Komedi Plot & Bentuk

Kotak dalam Kotak


Encik A turun dari biliknya dan melihat kotak itu masih berada di atas meja; dia duduk; dan mempertimbangkan setiap lapisan, setiap kotak, setiap ruang, setiap sempadan, setiap dunia dalam dunia; lalu dia bertanya dalam fikirannya, seolah-olah ini ialah pertama kali dia turun dari biliknya dan duduk mempertimbangkan kotak tersebut setiap pagi, dan bertanya, iaitu pertanyaan terhadap pertanyaan Kafka terhadap plot dan bentuk: pertanyaan yang dia bayangkan sebagai sebuah kotak Cina; dan ia mencetuskan kembali dalam fikiran Encik A tentang Encik A dan sebuah meja dan sebuah kotak di lapisan pertama dan turun ke lapisan kedua dan turun ke lapisan ketiga dan ke lapisan seterusnya sehingga ke kotak paling bawah; dan ia mencetuskan dalam fikiran Encik A di situ untuk membayangkan Encik A lapisan pertama di atasnya dan Encik A lapisan kedua di atasnya dan Encik A lapisan ketiga di atasnya dan apabila Encik A sampai ke Encik A yang menatap Encik A ia mencetuskan dalam fikiran Encik A dan Encik A tentang Encik A yang menulis tentang Encik A dari atas ke bawah, dan juga dari bawah ke atas, dan Encik A yang membaca Encik A dari bawah ke atas, dan juga dari atas ke bawah; dan dari kedua-dua arah Encik A dan Encik A ketawa kepada ketawa yang satu lagi.


Comments

Popular Posts