Novel Terbaik 2014: The End Of Love



Kenapa kita perlukan senarai? Saya ada terfikir benda itu kebelakangan ini kerana setiap kali kita sampai ke hujung tahun, penulis akan memilih buku kegemaran mereka. Selalunya senarai penulis tidak akan sama. Lebih-lebih lagi kalau ada penulis yang hanya memasukkan karya klasik dalam senarainya. Jadi kalau semuanya subjektif belaka, buat apa nak baca senarai orang lain? Buat sahaja senarai sendiri. Tetapi masalahnya kita jarang ada masa untuk membuat senarai. Jangan kata senarai, nak membaca ulasan buku pun kita kadang-kadang tidak ada masa. Buku yang ada di dunia sekarang sangatlah banyak berbanding seratus tahun dahulu. Pintu masuk ke dalam dunia sastera ada di mana-mana. Seorang pembaca biasa tidak perlu bermula pun dengan buku klasik. Dia boleh membaca Murakami, kemudian perlahan-lahan bergerak ke cerpen Raymond Carver, atau novel noir Raymond Chandler, dan dari situ melangkah lebih jauh ke dalam dunia Hemingway. Dalam hal ini senarai boleh membantu kita membuat pilihan, terutama sekali kalau ada penerangan kepada setiap buku yang dipilih. Mengenali sastera dunia adalah seperti mengenali jiran yang tinggal jauh daripada kita. Ada waktunya kita perlukan nasihat sebelum melangkah masuk ke halaman rumah jiran itu. 

Sebelum saya menjelaskan pilihan novel terbaik saya untuk 2014, saya ingin berkongsi semula novel-novel yang telah masuk senarai lima terbaik: Replacement oleh Tor Ulven, Mood Indigo oleh Boris Vian, Dept. of Speculation oleh Jenny Offill, Faces in the Crowd oleh Valeria Luiselli.    

* * *


Beberapa bulan lalu, ketika saya sedang merancang senarai ini, saya perasan novel-novel dalam senarai akhir saya mempunyai tema cinta. Kebetulan sahaja ia begitu. Nak kata saya tengah mabuk cinta semasa 2014, pun tidak juga (sekadar bermain-main cinta itu biasalah). Sebenarnya saya tidak pernah faham kenapa saya memilih untuk membeli dan membaca sesebuah novel. Dalam kes novel ketiga Knausgaard, saya rasa, sebab saya sudah selesa (malah sering rindu) dengan suara pengarangnya. Tetapi bagaimana dengan The End of Love oleh Marcos Giralt Torrente? Saya tidak pernah membaca Torrente sebelum ini. Namanya pun jarang diperkatakan. Novel ini mempunyai empat buah novela dengan tema cinta (atau kesudahan cinta) mengikatnya menjadi satu tubuh. Saya mula membaca novela ketiga yang berjudul "Joanna" dan di perenggan pertama lagi saya sudah kena kejutan elektrik dalam kepala saya:

"It is odd that at each and every moment life offers us an unspecified number of choices, that we are constantly making choices that changes us, taking certain paths and eschewing others, and yet, when we look back, most of us remember ourselves as children much the same as we are today."     

Ada suara kali pertama kita mendengarnya ia menjadi semacam lubang hitam yang menelan semua kebisingan di sekeliling kita. Nak berundur sudah terlambat. Kita sudah jatuh, dan sekarang harus membaca sehingga ke halaman akhir. Dan apa kita dapat di hujung perjalanan itu? Selalunya kalau ia karya luar biasa, kita tidak akan dapat apa-apa. Hanya kesepian panjang tanpa titik. 

Tiga buah lagi novela dalam The End of Love juga mengasyikkan, tetapi silalah baca sendiri. Saya lebih berminat nak berbicara tentang "Joanna."

