Nabokov: Lawatan Ke Muzium

Esquire, Mac 1963

Beberapa tahun lalu saya menulis sebuah cerpen berjudul "Selumbar Di Bawah Jari." Hanya tahun ini baru ia siap ditulis. Saya lupa pada mulanya apakah sumber inspirasi saya untuk cerpen tersebut. Tetapi selepas membaca cerpen Vladimir Nabokov "A Visit to the Museum," baru saya ingat: idea itu datang daripada sejarah Raja Alfonso X. 

Pada abad ketiga belas, Raja Alfonso dari Castile dikatakan telah menulis lebih kurang 400 buah cantiga atau puisi lagu. Dalam cantiga 103, diceritakan seorang sami yang minta kebenaran daripada Bidadari untuk merasai, ketika dia masih hidup, nikmat Syurga. Adapun pada suatu petang, ketika dia berjalan di taman biara, dia ternampak air jernih sebuah pancuran dan nyanyian merdu seekor burung yang sungguh mengasyikkan. Maka kemudian dia pulang ke biara untuk makan malam, tetapi segalanya telah berubah; dia diberitahu oleh penjaga biara bahawa tiga ratus tahun telah berlalu dari waktu dia keluar dan pulang ke biara. 

Entah kenapa, sewaktu saya membaca anekdot ringkas ini, saya terbayang seorang tua sedang mandi di dalam kolam renang. Dia sangat bahagia mandi sehingga dunia di sekelilingnya berubah dengan sangat cepat. Saya fikir ada kemungkinan (tanpa saya sedar) waktu itu saya terbayang lelaki di dalam cerpen terkenal John Chever.

Rupa-rupanya Nabokov juga pernah menulis sebuah cerita yang lebih kurang sama. Seorang lelaki masuk ke muzium, sesat dengan agak lama, kemudian apabila dia keluar, dunia sudah berubah. Seperti biasa, bahasa Nabokov sangat memikat, terutama sekali cara dia menggambarkan suasana di dalam muzium itu. Kalau kita faham konteks kehidupan Nabokov, ia akan membantu kita untuk lebih menikmati cerpen ini. Ia asalnya ditulis dalam bahasa Rusia ketika Nabokov belum berpindah ke Amerika. Keluarga Nabokov asalnya orang berada, namun harta mereka semua hilang selepas Revolusi Oktober di Rusia. Maka Nabokov meninggalkan Rusia yang jauh beza dengan Rusia ketika dia membesar. Semuanya hanya tinggal ingatan. Ibarat barang lama dan fosil di dalam sebuah muzium. 

Sesiapa yang ingin membaca cerpen penuh, boleh klik di sini

Comments

iam.umifuzy said…
menarik kisah Nabokov ni..nnt ada waktu senggang saya akan cari dan baca

salam kenal dari www.iamfuzy.com

Popular Posts