Paul Auster dan Pengaruh Penulisan Knut Hamsun


"They’re all inside me. Dozens of writers are inside me, but I don’t think my work sounds or feels like anyone else’s. I’m not writing their books. I’m writing my own." - Paul Auster


Novel City of Glass, novel pertama dalam siri The New York Trilogy, telah ditolak oleh tujuh belas penerbit buku di New York sebelum akhirnya diterbitkan pada tahun 1985 oleh Sun and Moon Press di San Francisco. Umur Paul Auster pada masa itu ialah tiga puluh lapan tahun.

Saya mula membaca City of Glass tiga tahun lalu. Sebuah novel yang nipis. Sekali duduk kita boleh habis membacanya. Tetapi apabila kita sudah masuk ke dalam novel ini, sukar untuk kita lupa pengalaman yang kita dapat dari dunianya. Auster menyebut Cervantes dan Kafka sebagai penulis yang telah mempengaruhi penulisannya. Dan novel Auster sememangnya sangat Quixotic berbanding novelis-novelis Amerika lain yang sezaman dengannya. Selain Cervantes, saya juga sering menemui Knut Hamsun dalam novel-novel Auster, terutama sekali novel Moon Palace. Kehadiran Hamsun ini yang selalunya menyekat pembacaan saya. Mungkin saya kurang menyenangi watak-watak neurosis dan hypochondria jenis Macbeth dan Raskolnikov dan protagonis Hamsun dalam Hunger. Watak yang berjalan ke sana ke sini seperti pengemis mencari makna kehidupan dalam sebuah bandar yang tidak mempedulikan kewujudan mereka. Shahnon Ahmad pernah cuba melakukan ini dalam Sampah. Roslan Jomel pun sama dalam cerpennya. Kedua-duanya gagal. Dan kedua-duanya membosankan saya. Jadi, tidak hairanlah kalau saya tersekat-sekat dan tersentap-sentap apabila membaca bahagian tertentu dalam City of Glass dan Moon Palace yang mempunyai pengaruh Hamsun.

Dalam diri Hamsun, pengaruh Dostoevsky itu sangat kuat, seperti pengaruh Cervantes dan Hamsun (mungkin juga Hawthorne) sangat kuat dalam diri Auster. Kedua-dua novel Hunger dan City of Glass adalah novel yang menarik untuk dibaca, dan patut dibaca, untuk wataknya. Hamsun dengan lelaki laparnya yang memakan diri sendiri. Auster dengan watak Quinn, seorang penulis novel detektif, yang menyamar sebagai detektif bernama Paul Auster! Tetapi, kedua-dua novel ini bukanlah novel yang original dan terbaik di zaman mereka. Hamsun mencipta novel yang sudah dicipta oleh Dostoevsky dalam Notes from the Underground. Berbanding Hamsun, Machado de Asis mencipta watak hypochondria yang jauh lebih original dalam novelnya Epitaph of a Small Winner. Di Amerika, saya lihat Philip Roth dan Cormac McCarthy sebagai novelis yang lebih original dari Auster. Sekarang, orang kata Jonathan Franzen sebagai novelis terbaik di Amerika. Selepas membaca The Corrections, saya hanya dapat rumuskan yang ini hanya lanjutan dari tradisi novel Charles Dickens. Lydia Davis lebih original sekarang. Davis mencipta tradisi penulisan cerpen yang baru seperti Borges telah melakukan sebelumnya.

Auster kata yang dia "menulis bukunya sendiri." Virginia Woolf juga pernah kata begitu apabila dia menafikan pengaruh James Joyce terhadap penulisannya, seperti James Joyce menafikan pengaruh Anton Chekhov. Semua ini hanya keegoan seorang penulis. Dan kita boleh memaafkan ego mereka. Namun, hakikatnya, tidak ada karya yang betul-betul asli. Seperti Auster, dalam diri setiap penulis itu ada penulis-penulis lain yang sedang dihamilkannya. Benar, apabila lahirnya sebuah karya ke dalam sastera, karya itu milik si penulis yang telah melahirkannya; tetapi kalau kita boleh membedah genetik bayi itu, kita akan temui pintalan demi pintalan kod DNA pelbagai penulis yang telah hadir dalam alam sastera yang luas ini.


Comments

Popular Posts