Ingin Jadi Pencerita Kepada Ingin Jadi Pujangga



A. Samad Ismail


Tetapi:

Ingin Jadi Pujangga bukan sebuah buku yang ada cerita untuk diceritakan.
 
Ingin Jadi Pujangga adalah A. Samad Ismail melihat A. Samad Ismail dan hilang.
 
Ingin Jadi Pujangga adalah luka lama yang kau lupa untuk tampal plaster atau bawa jumpa bomoh untuk berubat sampai ia jadi parut yang kau ingat untuk kau bandingkan dengan parut lain di masa depan.
 
Ingin Jadi Pujangga buat kau rasa menyesal jadi samseng di Kuala Lumpur kerana tidak ada orang nak jamu kau makan soto sedap selepas muka kau teruk kena bantai:
 
"Mereka makan di gerai Wak Kemat, menghirup soto panas dengan gelojohnya. Peristiwa sebentar tadi yang nyaris mengakibatkan mereka dibalun oleh samseng-samseng Cina, seolah-olah dilupakan buat sementara. Salleh mengaup daging dalam air yang berlinang dengan minyak dalam mangkuknya dengan jari-jarinya, menyiatkan isi daging daripada tulang ayam, lalu menyuapkan daging panas itu ke dalam mulutnya. Lidahnya terjelir-jelir tercelur oleh air sup panas. Mat Negro mengesat-ngesat dahinya dengan tangan kiri. Cili padi tumbuk dalam mangkuk di tepinya tinggal separuh."
 
Ingin Jadi Pujangga adalah kopi toraja yang tidak pernah diminum.

Ingin Jadi Pujangga adalah manuskrip A. Samad Ismail campak ke meja Usman Awang dan Usman Awang campak ke meja A. Samad Said dan A. Samad Said campak ke meja pengatur huruf dan pengatur huruf campak ke tepi mesin cetak yang akhirnya dibaca semula oleh A. Samad Ismail sebagai bantal tidur di kilang.

Ingin Jadi Pujangga adalah pintu kau masuk dan pintu kau keluar.

Ingin Jadi Pujangga adalah burung yang membuat parti bujang dalam telinga kau:

"Bunyi tembakan-tembakan senapang dan mesigan tidak kedengaran lagi. Seluruh rumah itu senyap kembali. Ali mempertajam pendengarannya untuk menangkap bunyi atau suara yang luar biasa dalam malam yang senyap itu. Tetapi hanya bunyi kakinya mengesot-ngesot di amben itu sahaja dan bunyi nafas ayahnya menahan batuk yang didengarnya. Ali cuba mengagak perjalanan bom - kalau letupan yang didengarnya sebentar tadi itu sebenarnya bom. Dia mendengar bunyi wisel yang nyaring seperti melewati atap rumahnya, seolah-olah bergesel dengan atap-atap itu. Bunyi itu seperti bunyi roda kereta api bergesel dengan besi landasannya ketika berlari laju atau seperti bunyi orang bersiul kuat. Bunyi itu tidak lama. Terlalu cepat, dan secara mendadak seperti bunyi orang menguak lalang ketika berjalan di tengah semak untuk seketika kemudiannya hilang diganti oleh bunyi letupan yang seperti memecahkan anak-anak telinganya."

Ingin Jadi Pujangga membuktikan kata-kata bergerak lebih laju daripada cahaya.

Ingin Jadi Pujangga membuktikan lelaki memerlukan perempuan untuk menulis.

Ingin Jadi Pujangga membuktikan watak-watak A. Samad Ismail selalu lupa mereka adalah watak-watak dalam sebuah cerpen A. Samad Ismail:

"Setengah jam kemudian, Shamsuddin dikelilingi oleh tiga orang temannya, di meja batu bulat di kedai kopi simpang jalan itu, menghadapi nasi, kari ikan dan sayur terung."

