The Museum of Innocence: Bab Sebagai Dunia yang Mandiri


Hubungan kita dengan seorang pengarang ialah hubungan seumur hidup. Dan setiap pengarang membina hubungan berbeza dengan pembacanya. Ada pengarang saya sudah berhenti membaca kerana usia telah mengubah saya, dan karya pengarang itu masih terperangkap dalam diri saya pada masa lalu. Ada pengarang mengekori saya setiap waktu seperti bayang-bayang. Ada pengarang bersembunyi dalam almari seperti kekasih yang nakal. Ada pengarang hadir sebagai sebuah kota. Orhan Pamuk berada dalam kategori terakhir ini. Hubungan saya dengan Orhan Pamuk akan sentiasa terikat dengan kota Istanbul. 

Kali terakhir saya membaca Orhan Pamuk dengan gigih ialah 2015, ketika kali pertama saya berkunjung ke Istanbul; kota kelahiran; kekasih sebenar yang membayangi mana-mana tulisan beliau. Tahun ini saya kembali ke Istanbul, dan ia secara tidak langsung membuat saya dahaga untuk membaca karyanya, terutama sekali novel The Museum of Innocence. Seperti Kemal, watak utama novel ini, ada bayang-bayang yang menghantui fikiran saya. Ada sesuatu yang saya cari di jalan dan lorong Istanbul. Kemal dihantui oleh bayang dan objek-objek peribadi milik kekasihnya Fusun. Apabila dia berpisah dengan Fusun, dia mengumpul barang-barang yang ditemui di apartmen Fusun seperti putung rokok, keratan majalah, dan pembaris. Barang-barang ini Kemal kemudian kumpul ke dalam sebuah muzium. Justeru, novel yang kita pegang menjadi semacam katalog buat pengunjung muzium; dan setiap bab menjadi kotak pameran yang menceritakan episod berbeza dalam kisah cinta Kemal mencari sisa ingatan yang berbaur dengan sejarah melankolik sebuah kota. 

Kenapa novel mempunyai bab? Ini soalan agak asas; ia seolah bertanya kenapa kereta mempunyai tayar atau kenapa pemain bola sepak memakai kasut. Namun, seperti pembahagian halaman, bab adalah salah satu bahagian terpenting dalam sebuah novel. Walaupun seorang novelis boleh memilih untuk tidak menggunakan bab, namun ia masih keputusan sedar yang dipandu oleh kefahaman mengenai hubungan bab dengan perjalanan naratif sebuah novel. Berbeza dengan pendekatan formalistik, saya tidak melihat kemandirian sebuah novel terikat dan bergantung kepada kesatuan setiap bahagian yang membinanya. Malah melihat kesatuan sebagai tekstual semata-mata adalah suatu kesilapan besar. Kita ambil contoh novel The Museum of Innocence. Tekstur melankolik novel ini tidak dapat dinikmati sepenuhnya tanpa melihat juga sejarah Istanbul, dan ini akan berkait rapat dengan kehidupan Orhan Pamuk sendiri. Setiap bahagian saling berinteraksi, namun setiap bahagian juga boleh berdiri secara mandiri sebagai objek bebas. Tetapi bukankah keberadaan sebuah bab sangat berkait rapat dengan jalinan naratif? Sukar untuk kita memahami apa berlaku di bab 20 tanpa terlebih dahulu memahami kronologi naratif dari bab 1 dan seterusnya. Ini benar apabila kita melihat bab dalam konteks jalinan penceritaan. Tetapi itu tidak bermaksud sebuah bab tidak mempunyai sebarang pengisian di luar kerangka tersebut. 

Setiap bab dalam The Museum of Innocence diberikan judul. Seperti judul episod dalam sebuah drama bersiri. Atau judul objek-objek dalam sebuah pameran. Judul ini bukan sahaja memberi gambaran kepada konflik utama yang bakal berlaku, ia juga mempersiapkan pembaca kepada mood dan emosi yang mereka bakal alami. Ada risiko sebenarnya memberikan judul kepada bab kerana ia seolah-olah sedang memberitahu pembaca bahawa mereka memegang sebuah novel. Namun pendekatan ini berkesan untuk novel Orhan Pamuk kerana pengarang ingin bukunya dinikmati seolah-olah kita sedang menyelak risalah atau katalog kepada sebuah muzium. Justeru ia membebaskan kita untuk bergerak ke mana-mana. Saya tahu pengarang menyediakan setiap bab dengan objek, latar, konflik, dan memori yang khusus. Dan bukankah memori kita juga ibarat koleksi antik dalam sebuah muzium? Kita sentiasa menjadi pelancong dalam fikiran kita sendiri. 

Comments

Popular Posts