Roberto Bolano & Penulisan Esei


Suatu kelebihan penulis dari Dunia Ketiga berbanding penulis Dunia Pertama ialah beban tradisi. Dan juga beban kanon - dia tidak dipandang atau dipercayai pun akan masuk ke dalam gereja keramat itu. Dia lebih bebas kerana tradisi kesusasteraan moden negaranya masih kecil ibarat anak yang baru dilahirkan oleh sastera. Dia mempunyai lebih banyak ruang untuk bermain dan mencipta permainan sendiri berbanding saudara-saudaranya dari Barat kerana dia ialah orang yang sentiasa berada di luar sastera, sementara mereka terperangkap di dalam. Dia lebih dinamik - untuk dinamik maksudnya penulis itu perlu sihat dan waras - kerana di kamar penulisannya tidak ada hantu - tidak ada Shakespeare atau Dante atau Austen - untuk mengganggu dan merasuknya ketika menulis. Tetapi kadang-kadang ada juga. Semasa membaca Henry James saya selalu terbayang Henry James ada di sebelah saya seperti seorang pengetua memerhatikan muridnya - mujurlah dia bukan pengetua yang garang. Untuk penulis seperti Roslan Jomel, Eka Kurniawan, Shahnon Ahmad, dan Zainal Rashid barangkali pengalaman mereka berbeza apabila berdepan dengan Marquez: barangkali Marquez ialah ibarat seorang pak cik kesayangan dari seberang - dari Macondo - yang pulang membawa mainan-mainan mewah untuk anak buahnya: kita boleh membayangkan mereka menjadi leka dan asyik dengan mainan-mainan magis ini. Untuk Borges mainan-mainan itu datang daripada Kipling dan Robert Louis Stevenson. Untuk Roberto Bolano ia datang dari Borges, Julio Cortazar, dan Nicanor Parra:


"My friend Marcial Cortes-Monroy takes me to visit Nicanor Parra. As far I'm concerned, Parra has long been the best living poet in the Spanish language. So the visit makes me nervous. It makes no sense when you think about it, but the truth is I'm nervous: at last I'm going to meet the great man, the poet who sleeps sitting in a chair, though his chair is sometimes a flying chair, jet-propelled, and sometimes a chair that drills down into earth, but anyway, I'm going to meet the author of Poems and Antipoems, the most clear-sighted-resident of this island-corridor that is strolled from end to end by the ghosts of Huidobro, Gabriela Mistral, Neruda, de Rokha, and Violeta Parra, looking in vain for a way out.

... I listen to him talk - live - and then I watch a video of him talking about Louis Oyarzun and I feel like I'm falling into an asymmetrical well, the well of the great poets, where all that can be heard is his voice gradually mingling with other voices..."

Mitos Bolano itu ialah seperti mitos Kafka dan Pessoa. Ia dicipta selepas kematian penulisnya. Pembaca sentiasa menanti karya terbaru mereka yang akan ditemui dan kemudian diterjemahkan oleh sarjana seolah-olah penemuan mitos mereka itu ialah penemuan lombong emas di tengah sebuah hutan atau di puncak pergunungan Andes (tempat mitos Bolano didirikan). Bolano telah memberikan kepada pembacanya The Savage Detectives dan 2666 - ia memerlukan masa yang agak lama sementara semua bahan jenayah dan puzzle tinggalan Bolano dalam kedua-dua buku ini dapat dikumpul dan diselesaikan. Tetapi pernahkah ia diselesaikan? Pernahkah sebuah karya sastera berhenti menawarkan misteri kepada kita? Lebih penting - dan ini ialah emosi atau idea yang muncul apabila kita selesai membaca penulis seperti Bolano - pernahkah sebuah karya sastera siap ditulis? Untuk pembaca Borges kita tahu misteri ini tidak pernah selesai. Enrique Vila Matas menggambarkan kaedah kepengarangan Borges - dan juga dirinya - sebagai parasit yang menempel pada karya penulis lama; dia mempengaruhi; dia mengubah; dia memparodikan; dia mencipta semula karya tumpangan tersebut seolah-olah hanya melalui sastera, dan bukan kehidupan, parasit ini dapat mencari sumber untuk ia bernyawa.

