John Updike: Lari, Arnab, Lari




27 Januari lalu lengkap tiga tahun John Updike meninggalkan sastera Amerika, dan, dalam kata-kata Ian McEwan, pemergiannya telah menjadikan fiksyen Amerika sebuah dataran yang lapang dan gersang. Monumen yang tinggal hanya Philip Roth. Dan bagaimana selepas itu? David Foster Wallace, kita rasa, akan sentiasa dibayangi - seperti Hemingway dan Plath - oleh kematiannya sendiri, dan nasib Infinite Jest, barangkali, akan turut tergantung di siling, di sisi mitos gelap penciptanya, yang akan hidup dan mati, berulang-ulang kali, sehingga datang semula seorang penulis avant-garde untuk menggantikannya. John Updike tidak perlu tunggu begitu lama. Mitos - kegeniusan - John Updike sudah tumbuh dengan matang ketika dia masih hidup lagi. Seperti Henry James, seperti Nabokov, dan seperti Saul Bellow, kehadiran John Updike itu ialah ibarat payung besar untuk penulis-penulis muda generasinya bernaung, berlindung, dan merasakan tempias kreativiti Updike - Martin Amis, Ian McEwan, Alice Munro, Rick Moody. John Updike ialah sebahagian daripada segelintir penulis yang mengekalkan kepengarangannya sehingga ke hujung usia, dan jumlah penulisan itu - novel, cerpen, puisi, memoir, esei, kritikan - cukup untuk dijadikan sebuah koleksi ensiklopedia di perpustakaan peribadi mana-mana penulis. Jadi (memandangkan sekarang kita sudah tahu ini bukan gergasi yang boleh ditumbangkan dengan satu tikaman di dada) bagaimana seorang pembaca itu menjemput John Updike masuk ke dalam hidupnya? Cadangan saya: lari. Dan sediakan kasut sukan yang bagus. Kerana Rabbit Angstrom akan lari lebih laju daripada anda.

Untuk mengenali seorang penulis prolifik seorang pembaca itu harus tahu di petak mana dia ingin bermula. Cuba lihat Haruki Murakami. Saya selalu memberitahu mereka yang ingin mula mengenali Murakami, dan jumlah ini bukan sedikit, mereka patut bermula dengan membaca cerpen-cerpennya: ada banyak sebabnya, dan antara sebab itu ialah waktu, atau ruang, atau tempoh yang seorang itu perlukan untuk lari, dari satu pintu ke pintu seterusnya, dalam imaginasi Murakami; ia berlaku dengan lebih cepat, dan tidak meloyakan (ini yang sering berlaku kepada pembaca yang memilih Wind-Up Bird Chronicle sebagai buku pertama), berbanding kalau kita terus masuk ke dalam novel-novelnya. Dalam kes John Updike, kita tidak ada masa untuk membaca cerpen-cerpennya. Kerana yang ingin kita cari dalam Updike ialah Harry Rabbit Angstrom melalui tetralogi Rabbit Angstrom. Buku pertama dalam siri ini ialah Rabbit, Run, dan awal-awal lagi, sebelum kita sempat memanaskan badan, Updike telah mengajak kita bermain bola keranjang bersama Rabbit Angstrom:

"The ball rocketing off the crotch of the rim, leaps over the heads of the six and lands at the feet of the one. He catches it on the short bounce with a quickness that startles them. As they stare hushed he sights squinting through blue clouds of weed smoke, a suddenly dark silhouette like a smoke stack against the afternoon spring sky, setting his feet with a care, wiggling the ball with nervousness in front of his chest, one widespread with hand on top of the ball and the other underneath, jiggling it patiently to get some adjustment in air itself. The cuticle moons on his fingernails are big. The ball seems to ride up the right lapel of his coat and comes off his shoulder as his knees dip down, and it appears the ball will miss because though he shot from an angle the ball is not going toward the backboard. It was not aimed there. It drops into the circle of the rim, whipping the net with a ladylike whisper. "Hey!" he shouts in pride."

Semua yang kita suka tentang seni kepengarangan John Updike ada di sini: rentak bahasanya (Updike mempunyai bakat luar biasa dalam menyusun ayat mengikut rangka atau aksi atau suasana sesuatu babak yang sedang ditulis); metaforanya ("whipping the net with a ladylike whisper"); imejan langit dan cuaca dan warnanya seolah-olah Updike ialah malaikat yang sentiasa merindui syurga (baca keseluruhan novel ini dan anda akan nampak "langit" yang saya maksudkan).

