Anwar Ridhwan, Rakan-Rakan, Dan Anwar Ridhwan Lagi

"Pandangan alam Manhattan terus berubah. Kalau dulu masih ada sisa daun bergantungan di ranting-ranting, kini ranting-ranting bertelanjangan. Tinggallah rangka-rangka pokok, terutamanya di Riverside Park dan Central Park. Di sini manusia dan pokok memperlihatkan perbezaannya, fikir Hassan. Manusia, semakin dingin semakin teballah berpakain. Pokok, semakin dingin, semakin bertelanjang pula. Tupai-tupai yang selama ini kelihatan berlompatan riang dari batang pokok ke tanah lalu meloncat ke pokok semula, sudah mulai kelihatan. Anjing-anjing peliharaan mula dipakaikan baju tebal berwarna-warni, ditarik oleh tuan masing-masing. Langit mula kelabu mengumpul salji."

Cerpen Anwar Ridhwan yang pertama saya baca ialah Menjadi Tua. Umur saya ketika itu ialah lima belas tahun; saya tidaklah meminati sastera sangat pada ketika itu; baca kerana ingin lari sebentar, walaupun kalau boleh selamanya, dari realiti yang ketika itu hanya berkisar sekitar dunia pembelajaraan. Belajar. Siang malam seolah-olah tidak ada hari esok. Dalam celah-celah kesibukkan itu datanglah penulis seperti Anwar Ridhwan, Othman Puteh, Keris Mas, dan Shahnon Ahmad yang membuka pintu untuk saya masuk ke dalam dunia imaginasi mereka. Pengalaman berada dalam imaginasi mereka, dalam watak mereka, dalam diri mereka, tidaklah memberikan kesan yang begitu kuat sehingga membuat saya ingin menulis. Cuma sekadar angan-angan kosong seorang remaja yang ingin menjadi "seseorang" dalam hidup ini. Dipendamkan angan-angan ini dengan begitu lama sehinggalah tamat STPM. Dan segala apa yang berlaku selepas itu telah menjadikan diri saya yang anda, pembaca sekalian, sedang membaca sekarang.

Empat tahun berlalu dengan begitu cepat. Rakan-rakan penulis yang dahulu bersama-sama berpegang tangan mendaki gunung pengalaman kini hanya tinggal kenangan. Ada yang tidak lagi memanjat. Ada yang terus memanjat dan kini berada di tempat (bukan puncak walaupun itulah matlamat semua penulis) yang kita boleh kata, membanggakan. Dan penjelasan ini hanya masuk akal kalau kita memetaforakan perjalanan seorang penulis itu dengan sebuah gunung. Kalau ditukarkan dengan metafora lain, tempat pakir kereta misalnya, cara kita membincangkan perkara ini akan berubah. Terserahlah - saya suka perkataan ini. Ya memang Terserahlah. Saya berbangga dengan kejayaan semua rakan penulis saya walaupun mereka bukan lagi rakan saya. Sesungguhnya, bakat dan ego seorang penulis dilahirkan ke atas dunia ini dari rahim ibu (atau ayah) yang sama.

Empat tahun berlalu dengan begitu cepat. Dan sehingga sekarang Menjadi Tua ialah antara cerpen Anwar Ridhwan yang saya paling suka. Penulis-penulis lama seperti Anwar Ridhwan ialah teman imaginasi yang setia walaupun tidak pernah bertemu, tidak pernah berbual, tidak berkawan di alam realiti, tetapi itulah keindahan dunia sastera buat saya: kita mendapat teman imaginasi yang setia.

Comments

fadz said…
cerpen Dr. Anwar itu mmg cantik, hanya membaca petikan itu buat saya nak baca cerpen ini.

Popular Posts