Sekiranya fiksyen ialah misteri, bagaimana pulak dengan penulis fiksyen tersebut? Kita jarang sekali dapat mengetaui biografi lengkap seorang pengarang kerana biografi itu sendiri terhapus sebaik sahaja ia diturunkan ke dalam kata-kata. Sastera mengubah fakta kehidupan untuk kepentingan dirinya. Yang ada untuk kita hanya sebuah karya atau himpunan karya seorang pengarang; setiap satunya terpaksa disusun - kalau kita boleh susun - bagi membentuk imej paling sempurna yang kita dapat fikirkan tentang potret pengarang itu. Bolano menawarkan kepada pembacanya novel, cerpen, puisi, dan esei. Jumlah sebenarnya kita belum ketahui; tetapi melalui esei-esei yang ditulisnya dan kemudian dikumpulkan dalam buku berjudul Between Parentheses, kita menemui sisi Roberto Bolano yang merupakan seorang penulis esei dan pengkritik sastera yang cemerlang. 

Saya membaca esei Roberto Bolano ialah seperti Martin Amis membaca esei John Updike: dia membuat saya rasa berada di samping seorang penulis yang telah membaca segala-galanya dalam sastera. Dia boleh bergerak dari penulis abad kelapan belas seperti Jonathan Swift ke dunia macabre Cormac McCarthy tanpa membuat kita tersekat nafas atau tercabut kedua-dua belah kaki. James Wood pun tidak boleh lakukan ini. 

Sastera Chile ialah subjek utama Bolano, dan kita merasakan subjek ini bukan sahaja hadir dalam eseinya, tetapi boleh kata dalam semua novelnya juga. Hal ini tidak dapat dielakkan apabila seseorang itu menulis sebagai eksil. Dia akan membuat perbandingan dengan negara asalnya. Pada masa sama - iaitu kelebihan menjadi manusia tanpa nasionalisme - dia juga akan berada di kedudukan yang lebih universal untuk memandang lapangan sastera di seluruh dunia, kerana tidak ada panji kenegaraan yang terikat di sayap putihnya. Dia boleh terbang turun sekejap ke Cuba untuk menemui Pedro Juan Gutierrez (terkenal dengan gelaran Bukowski Havana); kemudian singgah di Amerika untuk bermain komputer dengan Philip K. Dick (Bolano menyebutnya sebagai salah seorang penulis terbaik Amerika di abad kedua puluh); selesai itu Bolano akan Berlin untuk membacakan novelnya Nazi Literature in the Americas (kadang-kadang saya meragui fakta Bolano dalam eseinya); sebelum balik ke Chile Bolano singgah di Beunos Aires untuk sembang dengan sahabatnya Rodrigo Fresan sambil makan McDonald atau KFC (Fresan dikatakan sangat menyukai filem Stanley Kubrick, tetapi minat itu tidak dikongsi oleh Bolano); sampai kembali ke Chile kita tahu Bolano akan terbang ke rumah Nicanor Parra, dan berehat di mejanya, sambil mendengar Parra menceritakan tentang dua orang penyair terbaik Chilie dalam puisinya:

Chile's four great poets
are three:
Alonso de Ercilla and Rubén Darío.        

Malang nampaknya untuk Pablo Neruda dan Gabriela Mistral.

Membaca Roberto Bolano membuat kita rasa nasionalisme sebagai suatu idea yang rapuh. Ia mungkin penting buat seorang politikus atau ahli sukan, tetapi seorang penulis mesti sentiasa terbang lebih tinggi daripada sempadan negaranya. Dia mesti mencintai sastera dan semua jenis manusia yang menghuni rumah, pondok, dan lubang-lubang gelapnya. Ini ialah pelajaran penting saya belajar daripada esei Roberto Bolano. Dan, sudah jelas sekali, saya sangat menyukai bukunya Between Parentheses


Comments

Popular Posts