Di pengenalan novel ini Updike juga memperkenalkan kepada kita watak Harry Rabbit Angstrom. Tidak banyak yang diceritakan oleh Updike tentang bentuk fizikal Rabbit: dia tinggi, kulit putih, berpakaian gaya seorang jurujual, dan - ini ialah fokus naratif Updike - kelincahan dia bermain bola keranjang. Bermain bola keranjang ialah bakat besar Rabbit Angstrom (selain bermain seks di ranjang) seperti penulisan ialah bakat besar John Updike. Tetapi berbeza dengan penciptanya, Rabbit Angstrom telah berhenti bermain bola keranjang secara profesional - dia telah mengabaikan bakat atau cita-cita besar hidupnya. Rabbit, dalam kata lain, ialah arnab yang sedang mencari sarangnya.

Jadi apa dia buat? Dia lari:

"Running. At the end of this block of the alley he turns up a street, Wilbur Street in the town of Mt. Judge, suburb of the city of Brewer, fifth largest city in Pennsylvania. Running uphill. Past a block of big homes, small fortress of cement and brick inset with doorways of stained and beveled glass and windows of potted plants; and then half the way up another block, which holds a development built all at once in the Thirties. The frame homes climb the hill like a single staircase. The space of six feet or so that each double house rises above its neighbor contains two wan windows, wide-spaced like the eyes of an animal, and is covered with a composition shingling varying in color from bruise to dung. The fronts are scabby clapboards, once white. There are a dozen three-story homes, and each has two doors. The seventh door is his. The wood steps up to it are worn; under them there is a cubbyhole of dirt where a lost toy molders. A plastic clown. He's seen it there all winter but he always thought some kid would be coming back for it."

Hanya novelis Amerika akan memulakan sebuah perenggan dengan kata kerja ("Running"). Susah untuk membayangkan Flaubert dan Proust melakukan perkara yang sama, walaupun, realisme Updike itu ialah realisme sastera Perancis, iaitu mata seniman, mata pencerita, mata pemerhati yang tidak pernah duduk diam - terutama sekali mata Rabbit Angstrom - kerana mata ini harus merakamkan semuanya untuk kita.

Rabbit Angstrom akan lari beberapa kali dalam novel ini dan setiap kali dia lari, atau cuba untuk lari, Rabbit akan menempuh fasa berbeza: 1) dia lari daripada rumah kerana tidak tahan dengan isterinya Janice yang kaki botol dan sedang sarat mengandung: dia jumpa dengan bekas jurulatihnya Marty Tothero: orang ini kemudian memperkenalkan Rabbit kepada seorang pelacur bernama Ruth: Rabbit dan Ruth mula tinggal serumah selama beberapa bulan; 2) dia lari ke hospital apabila dia mendapat tahu isterinya bakal melahirkan anak: Rabbit dan Janice berbaik semula: Rabbit mencari Tuhan di gereja: Rabbit menjadi berahi di rumah: Rabbit inginkan seks (dia sentiasa inginkan seks): Janice inginkan ruang untuk bernafas - ya lah, suami dia baru puas layan pelacur dan anak perempuan mereka sepanjang masa menangis; 3) Rabbit lari lagi: Janice mabuk: anak perempuan mereka mati; 4) Rabbit lari pada hari pengebumian anaknya: Rabbit lari kembali kepada Ruth; 5) Rabbit lari untuk kali terakhir dan kita boleh membayangkan Rabbit lari keluar daripada Rabbit, Run dan terus masuk ke dalam novel kedua siri ini iaitu Rabbit Redux. Rabbit terus lari kerana Rabbit (dan juga Updike) belum menemui apa yang dicarinya.

Updike memerlukan tiga lagi novel sebelum dia boleh membenarkan Rabbit untuk rehat.

