Sedang Membaca: At Swim-Two-Birds


Saya sekarang banyak membaca novel-novel yang telah mendapat label metafiksyen walaupun, menurut pandangan saya, semua novel, sedikit sebanyak, sentiasa melakukan kritikan ke atas dirinya sendiri. Semua novel, dalam kata mudah, ialah metafiksyen seperti semua teks sastera itu ialah suatu bentuk metasastera. Tidak ada karya sastera yang datang sendiri dari langit. Setiap proses penulisan ialah pembinaan semula teks yang pernah dicipta sebelum itu. Tugas seorang penulis, yang menyedari akan proses pembinaan ini, ialah mencari kaedah, mencari struktur, mencari kelainan yang akan membolehkan pembaca melihat suatu monumen baru terbina hasil daripada tradisi asal yang penulis itu telah memilih untuk ikut dan dipengaruhi. Penulis yang jahil ialah penulis yang menafikan adanya proses pembinaan ini seolah-olah karyanya datang sendiri tanpa adanya pengaruh dari mana-mana penulis atau teks. Penulis sebegini, yang wujud banyak sekali dalam sastera negara kita, patut ditembak mati beramai-ramai supaya atmosfera sastera kita lebih segar untuk dihidu.

Tetapi, berbanding kebanyakkan penulis kita, hidung saya sudah lama tersumbat. Saya mengelakkan diri daripada membaca karya-karya tempatan yang sering kali membuat saya rasa seperti hendak terjun keluar melalui tingkap bilik saya. Hanya baru-baru ini saya mula membaca kembali, beberapa, karya tempatan. Itupun nafsu saya cepat putus. Hanya seminggu saya dapat tahan. Sekarang saya sudah kembali ke Barat. Saya berlabuh di pantai Ireland dengan novel Flann O' Brian berjudul At Swim-Two-Birds. Ini merupakan novel pertama novelis ini. Ia diterbitkan pada tahun 1939, zaman di mana pembaca dan penulis di seluruh dunia masih sedang mabuk dengan novel James Joyce Ulysses. Dan Ulysses sememangnya merupakan model asas novel ini selain daripada novel Laurence Sterne Tristram Shandy. Seperti novel Andre Gide The Counterfeiters yang sezaman dengannya, At Swim ialah novel tentang seorang novelis yang menulis novel tentang seorang novelis yang menulis novel. Ya; memang ada banyak lapis novel dalam At Swim. Ia adalah novel dalam novel, cermin dalam cermin, atau - seperti yang dilihat oleh Borges - labirin dalam labirin:

"I have enumerated many verbal labyrinths, but none so complex as the recent book by Flann O'Brien, At Swim, Two Birds. A student in Dublin writes a novel about the proprietor of a Dublin public house, who writes a novel about the habitues of his pub (among them, the student), who in their turn write novels in which proprietor and student figure along with other writers about other novelists. The book consists of the extremely diverse manuscripts of these real or imagined persons, copiously annotated by the student. At Swim Two Birds is not only a labyrinth; it is a discussion of the many ways to conceive of the Irish novel and a repertory of excercizes in prose and verse which illustrate or parody all the styles of Ireland. The magisterial influence of Joyce (also an architect of labyrinths, also a literary Proteus) is undeniable, but not disproportionate in this manifold book. Arthur Schopenhauer wrote that dreaming and wakefulness are the pages of a single book, and that to read them in order is to live, and to leaf through them at random, is to dream. Paintings within paintings and books that branch into other books help us sense this oneness."


Saya suka bahagian yang Schopenhauer sebut mimpi ialah pembacaan buku secara rawak. Apabila kita membaca novel yang tidak ada plot seperti At Swim, ia adalah seakan-akan kita bermimpi; kita melompat dari satu cerita ke satu cerita; dari satu novel ke satu novel; dari satu watak ke satu watak. Namun, struktur novel At Swim - jika ia ada struktur - lebih menyerupai proses minda ketika kita sedar berbanding ketika kita bermimpi. Novel ini tidak pernah melompat-lompat antara alam fantasi dan realiti seperti yang dilakukan oleh Julio Cortazar dan Haruki Murakami. Jadi; di sini kita perlu mengubahsuai pendapat Schopenhauer: untuk hidup kita tidak semestinya membaca sebuah buku secara berurutan; kita boleh sahaja melompat ke sana sini seperti dalam alam mimpi. Sebuah novel bukan wakil alam realiti mahupun alam mimpi. Ia adalah dunia dengan peraturan permainannya yang tersendiri.



Comments

Popular Posts