Tidak Ada Kata, Hanya Imej & Tidak Ada Fakta, Hanya Kata



Saya masih menggunakan blog kerana saya masih membaca dan saya masih membaca kerana saya masih lupa buku-buku yang saya telah baca. Tidak dapat nak dielakkan atau dikawal. Kepala saya adalah lambakkan buku dan apabila diselak setiap halaman saya hanya menemui halaman kosong dari mula hingga ke akhir buku. Jumlah buku yang ada di dunia sekarang (klasik dan kontemporari) mengatasi rak-rak ingatan seorang pembaca.

Minggu lepas saya selesai membaca novel Ridhwan Saidi Brazil dan novel Edouard Leve Autoportrait. Tetapi di atas meja masih ada banyak novel yang belum selesai dibaca (malah ada yang belum selesai diulang baca). Semakin banyak kita membaca semakin kita mendekati sempadan kepada ruang pembacaan kita. Tetapi semakin sempadan itu menghimpit dan menekan minda kita semakin ruang imaginasi kita mengembang dan membebaskan ingatan-ingatan lama daripada kurungan tabiat dan prejudis. Sebab itu saya tidak percaya kepada fakta kerana fakta adalah kebenaran yang minda kita cuba letak pada sesuatu objek alam. Kita kata meja adalah meja atau kucing adalah kucing atau awan adalah awan. Kita tidak mencipta kata-kata ini, kita hanya meminjam kata-kata yang sudah dicipta dan digunakan. Justeru kita memegangnya sebagai fakta kerana fakta adalah kebenaran umum. Tetapi kenapa meja mesti meja dan kucing mesti kucing? Di tangan seorang penyair kucing boleh menjadi meja dan meja boleh menjadi kucing. Kata-kata hanya bayang hitam yang membungkus objek alam. Bila-bila masa bayang hitam itu boleh bertukar bentuk apabila sifat asalnya hilang dalam proses terjemahan.

Membaca Edouard Leve adalah seperti melihat geografi kepada wilayah ingatan kita. Selalunya fiksyen membenam kita ke dalam imaginasi seorang pengarang dan dari situ kita menemui, bak kata Kafka, kunci kepada pintu imaginasi kita sendiri. Jarang sekali ada fiksyen yang boleh memberikan kita mantel Superman dan menerbangkan kita ke atas supaya kita boleh memandang wilayah ingatan kita dengan lebih luas dan objektif. Autoportrait memang menepati falsafah pemikiran pengarang Perancis iaitu minda yang membaca mindanya sendiri. Tetapi berbeza dengan Montagine, Descartes, dan Valery, Leve tidak berminat dengan pembacaan secara mikro dan meditatif. Maka ia bukan soal "Apa aku fikir, maka itulah aku," tetapi lebih kepada "Apa sebenarnya aku fikir, sebelum fikiran aku menjadi aku." Jawapan buat Leve adalah lambakkan potret diri:  

"I can take seafood or leave it. Everything interests me a priori, but not a posteriori. I do not think the dead are malevolent, since they are old people squared, and the old are less malevolent than the non-old. Virtuosity also bores me when it comes to roads: the highway is perfect and perfectly boring. If, driving fast, I don't use windshields wiper, the size of raindrops shrinks by evaporation. I could found an imprint for perversely themed guidebooks on the following subjects: McMansions, dangerous traffic lights, so-called museums, places where there's nothing much to see, places where an archbishop may have slept. Driving alone over a bridge mounted with sky-blue rails I cried out with pointless joy and shouted nonsensical words. Listening to cheerful music is like spending time with people not like me."

Sukar nak memanggil mana-mana daripada karya Leve, sama ada Works atau Autoportrait, sebagai sebuah novel. Knausgaard juga menyandar pada elemen autobiografi, tetapi sekurang-kurangnya novel Knausgaard masih ada jalur naratif yang kita boleh ikut. Dengan Leve, kita tidak menemui sebuah cerita, kita menemui gumpalan cerita, atau kepingan cerita daripada cermin potret yang sudah dipecahkan. Novel menjadi fragmen novel. Ingatan menjadi fragmen ingatan. Hanya penggunaan kata ganti diri "aku" yang kekal konsisten hampir di setiap permulaan ayat. Aku yang bercakap ini bukan gema yang kita dengar di dinding kata-kata. Aku yang bercakap ini sedang berdiri di luar kata-kata.  

Justeru saya tidak melihat Autoportrait sebagai sebuah novel, tetapi saya melihatnya sebagai bingkai kepada sebuah novel. Dan apakah novel di dalam bingkai itu? Novel itu adalah Edourd Leve sendiri: sebuah imej potrait yang lahir daripada gumpalan kata-kata.



 

Comments

Maksudnya, saudara setuju dengan Knausgaard bahawa Autopotrait ialah sebuah autobiografi?
Wan Nor Azriq said…
Saya tidak setuju mahupun setuju kerana tidak ada pendapat Knausgaard yang saya petik di sini.

Popular Posts