Novel Terbaik 2013: My Struggle


Saya adalah pembaca yang sentiasa berubah pendapatnya. Ini tidak boleh dinafikan. Bagi mereka yang lebih senang mengikuti sistem pemikiran yang konsisten dan kukuh, akan mendapati saya bukanlah teman bicara yang baik. Saya jarang membantah; dan saya juga jarang bersetuju. Justeru seorang teman pernah membisikkan kepada saya bahawa saya tidak disenangi oleh sesetengah orang kerana wajah pendapat saya tidak jelas. Hingga ke hari ini, ia membuat saya terfikir: adakah itu bermaksud pendapat saya tidak jujur?

Tidak ada jawapan mudah. Saya hanya boleh turunkan di sini kata-kata William James yang saya kutip daripada jurnal Joyce Carol Oates (antara jurnal paling bermakna dalam koleksi saya): We are not the readers but the very personages of the world drama. Saya percaya James membangunkan idea ini daripada falsafah Hindu yang meletakkan manusia sebagai penonton kepada drama kehidupannya sendiri. (Idea sama akan diulangi oleh Borges.)

Kita adalah pewaris kepada seribu wajah manusia. Mungkin lebih. Saya tidak fikir dalam hidup seseorang itu, dia akan dapat menjadi semua wajah ini. Ada banyak halangan yang akan membataskan kita: budaya, waktu, jarak, politik, usia, takdir, dan keegoan diri. Sebab itu manusia memerlukan karya seni: dia memerlukan cetusan inspirasi untuk mmembenarkan wajah lain menggantikan wajahnya. 

Setiap kali kita menukar-nukar wajah di kepala kita, pasti akan ada idea yang saling bertentangan; idea yang saling berbicara, dan mungkin  saling mempengaruhi atau mengkhianati; idea yang tidak konsisten dengan idea kita sebelum ini. Ia akan berlaku apabila kita membaca sebuah novel. Buat sementara, kita menanggalkan wajah kita, dan kita mempertimbangkan wajah-wajah yang ditawarkan oleh seorang novelis (termasuk wajahnya). 

Adalah tidak wajar, rasanya, untuk saya mempertahankan kejujuran pendapat saya. Namun, sebagai pembaca, saya bebas apabila saya ingin mempertimbangkan kejujuran seorang penulis. Permintaan saya tidak tinggi. Saya cuma ingin membaca buku yang boleh menghiburkan saya. Borges kata kita harus membaca untuk kebahagiaan. Dan ini sangat betul: kita tidak patut membaca buku yang akan membuat kita merana. Abaikan sanjungan orang lain. Masa hidup kita adalah singkat. Baca buku yang kita ingin baca. 

Dalam novel-novel yang saya baca sepanjang tahun ini, nilai kejujuran itu hadir dengan cara berbeza. Pemilihan kata, penyusunan ayat, permainan naratif, dan pembangunan struktur sebuah novel tidak dapat dipisahkan dengan kejujuran imaginasi pengarang. Semakin luas dan kompleks imaginasi itu, maka ada kemungkinan akan semakin mencabar bentuk yang seorang novelis perlu gunakan bagi membawanya. Apabila ia berjaya, kita mendapat kejutan. Malah kita akan ikut percaya bahawa tidak mungkin ada cara lain novel ini patut dihasilkan. Setiap kali saya membuka sebuah novel, itulah emosi utama yang saya cari: kejutan. Maka enam novel yang masuk senarai akhir saya bukan saja novel-novel yang mengejutkan, serta mengujakan, tetapi juga adalah karya yang mengubah kefahaman saya tentang pembacaan (dan penulisan) sebuah novel. 

Kejujuran bukan segala-galanya dalam penulisan. Ia hanya permulaan: ibarat papan anjal sebuah kolam renang - selepas seorang novelis telah terjun ke dalam air, ke manakah akan dia membawa ceritanya? 