Berlari tanpa henti sebegini sudah tentu akan membawa Rabbit untuk menemui banyak benda kan? Tidak juga. Kerana Rabbit ialah seorang watak fiksyen; dia hanya boleh lari dalam ruang atau dunia yang Updike telah binakan untuknya. Dan sebagai novelis, kita merasakan dunia Updike itu ialah dunia yang terbatas dan terpencil. (Updike lahir dan membesar di Pennsylvania). Kita tidak menyalahkan Updike kerana memilih sebuah pekan kecil di Pennsylvania sebagai latarnya - seperti kita tidak menyalahkan Isaac Babel kerana memilih latar Odessa, atau menyalahkan Ahmad Tohari kerana memilih negeri terasing bernama Dukuh Paruk. Kita menyalahkan Updike kerana udara yang dipamkan ke dalam dunianya itu sangat terhad; ada waktu, ya, kita memang berjalan, berlari, melompat, dan berenang (ah, babak kolam renang novel ini sangat hebat) dengan bebas dan tenang dan ia membuat kita rasa, untuk seketika, Rabbit ialah sebebas-bebas watak; tetapi di waktu lain, udara itu menjadi sesak dan kita dipaksa berguling-guling di atas katil Rabbit bersama perempuan-perempuannya yang - ternyata sekali - tidak ada kemahiran membuat seks.

Sebut tentang seks, ada dua perkara anda perlu tahu untuk memahami dunia dan diri John Updike sebagai pengarang. Pertama, kita ada John Updike yang ingin menjadi Tuhan dalam dunianya; iaitu sang pengarang, mengikut kata-kata Flaubert, "yang melihat semuanya dan berada di mana-mana, tetapi tidak pernah kelihatan." Ini ialah John Updike yang akan sentiasa mengalihkan pandangan Rabbit Angstrom (dan kita) ke arah Mt. Judge walau ke mana sahaja dia berlari dan berada seolah-olah ia adalah mimbar sebuah gereja; ini ialah John Updike yang akan menggambarkan rambut berwarna jingga seorang perempuan "yang tergantung terjuntai-juntai seperti rumpai laut;" ini ialah John Updike yang sering dipuji dan sering juga dikritik kerana memberikan kebebasan kepada kata-katanya untuk mencipta panorama indah, dan di samping itu, menanggalkan beban makna, seolah-olah kata-kata John Updike itu adalah manusia penyair tanpa Tuhan.

Kemudian kita ada John Updike yang mencintai Eros. John Updike yang inginkan seks. John Updike yang menulis ini:

"A colored girl in an orange uniform that he guesses from the frills is supposed to look South American comes and he tells her two Daiquiris. She flips shut her pad and walks off and he sees her back is open halfway down her spine, so a bit of black bra shows... soft purple shadows flitter on the flats of her back where the light hits."

Bra. Bukan itu yang Updike minat di sini; tetapi bagaimana bra itu bersenggama atau bersenyawa dengan warna bayang dan garis cahaya seolah-olah mata Updike itu telah dilatih untuk menjamah seks ("bra") dan keimanan ("cahaya") secara serentak. Rabbit Angstrom sendiri apa kurangnya. Malam main dengan perempuan di bilik; siang bangun berdiri di jendela melihat kongregasi gereja pada hari Ahad.

Memandangkan mata John Updike itu sungguh erotik dan sungguh beriman, ia membolehkan kita, apabila kedua-duanya bergabung kuasa secara sublime, melihat hubungan antara makanan dan seks. Rabbit Angstrom menceritakan Ruth lebih pandai memasak sosej berbanding Janice, dan, dari situ pun kita boleh agak, Rabbit lebih puas apabila bersama Ruth daripada isterinya sendiri. Kemudian datang babak dapur rumah Rabbit apabila dia pulang dan mendapati isterinya sudah tidak ada:

"In the kitchen he discovers an odd oversight: the pork chops never taken from the pan, cold as death, riding congealed grease."

Isterinya yang tidak pandai masak sama sahaja seperti isteri yang tidak pandai membuat seks untuk seorang lelaki seperti Rabbit. Tidak hairanlah kalau dia lari.

Apapun, saya perlu membuat pengakuan, seks John Updike bukan seks yang saya suka. Ia dingin - seperti daging babi di dalam dapur Rabbit Angstrom. Antara Updike-Eros dengan Updike-Jesus, Updike yang kedua itu lebih memikat dan luas pandangan dunianya. Fiskyen, selain menghiburkan, atau membangkitkan rasa ghairah dalam diri pembaca, ia juga mesti memberikan nafas dan tenaga kepada pembaca untuk berlari sekuat-kuatnya ke sebuah dunia lain. Rabbit, Run - dan imaginasi serta kekuatan bahasa John Updike - memang membuat kita berlari. Tetapi adakah ia membuat kita hidup?


Comments

Popular Posts