Hujung Minggu Bersama Azrin Fauzi

Bukan hujung minggu pertama sudah tentu. Rumah kami berdekatan. Senang nak meronda dan melompat dari kafe ke kafe sekitar Wangsa Maju dan Melawati. Kadang-kadang kalau sudah lewat akan menyimpang ke gerai mamak bawah pokok di Sri Rampai. Azrin sekarang berulang-alik di antara Muar dan Kuala Lumpur. Jadi dia hanya ada masa untuk melepak pada hujung minggu. Dulu sebelum Covid, senang nak mencari kafe yang buka sampai tengah malam. Sekarang semakin susah; kebanyakan kafe pukul 10 sudah bungkus mesin espreso. 

Semakin meningkat usia, semakin kurang saya melepak dengan penulis sebenarnya. Kita mula memilih dalam persahabatan. Faktor utama ialah waktu. Dan kepercayaan. Nak memulakan persahabatan baru adalah melelahkan. Dan penulis adalah laci penuh rahsia. Kita berikan kunci hanya pada orang yang kita percaya. Beberapa minggu lepas saya bertemu kembali dengan sahabat lama saya Roslan Jomel di acara peluncuran buku terjemahan Paul Celan. Dia nampak sihat dan masih riang bertenaga seperti kali pertama saya menemuinya 10 tahun lalu. Dia ternyata gembira dapat bergurau dan mendengar nasihat daripada idolanya Muhammad Haji Salleh. Di majlis itu barangkali Muhammad ialah tetamu paling tua. Namun saya cuba membayangkan Muhammad pada zaman mudanya. Dia dan Baha Zain bergurau senda dengan kaca mata tebal dan kemeja batik masing-masing. Suatu hari nanti, kalau umur panjang, saya akan berdiri di tempat sama Muhammad berada sekarang. Bukan sebagai penyair agung. Tetapi seorang penulis senior yang merindui kemesraan rakan sebaya. 

Saya kata tadi penulis adalah laci penuh rahsia. Sekarang bayangkan Azrin Fauzi sebagai almari penuh laci. Dia adalah orang paling perahsia yang saya kenal. Namun apabila kita duduk berbual dengannya, kita boleh bergurau tentang apa sahaja. Berbeza dengan ramai penulis generasinya, Azrin sentiasa kelihatan matang dan yakin dalam setiap tindakan. Apabila dia duduk atau berdiri dalam sebuah bilik, dia akan menguasai ruang tersebut dengan kehadirannya. 

Hujung minggu lepas saya kami cuba mengopi di sebuah kafe baru bernama Folk Kofii yang terletak di Jalan Negara Taman Melawati. Saya pilih kafe ini kerana ia tutup pada jam 3 pagi sepanjang bulan Ramadan. Rupa-rupanya ini bukan sebarangan kafe. Tempat ini adalah sarang golongan pelukis. Arca kayu, lukisan, dan grafiti mewarnai persekitarannya. Pelukis terkenal Jailani Abu Hassan turut kelihatan mengopi bersama keluarganya. Apabila saya berjumpa Azrin, saya suka mengumpul aktiviti (dan gosip) terkini penulis-penulis sekitar Kuala Lumpur yang saya sendiri jarang jumpa. Apa rungutan dan kemarahan terbaru Hafiz Jelir? Apa projek seterusnya Ridhwan Saidi? Sastera Malaysia ini dunia kecil. Akhirnya pusing-pusing kita akan berborak tentang orang sama juga. 

Saya selalu kata persahabatan di antara penulis ialah benda sukar; ibarat jambatan yang menanti untuk runtuh pada bila-bila masa. Sebab itu jarang ada esei yang bagus tentang persahabatan di antara penulis. Namun saya terjumpa sebuah esei oleh Raymond Carver berjudul "Friendship" dalam jurnal Granta 1988. Terdapat sekeping foto di permulaan esei itu; Carver sedang berdiri bersama dua orang lagi penulis Amerika iaitu Tobias Wolff dan Richard Ford. Mereka tersenyum dan kelihatan gembira dapat bergambar. Carver kemudian menceritakan bagaimana dia mengenali kedua-duanya. Dia kaitkan juga dengan perjalanan hidupnya sebagai kaki botol dan bagaimana kawan-kawan lama hilang selepas dia berhenti minum.

"I've had two lives. My first life ended in June 1977, when I stopped drinking. I didn't have many friends left by then, mostly casual acquaintances and drinking pals. I'd lost my friends. Either they'd faded away - and who could blame them? - or else they'd simply plummeted out of sight and, more's pity, I don't think I even missed them or noted their passing." 

Ada kesedihan, kedukaan, dan kedinginan yang berbekas dalam perenggan ini. Saya boleh membayangkan apa Carver pernah lalui. Persahabatan hanya perjanjian diam dalam segelas ais. 

Tapi esei itu berakhir - seperti mana sebuah esei tentang persahabatan patut berakhir - dengan nada riang dan penuh harapan. 

"Back to the picture. We're feeling good about ourselves and about other things in our life as well. We like being writers. There's nothing else on earth we'd rather be, though we've all been something else too at one time or another. Still, we like it enormously that things have worked out so that we can be together in London. We're having fun, you see. We're friends. And friends are supposed to have a good time when they get together." 

Saya dan Azrin mengopi sehingga jam 1 pagi. Azrin membawa pulang memori lukisan sureal Haslin Ismail. Mungkin minggu depan kami akan mengopi lagi. Selagi kami saya suka menjadi penulis, selagi itu kami akan mengopi pada hujung minggu. 

 Foto nukilan daripada IG Folk Kofii.     

Comments

Popular Posts