Istanbul, dan berpeluang tinggal di Çukurcuma, berhampiran Cihangir, iaitu kawasan Orhan membesar bersama keluarganya. Mengenali tempat kelahiran seorang novelis kota, seperti Orhan, adalah ibarat menyelak halaman-halaman sebuah buku.
Istanbul menjadi pencerita kepada imaginasi dan kehidupan Orhan Pamuk.
Sedikit perkongsian tentang Alor Setar. Memanglah, kalau nak dibandingkan dengan Istanbul, Alor Setar hanya debu di ruang marginal selembar peta. Tetapi saya sangat faham ikatan jiwa yang wujud antara Orhan dan Istanbul. Di mana pun kita berhijrah, dan di mana pun kita tinggal, kita tidak pernah menjadi bahagian daripada tempat itu, kerana roh sebuah kota kelahiran sentiasa bernyawa dalam diri kita. Dan seperti Orhan, saya juga mempunyai hüzün, atau rasa melankolik pada Alor Setar. Bandar Alor Setar yang hidup dalam imaginasi saya adalah Alor Setar yang tidak lagi ada. Di Istanbul, sekurang-kurangnya, masih ada monumen, atau bangunan dari tamadun seratus tahun lalu, walaupun ia mencetuskan rasa murung kepada penduduk Istanbul generasi sekarang. Istanbul adalah museum sejarah, sementara Alor Setar adalah kubur sejarah. Penduduk Alor Setar bukan tidak peduli tentang sejarah, tetapi mereka tidak tahu apakah sejarah kota mereka. Satu-satunya sejarah yang kekal di Alor Setar adalah sejarah golongan istana. Sementara rakyat, atau sejarah Alor Setar itu sendiri, hanya menjadi tanah untuk dipijak dan dipacak tiang besi yang seterusnya.
Comments