Inland
oleh Gerald Murnane


Ini adalah novel tentang penulisan; ini adalah novel tentang bahasa; ini adalah novel tentang Australia; ini adalah novel tentang memori. Tetapi saya kira ia juga adalah novel tentang pemetaan. Kita membaca Inland sama seperti kita membaca selembar peta di atas meja: kita menyusuri halaman-halaman novel ini, serta lapangan cerita di dalamnya, bagai seekor burung helang di angkasa. Ini tidaklah susah sangat; tetapi bagaimana kalau naratif turut masuk ke dalam lapangan memori helang itu? Ia membuat pandangan kita kabur sehingga kita tidak tahu adakah kita sedang menyaksikan latar sebenar atau latar memori saja. Malah bahasa Murnane dalam novel ini juga kabur seolah-olah dalam satu ayat itu Murnane sedang membersihkan cermin lama yang sangat kotor dan kusam. Bahasa yang indah seharusnya bantu kita menjelaskan emosi dan ingatan yang kabur. Tetapi bagaimana kalau bahasa tidak lagi indah? Bagaimana kalau bahasa tidak lagi mampu merungkaikan benang fikiran kita yang setiap hari semakin berpintal-pintal? 

Barangkali manusia di masa depan akan terperangkap dalam ruang fikirannya sendiri. Dunia telah dihancurkan oleh pemanasan global, peperangan agama, dan peperangan teknologi. Manusia hanya mampu terlentang dalam keranda masing-masing dengan sebuah mesin mimpi melekat di kepalanya. Saya tertanya-tanya, pada masa itu, adakah Murnane akan diangkat sebagai novelis yang agung? 

9 Dari Nadira
oleh Leila S. Chudori


Adalah sukar untuk saya membaca novel Indonesia setelah menemui Cantik Itu Luka. Ia seolah-olah ada orang telah melepaskan semua binatang di zoo dan kini kita sedang menyaksikan karnival huru-hara di tengah kota. Sekiranya akan ada novelis hebat selepas Eka Kurniawan, maka tugas pertama novelis itu adalah mengembalikan semua binatang ini ke dalam sangkar. Leila S. Chudori bukanlah orang itu; tetapi sekurang-kurangnya dia menawarkan jalan keluar kepada saya untuk masuk ke dalam dunia milik seorang perempuan bernama Nadira Suwandi. 

9 Dari Nadira secara mudahnya adalah 9 potret tentang Nadira. Setiap satunya boleh dibaca sebagai cerpen; setiap satunya ditulis dengan cara berbeza; dan setiap satunya adalah dunianya sendiri. Buat pembaca Malaysia, novel ini akan mengingatkan kita kepada novel terkenal Anwar Ridhwan, Naratif Ogonshoto, yang menggunakan struktur sama. Dunia Ogonshoto adalah cerita tentang sebuah pulau; sementara dunia Nadira adalah liku-liku hidup seorang gadis yang kehilangan ibunya setelah membunuh diri. Kalau novel ini disusun secara lazim, pasti tidak akan ada apa-apa keistimewaan. Namun apabila kita mendapat 9 potret, kita seperti mendapat 9 serpihan memori Nadira, dan terserah pada kita ingin bermula di mana. Bahagian paling memikat saya - dan ia juga cerpen pertama saya baca - adalah yang berjudul Sebilah Pisau. Ia diceritakan oleh Kris, salah seorang designer di majalah Tera, tempat Nadira bekerja sebagai wartawan. Hanya sekali ini saja kita akan bertemu Kris, tetapi ada sesuatu tentang cara dia menggambarkan perwatakan Nadira yang sangat melekat di fikiran saya setiap kali mendengar suaranya.

9 Dari Nadira dipilih setelah saya mempertimbangkan novel Putu Wijaya, Ayu Utami, Nukila Amal, Budi Darma, dan Ratih Kumala. Sepanjang tahun, hanya novel ini (bersama Cantik Itu Luka) yang kekal di meja saya sebagai rujukan dan teman hiburan. Itu saja sudah cukup untuk saya anggapnya sebagai novel terbaik.

