Kembali Ke Rumah Lama Dan Sedikit Renungan Tentang Kritikan

Hans-Georg Gadamer
 
Belum sampai sebulan saya berpindah blog ke Dunia Dalam Gelas Pasir, saya terpaksa meninggalkannya kerana perkhidmatannya kini berbayar dan bukan lagi percuma (tekanan kapitalisme digital ke atas pengguna). Justeru, untuk sementara waktu, barangkali, saya kembali ke rumah lama saya: Kritikus Sastera.
 
Saya sangat berat hati untuk kembali ke blog ini. Bukan kerana saya memutuskan ikatan dengan dunia lama saya, tetapi lebih kepada keraguan dan kesedihan melihat kritikan sastera masih terbatas dalam tubuh asalnya. Kritikan sastera, sama ada di negara kita atau di mana-mana, masih belum mengalami transformasi kewujudan untuk berhadapan dengan realiti dunia semasa. Novel telah berubah; memang sudah menjadi takdir dan sifat semula jadi novel untuk mengalami transformasi dari zaman ke zaman. Sementara kritikan sastera masih terkurung di dalam kamar yang sama ia bermula. Kritikan sastera adalah kebingungan dan trauma seorang Gregor Samsa yang masih belum mengerti kedegilannya untuk berubah (kedegilannya untuk kembali menjadi manusia) telah menyebabkan kemanusiannya jatuh ke dalam keberadaan seekor serangga.
 
Saya baru membaca dalam buku Simon Critchley The Book of Dead Philosophers tentang Hans-Georg Gadamer di hujung usianya. Gadamer adalah antara pengasas hermeneutika moden (disiplin pentafsiran teks) yang sangat berkait rapat dengan apa kita faham sebagai kritikan sastera. Critchley sendiri menjadi saksi ketika Gadamer hadir (langkahnya terkial-kial dan memakai tongkat) untuk memberi ucapan di Itali tentang syarahan Heidegger yang baru sahaja terbit. Ketika menaiki tangga pentas Gadamer telah jatuh ke bawah dan tongkatnya terpelanting. Gadamer dikejarkan ke hospital.Tetapi dia tidak mati pada hari itu. Dia hadir semula kemudian untuk memberikan ucapan dengan balutan luka masih jelas.
 
Tanpa ingin mempersendakan kejadian itu atau pemikiran Gadamer, saya melihat kesungguhan dan ketabahannya sebagai tragedi kritikan sastera yang sehingga kini menjadi beban tanggungjawab dan absurd golongan akademik. Kritikan sastera - seperti ilmu falsafah dan disiplin kemanusiaan yang lain - adalah ibarat binatang di dalam sangkar universiti. Dahulunya mungkin ia liar dan bertenaga berlari di tengah kehidupan. Tetapi mana-mana binatang apabila ia sudah dijinakkan, akan menjadi kaku dan kekok, apabila ia diminta menimbang bola di atas pentas.
 
      

Comments

Popular Posts