Sesiapa yang pernah bercinta dari usia remaja pasti akan setuju bahawa cinta paling indah dan paling diingati adalah cinta pertama, walaupun selalunya cinta di usia itu akan berakhir dengan kesedihan dan kekecewaan. "Joanna" adalah ingatan dan renungan naratornya akan gadis pertama yang dia belajar bercinta, iaitu Joanna. Di permulaan cerita kita mendapat tahu yang si narator tidak ada ibu bapa dan dibesarkan oleh seorang nenek yang sangat tegas sehingga narator tidak ada peluang untuk keluar bermain dengan kawan-kawan selepas waktu sekolah. Satu-satunya peluang dia ada untuk bersosial adalah ketika musim panas, dan pada masa inilah dia bertemu dengan seorang gadis bernama Joanna ketika dia sedang membaca buku di tepi pantai. Joanna adalah gadis paling cantik narator kita pernah temui, tetapi masalahnya Joanna datang dari keluarga aristokrat dan kosmopolitan. Sementara narator kita hanya budak biasa dan naif dari Madrid. Narator kita boleh menyedari hal ini kerana dia sedang bercerita kepada kita dari usianya sekarang, iaitu lelaki dewasa yang bekerja sebagai pengacara radio dan mempunyai keluarganya sendiri (bukan bersama Joanna). Justeru sambil mengingati Joanna, narator kita turut membuat komentar terhadap tindakan-tindakannya di usia remaja itu. Kebetulan saya sekarang memang sedang membaca Proust, dan saya langsung dapat mengenal pasti persamaan antara narator Proust dan Torrente. Kedua-duanya sedang membuat pengakuan dan menyusun semula sisa-sisa memori dari suatu zaman. Masalah dengan kebanyakan kita apabila kita sudah dewasa  adalah kita sering lupa bagaimana kita asalnya seorang kanak-kanak. Kita lupa yang kita pernah berkali-kali gagal dan kecewa sebelum kita akhirnya bangun menjadi dewasa.     

Si narator kita sedar yang dia tidak ada apa-apa persamaan dengan Joanna, kecuali minat mereka pada buku. Kebanyakan waktunya mereka hanya sekadar berpandangan, senyum, berjalan, dan menahan rasa malu di wajah masing-masing. Cinta. Aduh. Antara aktiviti kegemaran mereka adalah melihat rumah-rumah orang sambil berjalan. Tetapi kebahagiaan ini tidak kekal lama. Joanna membawa si narator menemui emaknya dan di situ baru kita  tahu bahawa ada konflik keluarga yang sangat serius antara Joanna dan emaknya. Menurut narator kita, diri sebenar seseorang hanya diketahui apabila kita mengetahui hubungan orang itu dengan keluarganya. Dan ia sangat benar. Tetapi di usia remaja memang kita tidak akan terfikir. Kita belum mampu memahami emosi tersembunyi seorang perempuan. Kita belum mampu membaca perang keegoan antara seorang ibu dengan anak perempuannya.

Kita belum mampu membuat konklusi penting tentang cinta dan perhubungan: ia bermula hanya untuk berakhir.

The End of Love mempunyai persamaan dengan novel Leila Chudori 9 Dari Nadira di mana beberapa cerita panjang dicantumkan menjadi sebuah novel. Bezanya novel Leila menggunakan satu watak utama sahaja untuk kesemua ceritanya, sementara keempat-empat cerita Torrente tidak ada kaitan langsung dari segi hubungan naratif. Namun bahasa kedua-dua pengarang ini ternyata jernih dan mengalir tenang dari halaman ke halaman. Torrente mengingatkan saya yang realisme masih hidup dan ia akan sentiasa hidup selagi adanya masyarakat moden di sesuatu zaman. Kita memerlukan realisme, dan karya sederhana seperti The End of Love, sebagai tiket untuk kita berhenti sekejap, berehat, dan mengatur waktu hidup kita dengan lebih tenang.



   

Comments

Wan A. Rafar said…
Saya rasa surat khabar kita, atau majalah seperti Dewan Sastera, patut membuat senarai novel atau buku terbaik pada satu-satu tahun. Ini akan dapat membantu pembaca memilih dan menilai buku atau karya yang akan dibaca. Dan ini juga akan merancakkan lagi dunia perbukuan dan pembacaan. Majalah TIME ada membuat senarai buku-buku pilihan editornya, begitu juga majalah TEMPO. Beberapa tahun dulu sebuah buku yang memuat buku-buku pilihan pengarang terkenal telah diterbitkan, iaitu The Top Ten. Antara pengarang yang telah membuat senarai buku pilihannya ialah Tom Wolfe, Annie Proulx, Stephen King, Paul Auster dan Jonathan Franzen.
Wan A. Rafar said…
Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah di atas usaha sdr ini. Saya telah mengikuti pilihan sdr dari awal hingga akhir. Wassalam.
Wan Nor Azriq said…
This comment has been removed by the author.
Wan Nor Azriq said…
Terima kasih kerana mengikuti senarai saya walaupun agak lewat saya mengumumkan novel terbaik tahun lepas. Saya fikir kalau majalah atau akhbar kita ingin mengemukakan juga senarai buku terbaik mereka, maka ia tidak boleh terbatas kepada karya di negara kita sahaja. Bukanlah saya ingin merendahkan karya tempatan yang muncul setiap tahun, tetapi buku-buku ini mudah dicari, malah kita tidak perlu pergi jauh untuk dapatkan maklumat tambahan. Tetapi di luar sana, masih ada banyak harta karun yang belum diketahui misterinya oleh pembaca di negara kita. Dan adalah satu kerugian untuk kita sembunyikan misteri ini daripada pembaca.

Popular Posts