Terserahlah (Reaksi Terhadap Politik)

Saya sering mendiamkan diri akan isu politik. Saya memilih untuk mendiamkan diri, saya memilih untuk mengasingkan diri, saya memilih untuk menjadi diri saya. Hidup ini terlalu singkat untuk berpura-pura menjadi orang lain. Pembaca, saya tahu politik sangat penting buat anda. Apabila menyebut perkataan "politik" itu sendiri, suatu perasaan mula membakar dalam diri anda; perasaan itu menimbulkan rasa semangat dan marah secara serentak. Terserahlah kalau itu perasaan yang anda ingin semaikan ke dalam diri anda. Terserahlah kalau anda gembira, malah mungkin bahagia, menjadi haiwan politik yang mengaum di tengah-tengah masyarakat. Terserahlah. Ngauman anda tidak bergema dalam jiwa saya kerana suara yang saya dengar itu bukan suara anda, bukan suara yang datang dari dasar roh anda, tapi suara yang dipinjam daripada mulut para politikus yang berdecit di atas pentas kuasa atau yang menulis di dalam kamar bahasa. Terserahlah. Jika itu suara anda.

Sejarah dicipta oleh individu. Sejarah dicipta oleh manusia genius. Sejarah tidak dicipta oleh masyarakat apatah lagi negara. Sosial atau masyarakat hanya pentas yang Tuhan telah cipta buat seorang individu merealisasikan kewujudannya. Genius dibenci oleh dunia dan masyarakat kerana ia menunjukkan kebenaran yang diketepikan oleh mereka. Manusia dilahirkan sebagai hamba Tuhan, tetapi manusia tidak ingin mengenali dirinya kerana apabila dia mula mengenali dirinya, maka ia mula mengenali Tuhan dan apabila dia mula mengenali Tuhan, dia akan mengenali sifat kehambaan dalam dirinya. Manusia semenjak dahulu lagi ingin menjadi Tuhan di atas dunia ini. Masyarakat dicipta, ideologi dicipta, negara dicipta, atas desakkan jiwa manusia yang ingin menjadi Tuhan. Nietzsche menyebut bahawa Tuhan sudah mati. Dalam jiwa manusia Tuhan mungkin sudah mati, tapi manusia tidak akan pernah berhenti berusaha menjadi Tuhan. Ada individu dahulu dan sekarang yang merasakan diri mereka sudah menjadi Tuhan. Perlukah saya menyebut nama mereka? Tidak, saya akan tetap dengan pendirian objektif saya, saya tidak akan memuaskan nafsu politik anda, pembaca sekalian, saya akan terus menjadi diri saya.

Manusia bukan Tuhan walaupun kita adalah makhluk ciptaan Tuhan. Manusia sampai bila-bila ialah hamba di dunia ini. Sebagai hamba, kita tidak ada kuasa untuk menjadikan dunia ini sempurna, kita tidak ada kuasa untuk menjadikan manusia lain sempurna, kita tidak ada kuasa untuk menjadikan tamadun manusia sempurna. Sains, politik, dan falsafah telah mengubah hidup manusia, tapi bukan manusia itu sendiri. Kuasa yang ada di tangan setiap manusia, setiap hamba, setiap individu ialah menjadi seorang individu. Kekuatan sebuah masyarakat bergantung kepada kekuatan individu. Tapi kekuatan individu tidak bergantung kepada kekuatan sebuah masyarakat. Dalam hal ini saya tidak bersetuju dengan Iqbal yang melihat individu dan masyarakat sebagai saling bergantungan. Keruntuhan sebuah tamadun tidak akan membawa keruntuhan individu. Sejarah sendiri telah buktikan.

Pembaca, sekali lagi saya tekankan bahawa saya memilih untuk menjadi diri saya. Hanya dengan itu saya dapat menjadi manusia yang berguna kepada manusia lain di dunia ini. Saya menentang sebarang bentuk kekerasan dan perjuangan yang dilakukan atas nama bangsa, agama apatah lagi negara. Saya tidak menolak agama kerana saya yakin agama dapat menjadi matlamat yang menyatukan seluruh umat manusia. Kenyataan saya ini membawa satu makna ironi bersamanya kerana agama sebagaimana kita tahu, dalam sejarah tamadun manusia, telah banyak membawa perpecahan dan peperangan berbanding keamanan dan kesatuan. Sekiranya kita tidak dapat meletakkan kepercayaan kita kepada institusi agama, maka marilah kita meletakkan kepercayaan kita kepada Tuhan. Tapi di manakah Tuhan? Tanyalah diri sendiri. Kebenaran berada dalam diri setiap manusia.