The Third Policeman
oleh Flann O' Brien


The Third Policeman: novel terbaik abad kedua puluh yang tidak dibaca. Ulysses mungkin adalah bangunan Eiffel Tower bagi sastera avant garde; tetapi makhota emas di puncak menara itu adalah milik The Third Policeman. Seorang perompak berkaki kayu telah kehilangan sebuah kotak yang dicurinya tiga tahun lalu dan dalam perjalanan mencari kotak tersebut, dia menemui bangunan, anggota polis, objek, dan peristiwa-peristiwa aneh: bilik di bawah tanah yang dipanggil Eternity di mana waktu kekal kaku; balai polis berbentuk segi tiga; balai polis di dalam dinding sebuah rumah; orang menunggang basikal; orang dengan tubuh berbentuk basikal! Kegilaan novel ini mungkin akan membuat kita lupa bahawa ia novel yang sangat bijak apabila membincangkan hal-hal kematian, alam semesta, bahasa, dan waktu. Paling mengejutkan saya selepas membacanya - dan jari-jari saya sudah kecut basah ketika sampai di pertengahan buku - adalah ia sangat nipis, kalau nak dibandingkan dengan gergasi Joyce atau Mann. Ini adalah novel anda patut bawa untuk hidup abadi di bulan.

Spurious
oleh Lars Iyer

We are Brod and Brod, we agree, and neither of us is Kafka. Saya perkenalkan W. dan Lars. Spurious adalah novel tentang persahabatan mereka. Itu saja. Di mana plotnya? Oh, saya baru sebut tadi, iaitu persahabatan antara Lars dan W.. Selain daripada itu, yang akan ada hanya pertengkaran antara W. dan Lars; W. dan Lars bercakap tentang Blachot dan Bela Tarr; W. dan Lars di dalam kereta api; W. dan Lars tidak melakukan apa-apa; W. dan Lars bergaduh lagi tentang kedatangan akhir zaman.

Spurious bukan sebuah novel. Lebih kepada tembok grafiti seperti yang ada di tebing Sungai Klang. Ia tidak mempunyai cerita kerana ia adalah manifesto. Ia adalah manifesto yang ingin menjadi manifesto tanpa mampu menawarkan sebarang manifesto kepada kita, kecuali kesukaran untuk mencipta suatu manifesto. Berbeza dengan Lars dan W., Lars Iyer mempunyai manifesto sendiri berjudul Nude in Your Hot Tub, Facing the Abyss (ada di sini) yang mengumumkan bahawa Kesusasteraan telah runtuh. Mungkin sebab itu Lars Iyer memulakan Spurious sebagai blog (ada di sini) sebelum ia dicetak sebagai sebuah novel. Blog adalah rumah tanpa tradisi: tidak ada kubur keramat dan hantu yang menghuni bilik-biliknya. Seorang itu boleh menulis dengan lebih jujur. Spurious adalah manifesto yang jujur kerana akhirnya ia memperkatakan kebenaran yang semua orang tidak mahu dengar - sastera telah sampai ke penghujung jalan. 

The Summer Book
oleh Tove Jansson

  
Setiap tahun saya akan cari buku yang saya panggil sebagai novel makan angin (atau gateway novel). To the Lighthouse karangan Virginia Woolf masih bacaan tahunan sampai sekarang. Sebuah novel makan angin akan mengajak kita berjalan dan bersiar-siar; ia akan menjemput kita bercuti di tempat yang indah. Sesuai dengan judulnya, The Summer Book adalah pengalaman musim panas di atas sebuah pulau di Finland. Sebagai orang Timur, saya tidak tahu apakah itu pengalaman musim panas; namun saya boleh membayangkan keseronokan bercuti bersama keluarga di tempat yang terpencil. Seperti novel Virginia Woolf, The Summer Book adalah tentang hubungan seorang perempuan dengan keluarganya. Lebih spesifik: ia adalah cerita persahabatan antara seorang gadis bernama Sophia dengan neneknya di atas pulau tersebut. Ayah Sophia juga kadang-kadang muncul bersama mereka, tetapi suaranya tidak pernah didengar. Barangkali Sophia tidak mahu mendengar. Lagipun ini adalah pengalaman musim panas Sophia bersama neneknya. Saya tidak tahu jika ada hubungan lebih mesra dan kasih sayang antara dua orang watak dalam mana-mana novel saya pernah baca.

Ada satu lagi watak penting dalam novel ini iaitu pulau itu sendiri:

The wind blew and blew. The wind was always blowing on this island, from one direction or another. A sanctuary for someone with work to do, a wild garden for someone growing up, but otherwise just days on top of days, and passing time.

