Surat Terbuka Untuk Latiff

Itali di Piala Dunia 1982


Abang Latiff Mohidin,

Bolehkah saya panggil abang? Harap abang tidak kisah, kerana ini hanya surat terbuka, dan mungkin atau tidak mungkin abang akan membaca surat ini kerana sekarang adalah musim Piala Dunia di Brazil, dan siapa ada masa nak membaca surat terbuka kalau dia ada masa untuk duduk di depan TV pada jam empat pagi, bersama anak dan isteri, bersama secangkir kopi atau teh, bersama memori-memori nostalgia Piala Dunia lalu, bersama beban kantuk di mata, dan saya pun tidak mahu nak melengah-lengahkan waktu abang membaca surat terbuka ini - kalau abang memang membacanya - kerana saya yakin abang adalah seniman yang serius, dan seniman yang serius harus serius pada kerjanya, dan dia tidak ada masa untuk mengambil hal tentang keruntuhan jalan raya di Kuala Lumpur akibat serengan tentera Autobot dan Decepticon, dia tidak ada masa untuk marah tentang kenaikan harga Roti John dan Murtabak Langkawi di bazar Ramadhan, dia tidak ada masa untuk memparodikan gambar selfi Jokowi dan Jusuf Kalla, dan entah-entah dia tidak ada masa pun untuk melihat Messie menari tango atau Suarez menjadi Hannibal Lector. Tetapi persoalan sebenarnya abang: adakah abang memang menonton Piala Dunia?
 
Tidak kisahlah apa pun pun jawapannya abang. Abaikan sahaja kerana, lihat, TV sudah menyala. Dan abang pun mungkin belum hilang lelah bermain warna di kanvas atau menyusun kata di kertas (kalau abang berbesar hati untuk membaca dan membalas surat ini, mohonlah sertakan juga sajak-sajak contengan abang). Sekarang abang ingin meninggalkan sekejap dunia seni dan kembali ke dunia realiti. Sebagai penonton; bukan sebagai pemain. Walaupun pasukan negara kita tidak ada padang. Kita menyokong negara lain seolah-olah ia adalah negara kita. Saya sendiri menyokong Itali dari dahulu, walaupun orang Itali tidak ada kaitan langsung dengan orang kita. Abang pulak bagaimana? Mungkin pasukan pilihan abang adalah Jerman kerana budaya dan sastera Jerman sangat dekat dengan hidup abang. Malah ia adalah pertaruhan yang baik kerana Jerman memang konsisten lepas sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir. Agaknya kalau Goethe masih hidup, apa dia akan rasa?
 
Tetapi buat apa nak peduli tentang Goethe? Kita nak tengok Malaysia bermain di Piala Dunia. Tidak kisahlah kalau Malaysia dimalukan teruk ketika sepakan penalti. Lihat abang, Brazil telah mengalahkan Chile. Neymar menangis. Kenapa dia nak menangis? Bodoh. Memang sah-sah pasukannya lebih berpengalaman mengambil sepakan penalti. Saya yakin, abang, ramai sahaja yang menyokong Chile kerana ia adalah negara terbuang seperti negara kita, dan ia adalah penawar hati kalau sebuah negara terbuang boleh mengalahkan negara besar seperti Brazil, apatah lagi menjadi juara Piala Dunia. Tetapi ternyata negara terbuang ini telah dikalahkan oleh Brazil. Mimpi indah kita tiba-tiba bertukar menjadi mimpi ngeri. Buat penyokong Chile, mereka kecewa bukan sebab Chile kalah; mereka kecewa kerana mereka melihat diri mereka kalah. Ya, bangsa yang terbuang tidak akan pernah bangkit menjadi bangsa yang besar. Tunggu sahaja lagi empat tahun. Dan memang pun, setiap empat tahun sekali, manusia dari negara-negara terbuang di seluruh dunia terus berharap negara mereka akan bangkit dan menjadi juara. Seolah-olah dengan menjadi juara Piala Dunia, mereka dapat menghapuskan sejarah luka dan malu bangsa mereka. Menonton Piala Dunia adalah menonton mimpi ngeri yang berulang, kecuali buat mereka yang tidak pernah ada sejarah mimpi ngeri.
 
Saya sebenarnya ada banyak soalan untuk abang. Semuanya tentang puisi dan sasterawan negara.  Tetapi itu dalam surat terbuka yang lainlah saya tanya. Oh, sudah habis perlawanan? TV sudah ditutup? Abang sudah mengantuk ke? Baik-baik, soalan terakhir saya, dan seorang seniman pasti bijak meramal masa depan: Pasukan mana abang rasa akan menang Piala Dunia kali ini?
 
Salam dari saya.
 
        

Comments

Popular Posts