Comments

fadzil yusof said…
Salam Wan Azriq.

Kata-kata ini pintar dan benar, jika merujuk pada hal-hal tertentu. Saya setuju kalau dikatakan manusia tidak pernah lupa untuk menjadi Tuhan. Politik mungkin menjerumuskan manusia kepada gejala ini, ia pintar dan benar-saya setuju.
Tetapi ada juga yang berada atau bersabit dengan politik, tidak berniat untuk menjadi Tuhan, malah mahu membuatkan manusia yang ingin jadi Tuhan itu, mentaati Tuhan. Lantaran itu, agama dan politik tidak boleh dipisahkan. Semacam yang dilakukan oleh gereja seperti disebut dalam buku Islam and Secularism, memisahkan aktiviti agama dan dunia. Apa dalam gereja semuanya bersifat agama, apa yang yang di luar, bukan agama. Menyebabkan runtunan rasa beragama bagi yang tidak mampu beragama, pecah dan lebur. Hasilnya sekularisme yang tulen duniawinya, yang sehingga menjalar kepada falsafah-falsafah dan pemikiran-pemikiran Barat, yang kepada puncak lahirnya dogma 'tuhan sudah mati'.
Dalam hadith ada menyebut, bantulah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi. Dalam konteks politik, zalim memang selalu berkait dengan kepimpinan atau pemimpin. Yang perlu dilakukan, adalah membantu orang yang zalim. Bagaimana? dengan cara menasihat dan pelbagai lagi cara, mengikut kaedah yang betul. Maka, orang yang bersabit politik, tidak tuntas dalam gejala ingin menjadi Tuhan, mungkin dialah pendokong ajaran Tuhan. Masalahnya berapa kerat semacam ini. Untuk mengetahui golongan ini, sangat sukar mengikut mata kasar. Ia halus dan subjektif sifatnya.
Sekadar berkongsi. Tulisan saudara semacam ini menarik saya membuat ransangan ini.

Pada Isla
Wan Nor Azriq said…
Salam saudara fadzil yusof,

Pendapat saudara tentang pemimpin sebagai pendukung agama bagi mengajak manusia kembali kepada Tuhan memang benar dan ideal.Kalaulah kita dapat mencari seorang pemimpin sehebat itu pada zaman sekarang.Semua pemimpin yang ada semenjak beberapa dekad ini,Islam atau bukan Islam,telah membuka Kotak Pandora mereka di atas dunia ini.Hanya individu (dan kadang-kadang masyarakat)yang cuba mencari harapan atau keimanan dalam kotak itu.Saya faham semangat optimisme yang saudara fadzil bawa ke dalam penulisan saudara.Tapi optimisme saya hanya kepada manusia individu yang merentas tembok agama dan politik.

Tentang "kematian Tuhan" itu, ia tidaklah boleh dibaca secara literal kerana Tuhan tidak hidup atau mati.Tuhan bersifat abadi selama-lamanya.Hanya masa kemanusiaan yang bersifat hidup dan mati.Tapi semangat atau ketakwaan kepada Tuhan ialah suatu yang bersifat peribadi.Dan ia tidak ada kaitan dengan sekularisme.Setiap manusia ada keinginan untuk kembali kepada Tuhan sama ada dia itu sendiri beragama atau tidak.Kematian Tuhan tidak ada kaitan dengan sekularisme.Kematian Tuhan ialah kematian roh manusia sejagat.

Apapun terima kasih saudara fadz atas pendapat anda.Kalau boleh saya ingin bersifat optimisme akan politik seperti anda,tapi optimisme saya hanya kepada kekuatan dan kegeniusan individu.
lutfi said…
Salam Azriq.

Bagaimana respon Azriq terhadap konsep manusia sebagai khalifah di muka bumi ini?

Popular Posts