Dua Puisi Kabur A. S. Amin

Illustrasi oleh Daniel Horowitz


Dunia Kosong

Dunia kosong dan kau terpacak di simpang
merebakkan api membara menyala
mengalirkan darah menyilau di tanah
berseraklah tengkorak menyamai sampah

Tinggallah yang bisu kaku
gadis-gadis kehilangan kasih hatinya
ibu-ibu memimpikan anak-anaknya
isteri-isteri kehilangan suaminya

Kepada siapa sesalan hati
ataukah takdir dari Illahi?

Ada tangan kejam sekali
bersikap kasar menyalakan api.

Kepada Manusia

Sinar bulan
meniti di tangga
hati bimbang dan rawan
ketika musim menjelma.

Hidup pertama
bertapak awal dan akhir
senyum di kota
digoda lahir.

Langit berkaca
suara dibina
suara segala manusia.


Antara tiga orang penyair kabur yang muncul sekitar tahun 50-an di Malaysia, A. S. Amin ialah yang paling kuat dan ketat susunan kalimat puisinya. Adakah puisinya memang kabur dan susah difahami? Tidak; tidak sama sekali. Malah label "kabur" yang dikenakan pada A. S. Amin dan dua orang rakannya ialah antara tragedi paling besar dalam sastera negara kita. Tidak dinafikan, mereka muncul terlalu awal - dan mungkin juga terlalu tergesa-gesa - untuk zaman itu. Tetapi kritikan yang mereka yang terima tidak dibantu oleh tulisan Noor S. I. yang cuba mempertahankan puisi kabur:

"Penyajak harus bebas memilih pengertian-pengertian untuk sajak-sajaknya: ekspresionisme, impresionisme, simbolisme, atau realisme dalam menyatakan  satu-satu sifat perjuangan, masyarakat ataupun percintaan. Dan bebas menggunakan perkataan-perkataan untuk sesebuah ayat dan menyusun bentuk di dalam sajak-sajaknya. Sebab itulah sehingga mana ada waktunya sajak-sajak itu membawa kesukaran orang untuk memahamkannya."

Kebebasan bukan di tangan pengarang. Itu yang Noor S. I. tidak faham di sini. Dia menulis puisi bukan menggunakan bahasanya sendiri (wujudkah bahasa yang peribadi?) melainkan bahasa puisi yang ternyata bukan miliknya sebaik saja kata diturunkan di atas kertas. Setiap kata adalah bicara dengan ruang; setiap kata adalah dialog dengan kesepian; setiap kata adalah hubungan dengan kata yang tidak boleh dilihat dan dibaca. Setiap kata membangunkan kata dari dalam memori. Setiap kata, dalam kata mudah, tidak pernah bebas kerana  ia hadir sebagai tubuh dan suara kepada yang kata-kata yang telah mati dan dilupai. 

Penyair yang menuntut kebebasan kata ialah penyair yang masih belum membebaskan kata. Dan ia terbukti dalam kebanyakan sajak Noor S. I. Macam mana dia ingin membebaskan kata kalau penanya masih sibuk membina jambatan angin untuk kata turun dari matahari, bulan, bintang, dan hujan? Baris-baris sajak Noor S. I. itu rapuh dan tidak teratur. Kata cinta dan harapan yang dibawa turunnya dari langit tidak dapat dipegang dengan terlalu lama oleh kita. Ya, memang susah untuk faham kerana memang tidak ada imej untuk dipegang apatah lagi difahami. 

Namun, untuk berlaku adil kepada Noor S. I., masalah kepenyairannya ialah masalah yang masih berterusan dalam puisi di negara kita. Buka saja Dewan Sastera atau Mingguan Malaysia: akan ada di situ sajak-sajak yang sangat "kabur" dan ditulis oleh penyair-penyair yang berbangga kerana mereka telah mencipta karya yang "berlapis-lapis" makna dan perlu dibaca "berulang-ulang" kali. (Oh, berapa kali agaknya kata perlu diperah baru akan meleleh keluar makna ke atas telapak tangan kita?) Hanya mereka yang tahu!

Kekaburan tulisan penyair kabur tidak pernah berakhir. Ia diwarisi dan menghantui penulisan puisi di Malaysia. 

Apabila kita membandingkan A. S. Amin dengan Noor S. I., kita akan perasan yang tidak ada beza sangat antara mereka berdua. A. S. Amin memancing inspirasinya dari tempat yang sama iaitu alam. Tetapi dunia Amin ialah dunia yang hitam dan bergelora. Alamnya bukan taman untuk orang muda bercinta, melainkan "penjara dunia/ dengan seribu mimpi berganda." 

Kalau dalam puisi Latiff Mohidin alam itu telah terluka dan menangis untuk diselamatkan oleh penyair; dalam puisi A. S. Amin, alam itu berada di ambang kehancuran. Sewaktu kali pertama saya membaca puisinya berjudul Dunia Kosong, saya terkejut dan tidak percaya. Betulkah ini ditulis pada tahun 50-an? Imej yang dibina dari awal hingga akhir puisi ini sangat menakutkan. Di baris pertama, ia menyatakan dunia ini telah kosong kerana ia sedang terbakar dan di sana-sini "berseraklah tengkorak menyamai sampah."

Namun makna dan kebenaran sebenar puisi ini hanya muncul di stanza terakhir (dan ia adalah antara pengakhiran puisi terbaik di Malaysia) apabila ia menyebut "Ada tangan kejam sekali/ bersikap kasar menyalakan api." Siapakah orang ini? Dari mana dia datang? Kenapa dia ingin membakar dunia menjadi kosong?

Kata tidak pernah menjadi kabur kalau ia mengandung kebenaran yang jelas, dan ada waktunya, kebenaran yang menakutkan.

Comments

Anonymous said…
Salam,

Baik sajak itu kabur atau terang bersuluh, saya selalu ingin membaca sajak-sajak (moden) Melayu kita menurut acuan banyak orang. Tapi paling cenderung pada "Ars Poetica"-nya Archibald Macleish atau pun kredo sajak Sutardji CB (walaupun kadang kala membaca kredo asal Tardji itu membuatkan kita jadi ingat ke cara Takuan Soho mengajar seni Bushido ke Musashi).

Menurut saya, idea sajak A.S Amin memang benar dahsyat, tetapi, jika dibaca struktur bahasa dan gaya ucapan yang digunakan, ia memang mematuhi satu sisi ciri-ciri khas pengucapan zaman 50-an. Saya menemukan gaya A.S Amin ini di sela-sela sajaknya Roestam Effendi dan Amir Hamzah (kalau tidak pada sajak-sajak Chairil Anwar sendiri).

Atau mungkin sahaja saya masih teringat-ingat Kassim Ahmad dengan sajak Dialog atau Sidang Roh itu juga.


Wassalam,
Ubakh

Popular Posts