William H. Gass: Membina Kalimat

Perpustakaan peribadi Gass yang dikatakan mempunyai lebih daripada dua puluh ribu buah buku

"In any event and after many years of scribble and erasure, I came finally to the belief that sentences were containers of consciousness, that they were directly thought itself, which is one thing that goes on in consciousness, but they were other things as well, in more devious, indirect ways. Insofar as the words referred, they involved - through those designations - our perceptions; thus a good sentence had to see and hear and smell and touch or taste whatever it was supposed to see and hear and smell and touch or taste; that acuity and accuracy of sensation was, in those sentences that invoked it, essential. Even in sentences that describe a thought instead of a perception, the thought has to be well seen."
(Fragmen daripada esei William H. Gass berjudul Form.)

Membaca prosa untuk belajar membina dan menyusun kalimat ialah disiplin yang semakin pupus. Ia ibarat seorang pendekar samurai yang ingin terus menunggang kuda ke medan perang tanpa terlebih dahulu ingin belajar mengasah pedangnya. Atau dia adalah pendekar abad kedua puluh satu yang telah menonton semua filem Kurosawa dan fikir dia layak menggerlar dirinya seorang samurai tulen.

Apakah ceritanya? Siapa watak utama? Di manakah ia berlaku? Apakah kaitannya dengan hidup aku? Ya, soalan-soalan biasa kita dengar. Pembaca inginkan naratif yang mudah dan cepat; mereka inginkan kalimat yang pendek dan ringkas; mereka yang inginkan bahasa yang "senang" difahami. Tidak perlu nak berseni dan bermetafora segala; bagi saja terus mesejnya. Permintaan sebegini dituntut seolah-olah bahasa adalah perjalanan kereta api ekspress yang mesti dikejar sebelum terlepas. Tetapi kebanyakan pembaca memang terlepas pun kereta api itu; mereka terlepas kerana mereka masih sibuk merungut dan menjerit kepada penjual tiket tua dan pemalu di belakang meja kaunter sebuah stesen usang di tengah kota. 

Antara kepuasan membaca esei yang bagus ialah ia mengajar kita semula untuk membina kalimat seperti mana seorang pesakit angin ahmar diajar semula untuk berjalan oleh doktornya. Kita boleh mendapatnya juga daripada fiksyen; tetapi bukan semua fiksyen berminat untuk bangun dan keluar berjalan. Setahu saya, kebanyakan fiksyen lebih suka mengurungkan pembaca di dalam mindanya sendiri.

Ketika saya membaca buku kumpulan esei William H. Gass berjudul Finding a Form, saya terkejut sekejap, dan hampir terketawa dalam hati: nampaknya masih ada penulis esei yang berminat dengan kalimat dan retorik. Saya sangka spesis manusia seperti Gass hanya boleh ditemui di zoo atau muzium buruk di dalam istana. Kalau Harold Bloom boleh menulis novel, barangkali dia akan menulis seperti Gass (kedua-dua orangnya berperut buncit); dan kalau Gass hanya menulis kritikan seumur hidupnya, barangkali dia akan menulis seperti Harold Bloom (serta Henry James; bayang yang berbicara di sebalik setiap kalimat eseinya). Gass menolak label pascamoden dan mengakui dirinya sebagai penulis akhir modernisme. Ia tidak mengejutkan: penulis pascamoden bukan penggali kubur bahasa. Sementara pendeta modernisme seperti Gass sentiasa ingin menggali ke masa silam. Tetapi saya fikir sudah agak lewat untuk Gass masih meneruskan kerja-kerja menggali ini. Bukankah semua tanah tradisi sudah diterokai di awal abad kedua puluh? Yang tinggal buat Gass ialah sisa tanah perkuburan. Namun nampaknya Gass selesa saja menggali di situ.
        

Comments

ghost writer said…
kalaulah semua permintaan yang dituntut itu dipenuhi oleh semua penulis, marilah kita memulakan dengan membaca buku sejarah dan geografi.

Popular Posts