Shahnon Ahmad: Persediaan Menulis Fiksyen



Mungkin tidak ramai yang tahu (atau sudah lupa), Shahnon Ahmad pernah dijulang sebagai Raja Novelis Malaysia. Berlebihan? Mungkin tidak juga. Produktiviti Shahnon Ahmad dari novel pertamanya, Rentong, sehingga ke novel terbaiknya, Tunggul-Tunggul Gerigis, dan kemudian ke fasa novel lewatnya, Mahabbah, sentiasa mengalir laju dan deras. Tidak dinafikan sungai kreativiti raja kita ini, ada waktunya, melimpah ke tebing atau berlanggar dengan gajah yang sedang berendam. Kita boleh memaafkan Shahnon menulis Shit kerana apalah sangat dosa sebuah novel kalau nak dibandingkan dengan karya-karya penting yang tumbuh daripada kesuburan arus kreativitinya: Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge, Tunggul-Tunggul Gerigis, Patriarch.
 
Itu saya belum sentuh cerpen Shahnon. Tetapi saya nak fokus kepada sebuah esei Shahnon tulis pada tahun 1975 berjudul Dasar Penulisan Novel dan Cerpen. Di era 60-an, 70-an, 80-an, novel Malaysia memang sedang panas. Ini adalah zaman ketika A. Samad Said menulis Daerah Zeni, Arena Wati menulis Sandera, Azizi Haji Abdullah menulis Seorang Tua Di Kaki Gunung, dan Anwar Ridhwan menulis Di Negeri Belalang.  Di ketiga-tiga dekad itu Shahnon juga sedang prolifik menulis novel dan cerpen. Namun hanya Shahnon seorang, sebenarnya, yang lantang dan tanpa penat berbicara tentang penulisan novel. Kalau ikutnya, Anwar Ridhwan ialah novelis yang lebih teknikal daripada Shahnon. Tetapi pernahkah Anwar menerbitkan kumpulan esei atau buku panduan menulis novel? Saya selalu percaya novelis yang tulen ialah terlebih dahulu seorang pencinta novel yang tulen. Kadang-kadang saya kagum dengan hidup seorang novelis bukan sebab karyanya hebat, tetapi kerana dia sangat mencintai novel dan berbangga dengan kerjanya menukang kata-kata menjadi fiksyen. Justeru ini menjelaskan juga kekecewaan saya ketika membaca memoir gergasi Arena Wati berjudul Enda Gulingku. Sangat sedikit bahagian Arena berbicara tentang novel. Kalau dia malas atau malu sangat nak membicangkan novel sendiri, kenapa tidak ada perbincangan tentang novel penulis lain?  
 
Dalam eseinya Shahnon tidak mengambil masa panjang untuk memulakan kelas: "Ada dua perkara menjadi dasar dalam soal penulisan novel dan cerpen ini. Pertama hendak mengarang novel atau cerpen. Kedua hendak mengarang novel atau cerpen yang bermutu tinggi." Sesiapa yang mengikuti karier Shahnon akan tahu yang dia hanya memandang "sastera serius" dan sastera yang ditulis untuk masyarakat. "Sastera pop" di mata Shahnon hanya permainan di tepi pantai, sementara pengarang sastera serius akan berenang meredah ombak dan badai. Tetapi soal mutu bukan sesuatu yang pengarang patut sibuk fikirkan. Shahnon percaya kerja itu patut diserahkan kepada pengkritik. Esei ini memang panjang dan saya tidaklah bersetuju dengan semua pendapatnya. Tetapi ada satu bahagian saya sangat suka, dan sebenarnya bahagian itu sahaja saya rasa berbaloi untuk dibaca dan dipetik di sini:
 
"Sebelum kita mengarang novel atau cerpen, soal utama iala kita mesti suka menulis, suka memegang pensel atau pen atau mesin taip, suka menurunkan kata hati kita di atas kertas. Ini penting. Kita selalu ada rasa gatal untuk menulis. Tidak ada gunanya kita belajar teori mengarang kalau kita malas mengarang. Di tanah air kita ini terlalu banyak orang menyebut-nyebut berbagai-bagai istilah sastera yang muluk-muluk seperti ilham, inspirasi, tema, plot, watak gigih, watak tak gigih, stream of consciousness, dialog, monolog dan entah apa lagi. Pendek kata mereka cukup ahli dalam bidang teori tetapi berapa keratkah dalam ribuan itu mencipta novel; apalagi mencipta novel yang baik? Ini salahnya kita apabila kita melihat perkembangan sastera hanya dari sudut kegiatan lain; bukan kegiatan mencipta. Dasar utama untuk menentukan perkembangan sihat kesusasteraan kita adalah karya. Lain tidak ada. Biar beratus beribu kita ada badan penulis di setiap pelosok, biar sering kita mengadakan seminar itu ini, biar beberapa kali kita sibuk bermesyuarat untuk meninggikan sastera, kalau orang-orang yang mengakui dirinya pengarang itu tidak mengarang, tidak menulis novel atau cerpen atau sajak, sastera kita tidak akan berkembang. Yang berkembang ialah kegiatan di luar sastera.
 
Ini bukan bererti saya tidak suka pada aktivis-aktivis sastera. Saya sendiri mendukung badan penulis hampir 10 tahun. Saya salah seorang yang kuat menyokong Gapena, tetapi objektif kegiatan-kegiatan seumpama ini hanya untuk menimbulkan suasana kreativiti, menjaga kepentingan pengarang, memberi segala kemudahan kepada pengarang supaya pengarang dengan amat tenteram boleh mengarang, menghasilkan karya-karya yang baik. Jadi, saya berpendapat kita di sini mempunyai satu tugas yang utama iaitu mengarang serta mencari jalan untuk meninggikan lagi mutu karangan kita. Kalaupun hendak bergiat dalam persatuan-persatuan, biarlah ada hadnya. Jangan sepenuh masa kita bergiat dalam aktiviti di luar kreativiti sedangkan kita mengakui diri kita pengarang novel atau cerpen. Orang akan ketawa. Generasi akan datang akan mengutuk kita."
 
Sebagai orang generasi akan datang yang Shahnon sebutkan, saya memang mengutuk, saya mengutuk habis-habisan. Di saat negara kita sedang diperintah oleh pemimpin-pemimpin korup, kenapa persatuan dan aktivis sastera ikut menjadi korup? Ia seolah-olah kalau sastera terbakar, pembaca ikut menjadi hangus, dan kalau negara tumbang ke dasar bumi, rakyat ikut jatuh menjadi korban.
 
   

Comments

Anonymous said…
Terima kasih kerana berkongsi petikan dari esei Shannon. Seperti biasa, kunjungan ke blog ni akan beri pencerahan pada otak sastera saya yang sedikit kegelapan. Cuma saya tak pasti kalau Azriq pernah terbaca buku karangan Arena Wati bertajuk 'Jejak Kreatif'. Pada saya itu antara buku yang membincangkan dengan baik proses penciptaan novel dan ada juga dibincangkan tentang novel-novel beliau dan juga novel-novel dari penulis luar.

Salam.
mohamad kholid said…
Sadis betul ayat2 terakhir tu...

Popular Posts