Kekuatan Simbol Dalam Cerpen "Semboyan"

Kenangan, sama ada indah atau buruk, memang susah untuk dilupakan. Ia akan datang sekali-kala dalam hidup kita, dan ketika itu, masa berhenti sejenak lalu membawa kita kembali ke zaman silam. Tetapi perjalanan itu hanya sekejap, dan seperti kereta api dalam cepren “Semboyan” karya Zaleha Ahmat, kenangan akan pergi meninggalkan kita.

Perkataan “Semboyan” yang diangkat oleh penulis sebagai tajuk cerpen bermaksud bunyi yang mengisyaratkan sesuatu. Dalam konteks cerpen ini, bunyi semboyan melambangkan suatu kenangan indah yang dinantikan oleh semua orang; tidak kira kecil, tua, atau muda. Masing-masing akan menghitung jumlah gerabak yang lalu seolah-olah sedang menghargai setiap kenangan yang muncul di depan mata hati.

Bersama setiap kenangan akan berputik juga suatu sinar harapan. Berdasarkan cerita yang didengar oleh protagonis, semua orang menanti-nanti buah “epal hijau” dan “sisa-sisa rangsum” daripada penumpang-penumpang kereta api yang langsung tidak dikenali. Namun, lama-kelamaan protagonis mula sedar yang menanti harapan daripada kenangan hanya seperti menanti hadiah daripada “Santa Klaus,” yang pasti tidak akan datang.

Simbol yang digunakan penulis sangat bersesuaian dengan mesej yang cuba disampaikan kepada pembaca: kenangan adalah sejarah hidup yang mesti ditinggalkan sekiranya hidup ingin diteruskan. Namun, yang menjadi persoalan kepada pembaca adalah apa sebenarnya kenangan indah yang selalu dinanti-nantikan oleh protagonis. Wataknya tidak digambarkan dengan mendalam sehingga pembaca pasti akan tertanya-tanya kenapa dia “begitu riang” apabila “mengalu-alukan kedatangan dan meraikan pemergian para penumpang.”

Secara keseluruhan, kekuatan utama cerpen ini terletak pada simbol-simbol yang digunakan Zaleha Ahmat. Melalui sudut pandangan yang objektif, gambaran latar yang ringkas, dan watak yang tidak mendalam, penulis telah fokuskan perhatian pembaca kepada sebuah kereta api dan bunyi semboyan yang pasti akan meninggalkan kesan mendalam di hati pembaca.

*Cerpen “Semboyan” boleh dibaca di Dewan Sastera, Oktober 2007.

Comments

HaMz said…
it's me hamzani
Unknown said…
This comment has been removed by the author.

Popular Posts