"Semenjak malam pertama saya ke kedai Kak Suri diajak oleh Man Siam, tiap hujung minggu kami ke kedai wanita itu. Ada waktunya kami ke kedai itu selepas menonton pertunjukan jam 6.00 di panggung wayang Alhambra atau Capitol. Sampai di kedai Kak Suri jam 9.00 malam, sedang perut lapar betul, lalu makan - dilayan oleh Kak Suri sendiri dan Rokiah, kemudian minum kopi dan ngobrol-ngobrol dengan mereka hingga kira-kira jam 11.00 malam."

"Dan malamnya pula makan berselerak rasmi MB. Pukul 11.00 barulah dia pulang ke hotelnya keletihan. Tetapi tidak sempat baring kerana Taib mengetuk pintu biliknya mengajaknya merayau, dengan kereta teman, masuk Biarlitz Park, minum kopi sambil melayani perempuan-perempuan di situ berbual, kemudian mengelilingi bandar lalu balik ke hotel. Dia hendak tidur tetapi bilik-bilik sebelahnya riuh dengan suara perempuan ketawa dan mengilai. Lalu Taib memanggil pelayan Cina hotel itu dan sebentar lagi mereka berganti-ganti menggunakan bilik Suhaimi dan Nasir, tidur sebentar dengan pelacur yang bergigi emas itu."

Ingin Jadi Pujangga adalah pengetip kuku yang kau sangka sudah hilang.

Ingin Jadi Pujangga tidak pernah berhenti bercakap tentang semua benda kecuali bagaimana ingin jadi pujangga.

Ingin Jadi Pujangga meramalkan krew pelbagai bangsa dalam kapal Star Trek Enterprise.

Ingin Jadi Pujangga ada di dalam peti sejuk.

Ingin Jadi Pujangga adalah bulan yang terlupa bagaimana hendak jatuh ke riba.

Ingin Jadi Pujangga adalah tiket wayang kau tertinggal di bangku pejabat pos.

Ingin Jadi Pujangga membuat kau rasa bangga kau masih teruna dan kau bukan seorang wartawan.

Ingin Jadi Pujangga bukan untuk orang yang baru hendak belajar main bowling:

"Tempat orang lalu dan berjalan sempit benar. Setengah-setengah mereka yang nakal kadang-kadang terpaksa berjalan di atas meja untuk cepat menyeberang bilik itu. Kaki mengharungi lautan kertas, surat khabar, kertas taip, kertas berita-berita luar negeri yang bertimbun di bawah meja dan di tepi-tepi dinding, di bawah kerusi dan dekat almari-almari besar itu, apabila berjalan atau bergerak dalam bilik itu. Dan apabila petang, jamban yang telah dipergunakan oleh berpuluh manusia dari sejak pagi, seperti mengirimkan semacam bau pula yang pada setengah-setengah orang dalam bilik itu yang telah bertahun-tahun menciumnya, sudah tidak asing lagi. Dan tiap petang asap tebal dari dapur di bawah, tempat Benggali jaga memasak capatinya akan menjalar dari tingkat bawah itu, melalui tingkap jamban, lalu masuk ke dalam bilik itu untuk berbaur dengan asap rokok, dan tembakau Basri dan teman-temannya."

Ingin Jadi Pujangga bukan kawan kau boleh ajak untuk minum di Taman Tun Dr Ismail.

Ingin Jadi Pujangga adalah ibarat kopi-O A. Samad Ismail.

Ingin Jadi Pujangga adalah ibarat kopi susu Sufian Abas.

Ingin Jadi Pujangga adalah ibarat mimpi buruk Mohd Affandi Hassan

Ingin Jadi Pujangga adalah ibarat penampar ke muka Rebecca Ilham.

Ingin Jadi Pujangga adalah peluh di dahi apabila kau berjalan.

Ingin Jadi Pujangga adalah propaganda terbaik ASAS 50 kerana Ingin Jadi Pujangga membuat parodi terbaik tentang ASAS 50 (secara tidak sedar).

