Seminggu Bersama Proust

Henri Matisse, Goldfish 

Mabuk dalam kegembiraan. Tidak ada gambaran lebih tepat saya boleh berikan apa saya rasa satu minggu kebelakangan ini ketika membaca Swann's Way dan buku apresiasi Alain de Botton terhadap Proust berjudul How Proust Can Change Your Life. Kebetulan pada masa itu saya juga sedang melihat lukisan-lukisan Matisse yang saya temui di Pinterest. Warna dalam lukisan Matisse sangat terang sehingga kita tertanya-tanya jika mata pelukis ini adalah mata seorang kanak-kanak. Saya paling suka lukisan sebuah balang ikan emas di atas meja: perabotnya hijau, daunnya hijau, airnya pun hijau , tetapi ikan-ikan di dalam balang itu adalah oren menyala. Lukisan ini ada dua dimensi: pertama, pandangan atas, di mana kita melihat secara langsung ikan-ikan di dalam balang itu; kedua, pandangan depan, atau pandangan si pelukis. Kalau dari atas imejnya kabur, dan di sini Matisse seperti ingin menyatakan yang dalam hidup harian kita sering terlepas pandang keindahan benda-benda di sekeliling kita (misalnya, ikan di dalam balang atau ikan di dalam kolam). Bukan sebab kita tidak nampak, tetapi sebab mata tidak mengenal keindahan di depannya. Kita memerlukan mata seorang pelukis - kita memerlukan lukisan - untuk membantu mata kita membina hubungan antara ikan dan pokok, antara balang dan meja, antara oren dan hijau, antara cahaya dan imej, antara emosi dan ingatan, antara diri kita dan waktu. Matisse pernah menggambarkan seni sebagai kerusi empuk di mana ia menjemput kita untuk melonggarkan kerumitan dan kelesuan akal fikiran kita. Nilai ketenangan dan kegembiraan dalam lukisan Matisse juga boleh dirasai dalam novel Proust. Sebenarnya nak kata tulisan Proust adalah novel juga tidak betul. Antara ciri khas sebuah novel adalah menstrukturkan waktu untuk pembaca. Paling tipikal adalah novel yang ada permulaan, pertengahan, dan pengakhiran - ada konflik dan ada penyelesaian. Novel Virginia Woolf (Ms. Dalloway) dan James Joyce (Ulysses) masing-masing berlaku satu hari - ada watak yang keluar rumah dan ada watak yang balik rumah. Tetapi bagaimana waktu bergerak dalam novel Proust? Tidak ada struktur khas yang mengawalnya. Fikiran naratornya, Marcel, boleh melayang ke mana-mana. Waktu tidak terbatas dalam novel Proust kerana waktu hanya wujud dalam fikiran Marcel.

Sebagai manusia, bolehkah kita merasai perubahan waktu? Ia seperti bertanya jika kita boleh melihat jam antik yang tergantung dalam kepala kita. Tetapi jam bukanlah pengukur waktu yang tepat. Kita mengenal waktu bukan melalui angka; kita mengenal waktu melalui ingatan. Sebab itu orang yang hilang ingatan atau gila boleh merewang sesuka hati di tepi jalan kerana waktu sudah tidak wujud dalam dunianya. Tetapi nak melihat dan mengenal waktu pun bukanlah kerja mudah. Cuba sahaja mengambil sekeping foto lama di dalam laci bilik anda, dan pegang, dan perhatikannya dalam diam. Bukankah di saat emosi kita ingin terbang kembali ke waktu dalam foto itu ada tangan yang datang merentap kita jatuh ke tanah? Bukankah semakin kita melihat ke dalam ingatan kita, semakin kabur imej itu menjadi?

Comments

Popular Posts