Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Kedua Puluh Dua)








Berikut merupakan wawancara A. Ghafar Ibrahim bersama Latiff Mohidin yang dikutip daripada buku berjudul Dialog dengan Seniman. Penggunaan tanda baca yang agak aneh adalah hasil tangan AGI sendiri.

* * *  

Pelukis ini [Latiff Mohidin] mendapat didikan senilukis di Jerman di Jerman 8 Jun 1969. Beliau berangkat ke Amerika sebagai pelukis jemputan di New York atas biaya John D. Rockfeller III Fund. Biaya itu berharga 25 ribu ringgit wang Malaysia.

?  Di mana cermin mata? 

=  Di rumah Baha Zain di PJ. 

?  Bagaimana penglihatan saudara tanpa cermin mata?

=  Agak samar.

?  Tak merugikan?

=  Oh tidak. Kadang kala aku senang begitu. Kerana segalanya aku terlalu banyak melihat dunia dengan terang dan jelas.

?  Melihat dunia dalam kesamaran tentu merugikan. 

=  Tika aku melihat sesuatu yang samar, aku selalu membuat dugaan-dugaan tentang benda-benda yang wujud itu. Dan waktu itu visual imaginasiku mula mengembara. 

?  Faedahnya?

=  Aku bisa melihat multi-imago. Darinya timbul banyak assosiasi dari imago-imago tersebut. Dan ini penting bagi kreativitiku.

?  Saudara jelas menampakkan memberikan penghargaan kepada pancaindera-pancaindera saudara.

=  Benar. Kerana kita lumrahnya seringkali menyingkirkan nilai-nilai pancaindera kita. 

?  Maksud saudara?

=  Kita mesti memberikan perhatian kepada kelima-lima pancaindera kita. Atau katakan saja kita mesti menghormati keenam-enam pancaindera kita dalam kehidupan sehari-hari. 

?  Umpamanya?

=  Aku seringkali mendengar muzik setelah lampu dimatikan. Kegelapan yang menyelubungi suasana muzik tika itu, menambahkan halusnya penikmatan pada muzik itu. Atau aku pergi ke pasar hanya untuk menajamkan mata  semata-mata untuk merasakan dengan lebih dalam akan nilai-nilai rasa. 

?  Dapat ku tangkap bahawa saudara ialah seorang manusia yang restless. Salah satu sifat orang-orang yang restless ialah tidak boleh duduk diam pada satu-satu tempat tertentu. Dalam konteks ini pengembaraan merupakan escapisma saudara.

=  Iya. Aku tidak tau kenapa aku jadi begitu. 

(Di atas meja minuman di restoran ada ikan bilis yang belum di masak. Ikan bilis itu dikeluarkan oleh Latiff dari uncangnya. Uncang inilah yang dikendung oleh Latiff waktu ia berpergian dan mengembara.)

?  Ada apa lagi dalam uncang itu?

=  Rokok. Buku. Mancis api. Dan kertas-kertas sajak.

?  Ngapa ikan bilis... (melihat Latiff memasukkan ke mulutnya beberapa ekor ikan bilis lagi, aku pun membikin sama.)

=  Kita selalunya makan-makan kacang dan keropok masa berbual-bual. Aku gantikan itu dengan ikan bilis.

?  Aku tau saudara baru balik mengembara di Thailand dan Laos. 

(Ngangguk-ngangguk.)

?  Apa yang saudara bawa waktu mengembara?

=  Diri sendiri. 

? Apa yang ada dalam diri saudara?

=  Darah. Daging. Tulang. Nafas. Kenangan-kenangan. Harapa. Sangsi. Mimpi. Suka-suka. Duka. Apa saja yang ada dalam diri manusia lain. 

?  Bagaimana caranya saudara mengembara?

=  Cara berlompat-lompat. Ertinya, kadang-kadang naik lori. Ada katanya naik kereta. Van. Bas. Keretapi. Dan tentulah selebihnya dengan jalan kaki sahaja. 

?  Dalam fakulti mana saudara letakkan diri saudara waktu mengembara itu?   

=  Mengembara satu proses penghidupan yang panjang tapi intense. Waktu mengembara aku melihat dan merasai berbagai-bagai rintangan, kesedihan, kegirangan, kekalahan, kemenangan, kematian, ketakjuban. 

?  Tidakkah pengembaraan satu kekaguman?

=  Pengembaraan bukan harus dikagumkan. Mengalami nilai-nilai baru dalam hidup waktu mengembara itu yang mengkagumkan. Dan saudara juga mesti ingat bahawa mengalami nilai-nilai baru dalam hidup waktu mengembara itu juga kadang kala membosankan. 

(Kami tinggalkan Restoran Ria. Pergi ngembara-ngembara ke Pasar Minggu. Balik semula rumah Atondra. Lihat TV dengan filemnya It Takes A Thief. Kemudian ku katakan pada Latiff yang hampir tertidur itu di kusyen. Mari kita ke sanggar saudara. Latiff membonceng basikalnya. Aku terpaksa jadi pillion-rider Yusfa dari majalah PENGAMAN.)

= Aku ini curious orangnya. Aku mau tau apa-apa saja tentang hidup yang menakjubkan ini. Aku selalu tidak puas hati pada pandangan yang umum dan remeh. Kerana itu aku mencari-cari, aku menggali-gali akar-akar dan rahsia-rahsia kehidupan.


Comments

Popular Posts