My Struggle: Buku I dan II
oleh Karl Ove Knausgaard  


Ketika membuat senarai ini, novel Karl Ove Knausgaard adalah pilihan sangat jelas. Saya tidak mungkin boleh pilih novel lain. Biar saya kutip bahagian awal daripada buku pertama iaitu Death in the Family dan anda akan nampak maksud saya:

It might thus appear that death is relayed through two distinct systems. One is associated with concealment and gravity, earth and darkness, the other with openness and airiness, ether and light. A father and his child are killed as the father attempts to pull the child out of the line of fire in a town somewhere in the Middle East, and the image of bodies to shudder, as it were, is caught on camera, transmitted to one of the thousands of satellites orbiting the earth and broadcast on TV sets around the world, from where it slips into our consciousness as no depth, no time and no place, and nor do they have any connection to the bodies that spawned them. They are nowhere and everywhere. Most of them just pass through us and are gone; for diverse reasons some linger and live on in the dark recesses of the brain. An off-piste skier falls and severs an artery in her thigh, blood streams out leaving a red trail down the white slope; she is dead even before her body comes to a halt. A plane takes off, flames shoot out from the engines as it climbs, the sky above the suburban house is blue, the plane explodes in a ball of fire beneath. A fishing smack sinks off the coast of northern Norway one night, the crew of seven drown, next morning the event is described in all the newspapers, it is so-called mystery, the weather was calm and no mayday call was sent from the boat, it just disappeared, a fact which the TV stations underline that evening by flying over the scene of the drama in a helicopter and showing pictures of the empty sea. The sky is overcast, the grey-green swell heavy but calm, as though possessing a different temperament from the choppy, white-flecked waves that burst forth here and there. I am sitting alone watching, it is some time in spring, I suppose, for my father is working in the garden. I stare at the surface of the sea without listening to what the reporter says, and suddenly the outline of a face emerges. I don't know know how long it stays there, a few seconds perhaps, but long enough for it to have a huge impact on me. The moment the face disappears I get up to find someone I can tell.

Kita adalah antara orangnya. Melalui dua buah novel (masih ada empat belum diterbitkan dalam bahasa Inggeris) dalam siri My Struggle, Karl Ove Knausgaard memberikan wajah dia sebenar-benarnya kepada kita. Dia tidak mengubah sebarang fakta ketika mengarang novelnya, malah nama narator juga adalah Karl Ove. Sangat menakjubkan bagaimana pengakuan seorang novelis tentang hari-hari kemurungan selepas kematian si ayah (A Death in the Family) dan kehidupan mendatar serta konflik suami isteri (A Man in Love) boleh melukakan, mempengaruhi, dan menenggelamkan emosi saya seolah-olah saya menjadi Karl Ove sepanjang tempoh membaca novelnya. Kalau kita perhatikan kutipan di atas, kita akan nampak yang Karl Ove adalah seorang pencerita dan juga penulis esei yang bagus. Dia boleh mengangkat suasana biasa di rumah dan menjadikan ia sesuatu yang serius, meditatif, dan indah.

Pengakuan Karl Ove Knausgaard bukan saja jujur buat dirinya, tetapi ia juga adalah pengakuan jujur buat diri kita sebagai pembaca. Merapatkan dua jurang itu adalah sumbangan terbesar Karl Ove Knausgaard kepada tradisi penulisan novel di abad ini.  

* * *

Selain daripada enam novel di atas saya ingin juga menyebut beberapa novel yang saya anggap bagus dan memang masuk ke dalam senarai pendek.  

Joseph Walser's Machine oleh Goncalo M Tavares (nyaris dipilih sebagai salah satu novel akhir).


Our GG in Havana oleh Pedro Juan Gutierrez (novel paling keras saya baca dan sangat melucukan)

The Third Reich oleh Roberto Bolano (antara novel pertama paling memuaskan saya baca; kegeniusan Bolano sudah jelas di sini)


Mr. Vertigo oleh Paul Auster (ada banyak buku Auster saya baca tahun ini, tetapi cerita Encik Vertigo adalah yang paling hebat)

  
A Man Asleep oleh Georges Perec (sangat nipis, tetapi ini adalah novel ubat buat mereka yang malas bangun daripada katil, termasuk saya)

      

Comments

Popular Posts