Ingin Jadi Pujangga melanggar peraturan dengan membayar saman setiap bulan.

Ingin Jadi Pujangga melatih kau menjadi pelari pecut 100 meter di dalam pejabat:

"Dia melihat jam tangannya. Hampir-hampir pukul 12.00. Mesin cetak yang sebesar rumah dua tingkat itu patut sudah mengaum sekarang. Munir berkejar keluar bilik, melompat tangga, terus ke tingkat bawah dan berkejar ke bangunan cetak."

Ingin Jadi Pujangga adalah kilang percetakan dalam kepala semua pengarang fiksyen di Malaysia:

"Munir berdiri sekarang di tengah-tengah bangunan yang besar itu, memerhatikan mesin-mesin cetak yang besar, gagah tersergam di hadapannya. Dan dia seperti orang kerdil berdiri di situ, kagum oleh semacam perasaan terugut, bimbang, dan cemas menghadapi mesin-mesin lino yang berderet memanjang dari hujung dewan itu ke seberang tempat stor dan bekalan-bekalan kertas yang bergulung-gulung bertimbun dekat pintu besi yang lebar di sebelah belakang. Mesin rotary telah berhenti mencetak edisi awal dan cahaya yang samar-samar dari lampu-lampu elektrik di siling yang tinggi memberikan bentuk dan rupa yang gagah hebat kepada mesin itu.

Jentera yang besar itu seperti bercangkung di tengah-tengah bangunan itu, seperti seekor binatang yang gagah besar sedang berehat, melepaskan lelahnya di tengah-tengah hutan belantara yang tebal."

Ingin Jadi Pujangga adalah kayu hoki kau guna apabila kau nampak seorang sasterawan di depan rumah.

Ingin Jadi Pujangga adalah ikan jerung yang kau simpan di dalam laci.

Ingin Jadi Pujangga adalah melepak.

Ingin Jadi Pujangga memaksa kau untuk berkahwin dengan cerpen berjudul Edisi Pagi kerana kau akan dapat seks terbaik pada malam pertama:

"Munir meletakkan balik telefon di gagang. Hatinya lapang, lega oleh semacam kepuasan yang tidak pernah dirasakannya dahulu. Dia telah menyudahkan sebuah muka penuh untuk edisi pagi, muka lima, dengan tenaganya sendiri. Dia tidak takut lagi, tidak bimbang lagi. Hatinya tenang tetapi merasa semacam kegelisahan dalam hati kecilnya, seperti air tenang yang beriak-riak sedikit oleh sekutul batu kecil. 'Kau sudah jadi wartawan, Munir!' Dia seperti mendengar hati kecilnya berbisik. 'Kau sudah jadi wartawan, Munir!' Hati kecilnya membisikan halus ke telinganya."

Ingin Jadi Pujangga adalah masa depan yang tidak pernah jadi.

Ingin Jadi Pujangga adalah jalan sempit di belakang Kampung Baru.

Ingin Jadi Pujangga bukan Keris Mas dan Shahnon Ahmad. Lebih kepada tukang kasut yang Chekhov upah untuk mendengar dia berleter.

Ingin Jadi Pujangga adalah kerinduan pada lakonan Sidi Oraza.

Ingin Jadi Pujangga membuat kita rasa hendak pindah rumah.

Ingin Jadi Pujangga adalah keinginan untuk menjadi sebuah masterpiece.

Tetapi:

Ingin Jadi Pujangga memang sebuah masterpiece: ia adalah buku cerpen terbaik yang pernah muncul di negara ini.


 

Comments

Wan A. Rafar said…
Saya tidak banyak membaca cerpen A. Samad Ismail, atau mungkin beberapa buah saja. Membaca tulisan ini menyebabkan saya ingin membaca semula A. Samad Ismail.

Popular Posts