2014: Tahun Membaca Kafka

Kafka adalah pilihan yang peribadi kerana saya sudah lama tidak membaca Kafka. Saya lebih banyak membaca karya kontemporari sekarang berbanding tulisan-tulisan klasik seperti Kafka atau Cervantes atau Flaubert atau Chekhov (semua nama ini adalah antara penulis kegemaran yang saya pernah membaca hampir setiap hari ketika masih belajar di universiti). Adakah saya sudah bosan dengan karya klasik? Tidak juga. Saya rasa sebab utamanya adalah kerana saya lebih banyak menulis fiskyen sekarang berbanding empat atau lima tahun lalu, dan apabila anda sedang mencipta dunia asing menggunakan kata-kata, anda memang memerlukan bahasa dan sudut pandang yang dekat dengan kehidupan sekeliling anda. Macam Martin Amis pernah kata, "Penulis itu mesti sekurang-kurangnya berada dalam satu abad dengan anda." Mungkin sebab itu juga saya tidak pernah mempunyai hubungan intim dengan novel-novel generasi "sastera masyarakat" kerana saya membesar dalam suasana yang lebih dekat dengan dilema manusia asing seperti Kafka dan Murakami berbanding manusia masyarakat seperti yang dilukiskan oleh Shahnon dan Arena. Ya, Kafka memang datang dari abad yang sama dengan Shahnon dan Arena; tetapi bukankah novel dan cerita Kafka terasa lebih dekat dengan abad kita? Kafka adalah antara penulis saya sentiasa cuba untuk elak daripada dipengaruhi kerana Kafka - seperti Borges - adalah pengaruh yang buruk buat mana-mana penulis muda. Hanya Kafka seorang boleh menjadi Gregor Samsa. Saya tidak ada masalah dengan pengaruh, malah saya sentiasa mencarinya, tetapi selamatkah seorang penulis itu apabila dia sudah jatuh ke dalam dunia Kafka? Mungkin tahun depan saya akan tahu sendiri. Saya memilih Kafka sebagai alasan untuk memaksa diri membaca Kafka semula. 

(Moga saya ada masa juga untuk kembali membaca Murakami dan Chekhov.)    

Comments

Popular Posts